Rekabentuk unik menjadi tarikan kepada sesiapa sahaja yang pertama kali melihat kereta kompak yang bercirikan Crossover dalam segmen-B ini apatah lagi warna yang dipadankan kebanyakannya menggunakan dua tona.

Menerusi kelebihan ini, TC Euro Cars (TCEC) terus memperkenalkan Renault Captur facelift yang menyaksikan beberapa penambahbaikan luaran khususnya bahagian hadapannya ditampilkan gril baharu dengan rekaan lampu utama dan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C baharu yang terletak di penjuru bampar.

Lampu LED berbentuk C yang mewakili huruf pertama Captur itu cukup besar seolah Renault mahu menunjukkan identiti sebenar Captur kepada pengguna jalan raya lain dan langkah ini dilihat tepat kerana jenama kenderaan Renault sejak kebelakangan ini mula mendapat perhatian menerusi barisan model yang dipasarkan.

Ciri facelift pada Captur ini turut ditampilkan di bahagian belakang menerusi lampu baharu dengan lampu arah LED dan menerima skid plate baharu pada bampar hadapan serta belakang.

Selain itu, Captur ini dilengkapi dengan roda aloi 17-inci dan indikator cermin sisi LED rekaan baharu yang kelihatan lebih sporty dan padan dengan ciri sebuah kereta kompak lima pintu.

Memandu Captur ini seolah menjadikan pemandunya tiba-tiba ‘berjiwa muda’ kerana faktor utama disebabkan penampilannya sebagai kereta yang disasarkan kepada golongan ini yang mahukan kelainan apabila memandu kereta buatan Eropah.

Meskipun di peringkat global, Renault dibawah penguasaan Nissan dan jenama itu juga turut bersaing sebagai jentera lumba Formula Satu (F1), namun juruteranya bijak menampilkan kelainan kepada Captur khususnya apabila hadir dengan warna luaran dua-tona yang menjadi kombinasi tepat dengan selera pengguna masa kini malah turut menjadi ikutan kepada pengeluar automotif lain.

Maka tidak hairanlah sejak model ini diperkenalkan di pasaran ia, muncul sebagai model Crossover paling laris di Eropah.

Bagi model facelift kali ini ia ditawarkan dengan tiga warna luaran baharu yang mana setiap satunya hadir dengan dua-tona iaitu Atacama Orange, Ocean Blue dan Pearl White, yang dipadankan bersama bumbung Diamond Black, menyertai pilihan warna Flame Red.

Ruang dalaman

Menjengah ke ruang dalaman, model ini turut mendalami perubahan kepada bahan kekemasan dan plastik, dengan tempat duduk balutan kulit hitam, kekemasan pintu hitam dan juga tuil gear yang direka semula supaya kabin nampak lebih moden.

Penulis cukup tertarik dengan rekaan panel meternya yang cukup ringkas dan bergaya malah tuil gearnya kelihatan premium sesuai gaya serta sentuhan kereta Eropah.

Meskipun ketika kereta ini dipandu jauh melalui kawasan luar bandar, tahap keselesaan pada kerusi empuk menyebabkan penulis tidak berasa mudah letih malah keseronokan memandu jentera ini benar-benar memberi kepuasan.

Malah, penulis berasa lebih tinggi berikutan rekabentuknya adalah crossover yang bercirikan sebuah hatchback memberi kelebihan jika dipandu meredah banjir kilat.

Kit standard lain termasuklah sistem multimedia MediaNav dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama navigasi dan sambungan AUX, USB dan Bluetooth, kamera undur, kemasukan tanpa kunci, butang push start, pengunci pintu auto, lampu utama dan bilah pengelap cermin auto.

Bagi aspek keselamatan, Captur dilengkapi dengan empat beg udara, ESC dan bantuan mula mendaki.

Enjin

Ramai yang tanya sama ada enjin 1.2 liter yang dibekalkan tidak berkuasa? Cuba dulu baru tahu…..ini kerana Captur facelift masih menggunakan enjin sama iaitu 1.2 liter TCe 120 pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 118 hp pada 4,900 rpm dan tork 205 Nm pada 2,000 rpm.

