Keunikan seni tekstil tradisional terus diangkat melalui penganjuran Program Essence of Batik: Batik Unity Workshop yang berlangsung dengan penuh warna-warni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program anjuran Exco Warisan Seni dan Budaya, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2025/2026 ini berjaya menghimpunkan mahasiswa tempatan dan antarabangsa dalam satu platform seni bagi memperkukuh penghayatan warisan serta jalinan hubungan rentas sempadan.

Bengkel ini memberi tumpuan khusus kepada seni batik sebagai medium ekspresi dan kreativiti. Para peserta bukan sahaja didedahkan kepada latar belakang sejarah batik, malah berpeluang mempelajari teknik mewarnai serta menghasilkan corak batik yang unik dan sarat dengan nilai estetika.

Sesi pengalaman langsung (hands-on) ini membolehkan mahasiswa mengasah bakat dalam seni kraf tradisional yang menjadi kebanggaan identiti serantau.

Suasana program menjadi lebih menarik apabila Kelab Reka Bentuk Warisan (KEREBEWA) UPSI mengambil alih bagi memulakan sesi perkongsian. Kehadiran KEREBEWA telah menyemarakkan lagi majlis dengan pertukaran idea serta teknik dalam pembuatan batik kepada wakil Malaysia dan Indonesia.

Melalui sesi demonstrasi dan perkongsian teknik yang diketengahkan, para peserta dapat memahami dengan lebih mendalam proses penghasilan batik serta makna tersirat di sebalik setiap motif yang dihasilkan.

Interaksi dua hala ini bukan sahaja memperlihatkan keindahan seni tekstil, malah menjadi medium penyatuan dalam memperkukuh apresiasi budaya. Semangat kebersamaan yang ditonjolkan sepanjang bengkel ini membuktikan bahawa seni mampu menjadi jambatan harmoni yang menghubungkan komuniti mahasiswa merentasi sempadan dalam suasana yang inklusif dan penuh ukhuwah.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini