HONOR baru-baru ini memperkenalkan peranti kelas pertengahan Siri X HONOR menerusi model X9e Pro dengan huruf “e” pada namanya membawa maksud “EXTREME”, sekali gus menandakan penekanan lebih besar terhadap aspek ketahanan peranti.
Ciri ketahanan lasak sudah tentu menjadi antara identiti utama Siri X dan pada X9e Pro, ciri berkenaan dipertingkatkan bagi memberikan perlindungan lebih baik terhadap kejadian terjatuh serta hentakan dalam penggunaan harian.
HONOR X9e Pro hadir dengan lima peningkatan utama yang didakwa sebagai NO.1 dalam kelasnya iaitu melibatkan ketahanan, bateri, perlindungan air, paparan dan perlindungan selepas pembelian.
Lebih menarik, pendekatan HONOR kali ini kelihatan cukup jelas: menghasilkan telefon pintar yang bukan sahaja seronok digunakan, tetapi mampu bertahan dalam situasi penggunaan harian yang lebih mencabar.
Selain bateri, HONOR menggariskan peningkatan utama iaitu ketahanan jatuh yang dipertingkatkan menerusi ciri EXTREME Armor-Tough Drop Resistance serta perlindungan air melalui EXTREME Ultra-Tough Water Resistance.
Ciri Ketahanan
Peranti ini menawarkan ketahanan jatuh sehingga 3 meter, selain menerima pensijilan SGS 5-Star Comprehensive Reliability. Dalam penggunaan sebenar, aspek seperti ini mungkin lebih bermakna berbanding spesifikasi yang sekadar mengejar angka.
Telefon pintar ialah peranti yang sentiasa dibawa ke mana-mana sama ada dimasukkan ke dalam poket, beg, diletakkan di atas meja dan tidak kurang juga terjatuh akibat kecuaian pengguna.
Dengan fokus terhadap ketahanan, HONOR X9e Pro cuba memberikan keyakinan tambahan bahawa peranti ini dibina untuk menghadapi kehidupan seharian.
Bateri 11,000mAh
Jika ada satu spesifikasi yang terus mencuri perhatian, ia tentunya bateri. Peranti ini dilengkapi bateri berkapasiti 11,000mAh, yang menjadikannya antara ciri paling agresif pada peranti ini.
HONOR mendakwa bateri tersebut mampu menawarkan sehingga tiga hari penggunaan, bergantung kepada corak penggunaan. Anda boleh melupakan power bank jika menggunakan peranti ini malah anda boleh mengecas peranti lain menggunakan HONOR X9e Pro ini.
Lebih menarik, pengecasan pantas 80W HONOR SuperCharge turut disediakan. Jadi, kapasiti bateri yang besar tidak semestinya bermakna pengguna perlu menunggu terlalu lama untuk mengecasnya.
Malah, X9e Pro turut menyokong reverse charging untuk iPhone, menjadikan telefon ini bukan sekadar peranti untuk kegunaan sendiri, tetapi berpotensi menjadi ‘power bank’ kecemasan untuk peranti lain.
Bagi pengguna yang kerap bekerja di luar pejabat, melancong atau banyak menggunakan telefon sepanjang hari, kapasiti 11,000mAh ini sememangnya antara ciri yang paling menarik untuk diberi perhatian.

Fotografi dalam air
Satu lagi ciri yang agak luar biasa untuk telefon pintar kelas pertengahan ialah tahap perlindungan airnya. HONOR X9e Pro hadir dengan IP69K, selain menyokong rendaman sehingga 10 meter berdasarkan tuntutan produk.
Lebih menarik, HONOR turut mengetengahkan kemampuan fotografi dalam air. Ini memberikan lebih banyak kelebihan kepada pengguna khususnya mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak seperti snorkeling, meredah jeram sungai, berkayak, atau berkelah di tepi sungai.
Sudah tentu, pengguna masih perlu mengambil kira keadaan sebenar dan had perlindungan peranti. Namun, fokus terhadap ketahanan air menunjukkan HONOR X9e Pro dibangunkan dengan sasaran penggunaan yang lebih lasak.
Paparan skrin 10,000 nits

Peranti ini menawarkan kecerahan puncak sehingga 10,000 nits, angka yang sangat tinggi untuk sebuah telefon pintar dalam kelasnya. Secara mudah, paparan yang lebih terang membantu kandungan pada skrin kekal lebih mudah dilihat dalam keadaan pencahayaan yang mencabar, khususnya apabila menggunakan telefon di luar bangunan.
Jadi, angka 10,000 nits bukan semata-mata untuk diletakkan dalam helaian spesifikasi. Ia mempunyai kaitan terus dengan pengalaman penggunaan terutama bagi mereka yang kerap menggunakan telefon di bawah cahaya matahari seperti penghantar makanan yang seharian menunggang motosikal dibawah matahari terik.
HONOR Rakyat Care+

Satu lagi perkara yang menarik perhatian ialah pakej HONOR Rakyat Care+ Warranty. HONOR menawarkan penggantian keretakan bahagian hadapan dan belakang selama 730 hari, selain jaminan kerosakan akibat cecair selama 730 hari, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Bagi pengguna, perlindungan sebegini memberikan satu lagi lapisan keyakinan selepas pembelian. Ini penting kerana membeli telefon pintar bukan sekadar soal harga dan spesifikasi. Kos pembaikan juga boleh menjadi pertimbangan besar apabila berlaku kerosakan yang tidak dijangka.
Dengan penawaran perlindungan tambahan ini, HONOR cuba menjadikan X9e Pro sebagai pakej yang lebih menyeluruh — daripada ketahanan peranti sehingga sokongan selepas jualan.
Menurut HONOR, siri X telah mencatatkan prestasi jualan yang kukuh dalam kategori telefon pintar kelas pertengahan untuk empat generasi, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pilihan utama pengguna Malaysia.
HONOR turut menyatakan bahawa siri ini pernah mencatatkan 33 peratus bahagian pasaran menerusi HONOR X9a, sebelum mencapai kemuncak 77 peratus bahagian pasaran bagi HONOR X9d.
Di peringkat global pula, siri X dikatakan telah mempunyai lebih daripada 130 juta pengguna. Ini memberikan sedikit gambaran tentang skala penerimaan siri X, walaupun prestasi jualan dan bahagian pasaran tersebut perlu dilihat berdasarkan tempoh, kategori dan metodologi pengukuran yang digunakan.
Kesemua ciri ini menjadikan peranti ini bukan sahaja lasak tetapi memiliki ciri fotografi yang tidak kurang hebatnya. Anda boleh melihat sendiri beberapa keping gambar yang berjaya dirakam menggunakan peranti ini. Lihat dibawah.














































