Rantaian bekalan lembu, kerbau dan kambing untuk ibadah korban pada tahun ini di Kemboja masih stabil dan tidak memberi impak yang ketara walaupun dunia sedang berhadapan dengan konflik di Asia Barat.

Tidak dinafikan harga lembu dan kambing mengalami kenaikan disebabkan ketegangan global tetapi kenaikan harga disebabkan oleh tekanan domestik seperti kenaikan bahan api, kos pengangkutan, kos makanan haiwan ternakan dan cuaca panas yang berpanjangan.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, sebelum ini harga seekor lembu sekitar USD600 tetapi pada tahun ini harga meningkat kepada USD700 manakala harga kambing pula tiada kenaikan ketara disebabkan kurang permintaan.

Beliau berkata, harga seekor kambing ketika ini sekitar USD200 hingga USD300 bergantung kepada saiz haiwan tersebut. Di Kemboja kos bahan api minyak petrol ialah USD1.50 per liter manakala harga minyak diesel USD2 per liter.

“Kos pengangkutan turut meningkat kerana bekalan lembu, kerbau dan kambing jauh di pedalaman dan pergunungan. Cuaca yang panas berpanjangan turut mempengaruhi faktor harga. Padang ragut yang kering dan kekurangan sumber air menyebabkan kurangnya ternakan lembu, kerbau serta kambing dan bekalan haiwan ini terpaksa diperolehi dari tempat yang jauh.

“Selain itu, krisis Kemboja Thailand turut mempengaruhi pasaran harga semasa. Penutupan sempadan Kemboja Thailand turut memberi kesan kepada penternak yang tinggal di sempadan kedua-dua negara,” katanya.

Walaupun begitu, ianya tidak mematahkan semangat Mustapha melaksanakan ibadah korban di pedalaman Kemboja demi mendekati dan menyantuni golongan mereka yang memerlukan.

Menurutnya, daging-daging korban ini akan diagihkan kepada fakir miskin yang daif, anak-anak yatim dan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Sebelum ibadah korban lagi kita telah mengenal pasti kampung-kampung di Kemboja melibatkan golongan ini. Kita mengambil langkah inisiatif untuk masuk ke kampung-kampung pedalaman agar golongan ini tidak tercicir dari menerima agihan daging korban.

“Pada tahun ini, NGO Seaweed memperolehi sebanyak 6 ekor lembu dan 1 ekor kambing untuk dijadikan haiwan sembelihan pada ibadah korban kali ini. Kita akan berusaha sedaya yang mungkin untuk berkongsi rezeki dan mengagihkan pada mereka yang memerlukan.

“Ada diantara mereka ini hanya menikmati daging setahun sekali sahaja dan ada yang tidak pernah langsung merasainya malah ada yang menerima daging korban sehingga mengalirkan air mata kegembiraan.

“Hilang rasanya penat menempuh perjalanan yang jauh apabila melihat mereka gembira. Di kesempatan ini juga, beliau berpesan agar berhati-hati dengan penipuan mengutip dana untuk melaksanakan ibadah korban, membina masjid, surau, sekolah agama dan sebagainya,” katanya.

Mustapha berkata, orang ramai perlu memastikan maklumat mengenai ibadah korban itu sahih bagi mengelakkan segelintir pihak mengambil kesempatan di atas sifat ikhlas dan suka menderma rakyat Malaysia.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyumbang dan membantu melaksanakan ibadah korban dan kerja-kerja kebajikan pada tahun ini.

Katanya, usaha murni ini membawa sinar harapan yang besar buat mereka yang menerimanya dan semoga setiap sen yang disumbangkan menjadi asbab beratnya timbangan amal kebaikan di akhirat kelak.

“Selagi hayat dikandung badan saya akan tetap teruskan kerja-kerja kebajikan dan memberi manfaat kepada dunia di sekeliling. Jangan pernah rasa sia-sia melakukan kerja kebajikan ini,” katanya yang sudah lebih 25 tahun menjalankan kerja-kerja kebajikan di Kemboja serta Negara Asean lain seperti Vietnam, Thailand Loas dan Indonesia .

Beliau sudah lama memulakan program kebajikan di Kemboja sejak 1999 lagi sewaktu beliau berkhidmat di Wisma Putra serta mempunyai pengalaman luas dalam bidang ketenteraan, korporat dan pendidikan membantu beliau komited dengan NGO Antarabangsa.

Hasil kerja kebajikan yang berterusan Mustapha telah membina 6 buah masjid serta surau, 4,100 buah telaga dan menyediakan 1 sebuah tapak tanah perkuburan islam dan bantuan pada bulan puasa, aidilfitri dan aidiladha untuk menyantuni golongan fakir miskin dan mereka yang kurang berkemampuan.

Pernah menerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul sempena Maulidur Rasul peringkat kebangsaan dan Anugerah Khas Tokoh NGO Antarabangsa Dan Kesejahteraan Ummah dari Kerajaan Arab Saudi serta pelbagai anugerah dari dalam dan luar negeri, kesungguhan Mustapha harus di puji dan tidak ramai orang yang mampu untuk membuat kerja-kerja kebajikan di luar negara yang mempunyai pelbagai cabaran dan rintangan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini