Kejohanan sulung 1st UPSI Inter-University Kabaddi Championship 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang apabila berjaya menghimpunkan atlet dan pasukan dari pelbagai institusi dalam serta luar negara menerusi semangat kesukanan dan perpaduan budaya yang cukup luar biasa.
Majlis penutupan kejohanan yang berlangsung meriah itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Persatuan Kabaddi Perak, Prabakaran Maksvaran dengan kehadiran barisan pegawai sukan universiti, jurulatih, atlet serta para penyokong yang membanjiri gelanggang pertandingan.
Kejohanan anjuran Exco Inisiatif Sukan, Rekreasi & Kecergasan Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu dilaksanakan dengan kerjasama Kabaddi Association of Malaysia, Persatuan Kabaddi Perak, Kelab Kabaddi UPSI, Pusat Sukan UPSI serta South East Asia Kabaddi Federation.
Penganjuran tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Perak, Starbucks, Hotlink dan Extra Joss sebagai penaja utama kejohanan.
Pengarah Program, Sherraan A/L Kalahiahrasan menyifatkan kejohanan ini sebagai platform terbaik dalam mencungkil bakat baharu serta memperkukuh jaringan persahabatan antara universiti dan negara melalui sukan Kabaddi.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran sulung kejohanan itu di UPSI.
Sementara itu, Prabakaran dalam ucapan perasmiannya berkata, pemain-pemain yang hadir diyakini dapat memberikan saingan sengit antara satu sama lain malah platform ini juga merupakan satu permulaan baru untuk menggilap bakat dan mencari atlet Kabaddi untuk Negeri Perak dan Kebangsaan.
Beliau turut berharap agar kejohanan seperti ini dapat diteruskan lagi supaya sukan Kabaddi diiktiraf dan berkembang seperti sukan-sukan yang lain.
“Kemuncak acara menyaksikan perlawanan akhir kategori lelaki yang cukup mendebarkan antara pasukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan pasukan Thailand. Aksi sengit yang dipamerkan kedua-dua pasukan berjaya mencuri tumpuan para penonton dengan sorakan bergema memenuhi dewan sepanjang perlawanan berlangsung.
“Bagi kategori wanita, pasukan Thailand muncul juara kejohanan selepas menampilkan aksi konsisten dan bertenaga sepanjang pertandingan. Pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula berkongsi tempat ketiga bersama, manakala KVT Wakaf Tembusu Terengganu muncul sebagai naib juara.
“Kategori lelaki menyaksikan pasukan Thailand merangkul johan kejohanan, diikuti pasukan UTeM dinobat sebagai Naib Johan, manakala KVT Wakaf Tembus Terengganu dan Multimedia Universiti (MMU) masing-masing menduduki tempat ketiga bersama.
Dalam pada itu, beberapa atlet turut menerima pengiktirafan khas atas prestasi cemerlang mereka sepanjang kejohanan berlangsung. Atlet Thailand, Diana Deesalarm dan Pootawun Poocahong dinobatkan sebagai Best Raider, manakala Thevatharshini dari UPSI dan Laksshmaman Thiagarajan menerima anugerah Best Defender.
Sementara itu, Thanyalak Benrit serta Wisat Wuttari dari Thailand membawa pulang gelaran Most Valuable Player (MVP) kategori lelaki dan wanita.
Kejohanan ini menawarkan hadiah wang terkumpul sejumlah RM9,000.00. RM2,000.00 (Johan), Naib Johan RM1,500.00 dan ketiga bersama masing-masing menerima RM500.00 beserta medal, sijil dan trofi kejuaraan. Bagi anugerah khas pula, pemenang membawa pulang medal, mock cheque, dan hadiah tajaan daripada Starbucks Malaysia.
Penganjuran 1st UPSI Inter-University Kabaddi Championship 2026 bukan sahaja berjaya mengangkat sukan Kabaddi ke tahap lebih tinggi, malah membuktikan kemampuan UPSI sebagai hab penganjuran sukan antarabangsa yang mampu menyatukan budaya, bakat dan semangat kesukanan serantau.



































