Bakat tempatan sekali lagi membuktikan kewibawaan mereka apabila sembilan pelajar tajaan Yayasan Peneraju mengungguli kedudukan 10 peratus terbaik dunia dalam peperiksaan Penganalisis Kewangan bertauliah “Certified Financial Analyst” (CFA®)  dan Pengurus Risiko Kewangan “Financial Risk Manager” (FRM®).

Pencapaian ini menyusul selepas 29 pelajar program Perakaunan Profesional Yayasan Peneraju menduduki tempat pertama di dunia menerusi anugerah CAT / ACCA World Prize Winner baru-baru ini.

Yayasan Peneraju hari ini meraikan 19 pelajarnya yang telah menamatkan pengajian dalam CFA® dan FRM® pada tahun 2019 pada majlis penyampaian sijil yang diadakan sempena Persidangan Peneraju Professional Kewangan, Perbankan & Pelaburan (FBI).

Persidangan itu dirasmikan oleh Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin,Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Program CFA® dan FRM® yang diiktiraf di peringkat global ini dikenalpasti antara kerjaya yang mendapat permintaan tinggi terutama di sektor perkhidmatan kewangan dan pelaburan yang merupakan antara industri yang sedang pesat berkembang.

Pemangku Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Mohd Ariff Ithnin berkata pada tahun ini yayasan menyasarkan untuk melahirkan seramai 100 pemegang CFA dan 100 pemegang FRM bagi merapatkan jurang bilangan bakat tempatan yang menceburi kerjaya itu di Malaysia yang mana ia sememangnya diperlukan bagi meletakkan negara ini setanding dengan negara-negara maju.

Setakat ini, Yayasan Peneraju telah melahirkan hampir 400 pemegang pensijilan profesional tersebut.

“Malaysia kini menuju ke arah negara maju, namun negara berdepan cabaran kekurangan bakat untuk menyumbang dalam ekonomi berpendapatan tinggi di mana ia menjadi pra-syarat untuk semua negara maju,” katanya.

Pada masa sekarang, Malaysia mempunyai seramai 869 pemegang CFA® dan 170 pemegang pensijilan FRM® berdaftar berbanding Singapura yang mempunyai seramai 4,000 dan 850 pemegang kelayakan sama.

Walaubagaimanapun, Mohd Ariff berkata penyertaan Bumiputera dalam kerjaya berimpak tinggi ini masih kecil di mana pemegang CFA® dan FRM® bertauliah Bumiputera di Malaysia masing-masing hanya mencatatkan seramai 115 dan 15 orang.

“Meskipun demikian, persoalan utama adalah sama ada para profesional CFA® dan FRM® kita bersedia untuk menyumbang kepada Revolusi Perindustrian atau IR4.0,” katanya.

Selain itu, kita juga mahu melihat bagaimana Yayasan Peneraju dapat menyumbang ke arah melahirkan profesional yang bersedia untuk menyumbang kepada IR4.0.

Beliau menambah banyak yang telah diperkatakan tentang isu-isu yang berkaitan dengan perkhidmatan kewangan. IR4.0 adalah mengenai penggunaan kecerdasan buatan, robotik, genomik dan proses, reka bentuk kreatif dan keupayaan pengkomputeran berkelajuan tinggi untuk merevolusikan pengeluaran, pengedaran dan penggunaan.

IR4.0 juga memberi kesan kepada sektor kewangan. Sektor kewangan suatu ketika dahulu dikaitkan dengan pembiayaan bagi tujuan perdagangan dan pembiayaan kepada kerajaan bagi tujuan peperangan. Namun hari ini di era revolusi, sektor kewangan menjanjikan perbezaan yang kita tidak dapat bayangkan pada era terdahulu.

Ia dibuktikan menerusi kaji selidik yang dijalankan baru-baru ini oleh Institut Analisis Kewangan Bertauliah yang menunjukkan bahawa 54% pelabur institusi dan 38% pelabur runcit yang dikaji percaya bahawa terdapat kemungkinan berlakunya krisis kewangan dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang.

Mohd Ariff menambah rantaian nilai pelaburan juga berubah, dicetuskan oleh peraturan, teknologi baru dan revolusi digital. Hasil daripada perubahan ini, terdapat bahagian-bahagian tertentu dalam ekosistem jualan di mana penyatuan sedang berlaku.

Firma yang ingin mendapat pulangan ke atas aset yang berbeza, memerlukan penyelesaian yang dapat menyatukan pelbagai kelas aset dan mengendalikan pelbagai strategi.

Teknologi baru seperti AI dan data raya memberikan penyelesaian terbaik bagi memenuhi keperluan ini. Pada persidangan itu, pakar industri dan pelaburan akan membincangkan isu ini dalam sesi dialog meja bulat.

Antara yang mengambil bahagian termasuk Iwan Zakwan Zakaria, Pengarah Urusan, BlackRock Ltd, dan Justin Ong, Rakan kongsi Deloitte South East Asia dan Presiden CFA Society Malaysia.

Persidangan Peneraju Profesional FBI 2019 dianjur oleh Yayasan Peneraju dengan kerjasama Efficient Frontier Consulting Sdn Bhd dan dihadiri oleh 230 peserta merangkumi pelajar tajaan CFA® dan FRM® Yayasan Peneraju, mentor dan bakal calon CFA® dan FRM® dari pelbagai institusi.