Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, NGO Antarabangsa masih meneruskan usaha menyalurkan bantuan kepada masyarakat Islam di Kemboja khususnya di kawasan pedalaman.
Pengerusi NGO Antarabangsa, Dato’ Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, banyak program kebajikan diadakan di kawasan pedalaman Kemboja khususnya membantu umat Islam yang daif terutama daripada golongan Asnaf.
“Bantuan merupakan keperluan asas beras dan lain-lain keperluan diberikan kepada mereka dari rumah ke rumah yang dikenalpasti menerusi kerjasama dengan masyarakat setempat.
“Pendekatan ini memang meletihkan tetapi kita boleh melihat sendiri kesusahan mereka,” katanya ketika menyampaikan bantuan di Kampung Chop Tboung Khamun, Kemboja di sini semalam.
Mustapha berkata demikian ketika menghadiri majlis bersama penduduk di Masjid Al Mansoriah Kg Chop Tboung Khamun yang dihadiri kira kira 200 jemaah yang turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih.
Beliau berkata, seramai kira-kira 50 anak-anak yatim pula akan dikumpulkan dari beberapa kampung untuk diberikan bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan lain-lain serta duit wang tunai USD20 seorang.
Selain bantuan keperluan asas, NGO Antarabangsa pada tahun ini turut mengadakan majlis jamuan berbuka puasa di beberapa buah masjid sekitar daerah pedalaman ini.



































