Penantian penduduk Kampung Kabai di Kemboja selama lima tahun untuk memiliki masjid sendiri berakhir.

SERAMAI kira-kira 200 keluarga penduduk Islam di Kampung Kabai, Kemboja melahirkan kesyukuran dan gembira apabila impian untuk mendapat masjid sendiri tercapai apabila masjid itu sudah siap dibina sepenuhnya oleh NGO Antarabangsa.

Masjid yang mampu memuatkan kira-kira 600 jemaah lelaki dan 200 jemaah wanita itu mula dibina pada awal Januari lalu dan siap sepenuhnya pada akhir Oktober membabitkan kos kira-kira USD100,000.

Dikenali sebagai Masjid Al-Mansoriah itu dibina diatas tanah seluas 3 ekar oleh kontraktor tempatan yang dilantik dan berjaya menyiapkannya dalam tempoh 10 bulan seperti yang ditetapkan.

Pengerusi dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, masjid itu mempunyai keunikan tersendiri kerana kos pembinaannya yang paling murah iaitu USD100,000 dan warna masjid berilhamkan dari Masjid Sultan Mohamad ke-5 di Labuan, Sabah yang keseluruhannya berwarna biru.

Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berdiri megah dihadapan masjlid ke-5 dibina oleh NGO Antarabangsa di Kemboja

“Justeru, saya menyeru penduduk Kampung Kabai ini dapat memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan masjid ini dengan bekerjasama menjaga aspek kebersihan dan kesucian masjid ini selain menggunakannya untuk memupuk perpaduan sesama masyarakat Islam.

“Kampung ini juga mempunyai penduduk Islam dan bukan Islam tetapi mereka amat rapat misalnya setiap petang mereka bermain bolasepak bersama dan pergi ke kebun bersama.

“Inilah contoh yang perlu kita ikuti dan saya harap penduduk dapat menghidupkan masjid ini dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan bergotong-royong membersihkan masjiid supaya masjid sentiasa bersih dan cantik,” katanya dalam kunjungan ke Kemboja, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Kabai, Ayub Isa berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada NGO Antarabangsa kerana usaha gigih menjadikan impian penduduk memiliki sebuah masjid menjadi kenyataan.

“Kami semua akan memastikan masjid ini dijaga dengan baik dan penduduk di sini sudah lama berharap mempunyai  sebuah masjid. Hari ini kami bersyukur kerana mendapat sebuah masjid yang cantik berwarna biru dan warna ini jarang sekali kita lihat di Kemboja,” katanya.

Mustapha menambah, masjid itu adalah masjid ke-5 yang dibina oleh NGO Antarabangsa di Kemboja dan pihaknya akan berusaha membantu masyarakat Islam Kemboja tetapi pada masa sama berharap masyarakat Islam di negara ini juga berubah.

“Kita perlu berusaha dan jangan terlalu mengharap pada orang semata-mata. Kita mesti berubah untuk meningkatkan taraf kehidupan kita barulah kita boleh menjadi contoh daripada segi kerjasama, muafakat dan hidup dalam suasana harmoni.

“Saya juga berharap lebih ramai generasi muda dapat datang ke masjid kerana kita juga membina kemudahan tempat bersukan dan menggalakkan penduduk kampung berniaga setiap kali ada acara bermain bola sepak,” katanya sambil menambah ini adalah salah satu sumber pendapatan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk kampung.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini