Setiap kali mengunjungi ke Cameron Highlands, tentu sekali tidak lengkap jika tidak singgah membeli strawberi.
APA yang menarik sangat dengan buah merah kecil dari tanah tinggi Cameron ini? Tentu sekali menarik kerana buah strawberi ini cukup enak jika dimakan terus sama ada dicelup dengan cairan coklat mahupun dimakan bersama hidangan lain.
Bagaimanapun, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa perniagaan strawberi turut diceburi golongan Bumiputera yang menyediakan makanan yang halal dan dekorasi kedai yang menarik kunjungan orang ramai.
Restoran Nasi Lemak Abang Strawberry misalnya bukan sahaja menawarkan kelainan daripada segi menu makanan dan minuman malah kunjungan ke kedai itu dianggap berbaloi kerana anda juga berpeluang memetik buah strawberi segar dari ladang yang terletak dibelakang restoran berkenaan.
Apa yang menarik di sini
Apa yang menarik perhatian penulis ialah, kadar bayaran untuk memetik buah strawberi ditawarkan pada harga serendah RM7 untuk 100 gram berbanding kedai lain yang mengenakan bayaran sehingga RM40 bagi 1 kilogram strawberi.
Bagi penulis, bukan kuantiti yang dikejar untuk mengutip buah ini tetapi hanya merasai pengalaman khususnya kepada mereka yang membawa kanak-kanak. Tentu seronok bukan!
Anda tidak perlu berbelanja lebih untuk merasai pengalaman menyeronokkan ini. Layanan mesra kakitangan cukup mengembirakan mereka yang pertama singgah di sini. Secara jujur sebenarnya, penulis berasa kagum sebaik melangkah masuk ke restoran yang dihiasi dekorasi menarik, moden, bersih dan susun atur kerusi cukup padan dengan warna asas buah strawberi. Hiasan bunga tiruan dan lampu diatas siling restoran mengamit dan menarik perhatian pengunjung.
Bagaimana nak ke sana
Bagi mereka yang datang menggunakan laluan dari Tapah, anda hanya perlu mencari papan tanda menuju ke Kampung Taman Sedia yang terletak disebelah kanan jalan manakala jika datang dari arah Simpang Pulai, anda perlu menggunakan melepasi pekan Brinchang dan kira-kira 3 kilometer, anda akan menemui pintu gerbang yang besar di sebelah kiri jalan.
Sebaik melepasi pintu gerbang itu, anda hanya perlu memandu terus dan akan menemui kedai Abang Strawberry yang terletak paling hujung di sepanjang jalan yang turut dipenuhi beberapa kedai yang turut menjalankan perniagaan yang hampir sama.
Apa menu menarik
Tidak sah jika tidak mencuba nasi lemak Abang Strawberry yang menyelerakan. Nasi lemak itu didatangkan dengan dua jenis sambal iaitu sambal cili biasa dan satu lagi sambal yang diperbuat dari strawberi.
Dua jenis nasi ditawarkan iaitu Nasi lemak sambal strawberi ayam berempah atau rendang daging serta Nasi goreng Abang Strawberry ayam goreng berempah atau rendang daging.
Terdapat pelbagai jenis menu lain ditawarkan pada harga yang berpatutan seperti menu sarapan pagi dari jam 8 pagi hingga 11 pagi seperti roti bakar kaya, pan kek, roti bakar nutella strawberi dan English breakfast.
Terdapat juga juadah lain seperti makanan western, pelbagai jenis aiskrim dan minuman berasaskan coklat serta strawberi. Jika tidak puas menikmati sambal strawberi, jangan bimbang kerana anda boleh membawa pulangnya dalam bentuk botol kaca.
Apa yang boleh dibawa balik
Dibelakang restoran ini terdapat sebuah bilik yang menyediakan pelbagai jenis produk yang sudah siap dibotolkan mahupun dibungkus cantik untuk dibawa pulang. Anda boleh membawa pulang jem strawberi yang dihasilkan dari ladang strawberi ini selain produk-produk lain.
Macam biasa tentu sekali buah strawberi yang manis dan segar untuk dibawa pulang atau celupkan dengan cairan coklat sebagai pemanis mulut.