Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM), pengedar sah trak Foton di Malaysia merubah landskap logistik bandar dengan pelancaran Foton Aumark S Euro 5 AMT baharu di Malaysia Commercial Vehicle Expo 2026 (MCVE 2026) hari ini.

Foton Aumark S Euro 5 AMT menjadi trak tugas ringan jenama China pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan Automated Manual Transmission (AMT), direka untuk pertukaran gear lancar, mengurangkan kelesuan pemandu, dan penggunaan bahan api lebih baik dalam
pemanduan stop-and-go di bandar raya.

Ia diperkenalkan sebagai tindak balas kepada peningkatan permintaan dalam penghantaran peringkat akhir, keperluan terhadap trak cekap penggunaan bahan api dan mesra pemandu, serta permintaan untuk kebolehpercayaan dan masa beroperasi tinggi.

Foton Aumark S Euro 5 AMT baharu menampilkan enjin Cummins ISF 3.8-liter yang terbukti, kini dengan standard Euro 5 termaju untuk pelepasan lebih bersih. Enjin empat-silinder turbo ini menghasilkan 154 PS pada 2,600 rpm dan 500 Nm tork dari 1,200 ke 1,900 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi AMT enam-kelajuan ZF yang dibangunkan untuk menambah baik produktiviti serta kecekapan operasi. Rangkaian kuasa enjin Euro 5 dan AMT baharu ini memfokuskan terhadap kos penyelenggaraan rendah melalui sela masa servis yang panjang dan penggunaan bahan api lebih rendah.

Dari segi utiliti, Foton Aumark S Euro 5 AMT direka khas untuk logistik moden, menawarkan kebolehan kargo versatil, reka bentuk praktikal, dan kemudahan penggunaan. Ini membolehkan pengguna menguruskan pelbagai operasi penghantaran dengan produktiviti dan fleksibiliti lebih baik.

Foton Aumark S Euro 5 AMT berukuran 6,930 mm panjang, 2,060 mm lebar, dan 2,250 mm tinggi. Ia mempunyai jarak roda 3,800 mm dengan berat kasar kenderaan (GVW) dari 7,500 kg hingga 9,900 kg.

Untuk keselamatan pula, Aumark S yang diperbaharui ini dilengkapi dengan beberapa sistem terkini. Ia merangkumi Anti-lock Braking System (ABS) untuk prestasi brek meyakinkan dalam semua situasi, Anti-Slip Regulation yang mengawal gelinciran tayar di permukaan licin untuk kawalan lebih baik, dan Hill Start Assist untuk mengelakkan trak terundur di jalan curam serta memastikan mula-gerak yang lancar seterusnya mengurangkan beban pada pemandu.

Merupakan produk “Super Truck Global Innovation Alliance”, trak tugas ringan ini juga dibina pada struktur badan tegar yang menepati standard antarabangsa seperti ECE R29 yang
menampilkan rekaan kabin yang melindungi penumpangnya. Kebolehpercayaan Foton Aumark S juga terbukti melalui ujian dunia-sebenar merangkumi lebih 3,000,000 km di pelbagai situasi.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini