Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) untuk bekerjasama dalam membuka laluan kepada lebih ramai bakat Bumiputera untuk menjadi Chartered Banker.
MoU itu ditandatangani oleh Kol. Bersekutu (PA) Ts Mohd Muzzammil Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Peneraju dan Encik Edward Ling, Ketua Eksekutif AICB, disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Tan Sri Azman Hashim, FCB , Pengerusi AICB.
Di bawah kolaborasi itu, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membangunkan saluran yang mampan bagi Chartered Banker Bumiputera melalui program Peneraju Profesional
Chartered Banker.
Setakat kini, seramai 25 peserta sedang mengikuti program tersebut. Selain daripada kelayakan Chartered Banker, Yayasan Peneraju menyasarkan untuk mendaftarkan 400 profesional untuk pelbagai pensijilan di bawah Perkhidmatan Kewangan & Perniagaan pada 2022, termasuk Certified Internal Auditor (CIA), Chartered Financial Analyst (CFA), Certified Shariah Practitioner (CSP), dan Certified Shariah Auditor (CSA).
Datuk Mastura berkata, Yayasan Peneraju telah memperluaskan pensijilan profesional yang
ditawarkan di bawah teras Peneraju Profesional untuk menggalakkan penyertaan bakat
Bumiputera dalam industri dan kerjaya yang relevan.
Ini adalah untuk memastikan tenaga kerja Malaysia yang baru memasuki pasaran kerja mampu memenuhi keperluan organisasi, yang terus berkembang hasil daripada inovasi digital, integrasi serantau dan peralihan demografi pelanggan.
“Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, matlamat utama Yayasan Peneraju adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera
dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui program pembiayaan akademik, TVET,
profesional, teknologi dan pensijilan spesialis.
“Bilangan tenaga kerja Bumiputera yang diperakui sebagai Chartered Banker masih rendah
jika dibandingkan dengan pertumbuhan berterusan dan permintaan sektor itu. Oleh sebab itu, sememangnya terdapat keperluan untuk penglibatan lebih ramai profesional Bumiputera dalam sektor kewangan dan perbankan untuk menangani jurang itu,” katanya.
Dengan kemunculan megatrend global seperti teknologi ‘disruptive’, peralihan demografi ke
arah pembandaran yang lebih besar, dan penduduk menua, adalah penting untuk
meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan mahir dan profesional.
“Pemeteraian MoU hari ini menandakan komitmen kukuh Yayasan Peneraju dan AICB untuk
membina saluran mampan bakat Bumiputera dengan kemahiran dan keupayaan yang selari
dengan keperluan industri melalui program Chartered Banker dan melengkapkan bakat
Bumiputera kita dengan kelayakan perbankan profesional yang diiktiraf di peringkat global
dan jawatan profesional berprestij untuk terus maju dalam persekitaran perbankan global
yang sentiasa berkembang,” kata Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB)
Tan Sri Azman Hashim.
Dalam tempoh sembilan tahun sejak penubuhannya, Yayasan Peneraju telah berjaya melaksanakan pelbagai program pembiayaan meliputi program pembiayaan akademik,
TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis, termasuk program perbankan dan
kewangan yang sesuai dengan semua golongan Bumiputera bermula daripada lepasan
SPM hingga pelajar universiti serta profesional yang bekerja dan menganggur.
Hari ini, Yayasan Peneraju telah merealisasikan aspirasi lebih 40,000 penerima manfaat dari seluruh Malaysia melalui lebih 350 program pembiayaan.