Mengikut spesifikasi diberikan, enjin itu mampu menyamai kuasa enjin 1.8 liter dan sudahlah enjin 1.2 liter ada pulak pilihan butang ECO yang mampu menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 10 peratus.

Bagi anda yang mahukan lebih pikap, tolak sahaja tuil gear ke kiri bagi mengubah corak pemanduan kepada manual enam kelajuan. Harap satu hari nanti kereta ini dipadankan dengan pedal tukaran gear di stereng untuk lebih mudah.

Dengan berat keseluruhan 1,282 kilogram, penggunaan bahan apinya cukup rendah iaitu 5.9 liter/100 kilometer (berdasarkan ujian NEDC) membabitkan gabungan pemanduan bandar dan luar bandar dengan kapasiti tangki penuh 45 liter.

Selain itu, fungsi enjin kereta ini dilengkapi ciri henti dan mula yang turut membantu menjimatkan penggunaan bahan api secara langsung.

Transmisi kereta ini dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan.

Kesimpulan

Meskipun Captur ialah sebuah kenderaan crossover namun selesa untuk lima penumpang khususnya untuk kegunaan urban atau bandar. Kenderaan ini sesuai dijadikan kenderaan harian untuk ke tempat kerja kerana saiznya kompak dan mudah dikendalikan ketika menempuh kesesakan kota.

Kedudukan kerusi belakangnya pula boleh dilipat jika memerlukan lebih ruang kerana keluasan but belakangnya hanya 455 liter.

Bagaimanapun, kerusi belakangnya yang tidak boleh direbahkan ke belakang mungkin agak tidak selesa kepada penumpang jika membabitkan perjalanan yang jauh.

Ketika butang ECO diaktifkan anda dapat merasainya bebanan kereta ini atau bahasa lebih mudah agak ‘perlahan’ dijalan raya berbanding pemanduan normal. Mungkin butang ECO sesuai diaktifkan ketika meredah kesesakan jalan raya dan bukannya diaktifkan untuk pemanduan lebuh raya.

Namun jangan terkejut kereta ini mampu memecut sehingga mencecah 160 km/j  jika dipandu laju dilebuh raya dan stabil jika mengambil selekoh tajam.

Walaupun harganya hampir menyamai sebuah SUV kompak buatan Jepun, Captur boleh menjadi pilihan kepada mereka yang mahukan kelainan atau sudah selesa memandu kereta buatan Eropah.

Captur yang dipasang sepenuhnya di negara ini, masih kekal dengan harga atas jalan RM109,000 (tanpa insurans). Bagaimanapun, ada pertambahan kos sebanyak RM900 bagi pilihan warna Flame Red dan Pearl White, yang turut termasuk dengan kick plate dan trunk tray.

Perkhidmatan selepas jualan 5-in-Captur yang diumumkan tahun lalu juga tidak berubah. Pakej tersebut merangkumi servis dan penyelenggaraan percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk lima-tahun atau perbatuan sehingga 100,000km, mana-mana tiba dahulu.

Selain itu, ia juga menawarkan waranti pengilang selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan 24 jam secara percuma.

Bukan itu sahaja, ia turut menawarkan perkhidmatan mengambil dan hantar untuk penyelenggaraan berjadual di pusat servis Renault serta servis mobiliti dengan kereta gantian sekiranya alat ganti tidak boleh diperoleh untuk tempoh 48 jam di pusat servis sah, bergantung kepada kebolehdapatan.

SPESIFIKASI

Renault Captur Facelift

Enjin: 1,197cc, 4-silinder petrol suntikan terus turbo
Kuasa maksimum: 118 hp pada 4,900 rpm
Tork maksimum : 205 Nm pada 2,000 rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan dengan Efficient Dual Clutch
Tangki : 45 liter
Saiz tayar : 205/55 R17
Sistem keselamatan: 4 beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Anti-Slip Regulation (ASR), Anti-lock Braking System (ABS), Emergency Brake Assist (EBA), ISOFIX, Electronic Brakeforce Distribution (EBD) dan Hill Start Assist (HSA)
Harga: RM109,000 (atas jalan, tanpa insurans)