Mahasiswa dan mahasiswi perlu menjadikan kecintaan kepada negara sebagai asas utama dalam membentuk jati diri, selain menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakan, keluarga dan masyarakat tanpa mengira bangsa serta agama.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, mahasiswa sebagai generasi pewaris kepimpinan negara perlu memahami bahawa mempertahankan tanah air daripada sebarang bentuk pencerobohan, jenayah dan masalah sosial merupakan tanggungjawab bersama.

Menurutnya, usaha memastikan keselamatan negara tidak boleh digalas secara bersendirian, sebaliknya mahasiswa perlu menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa dengan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi penguatkuasaan lain dalam perkara berkaitan keselamatan negara.

“Uniform yang kita pakai ketika berada di universiti juga menjadi asas untuk kita melihat sejauh mana kecintaan kepada negara. Dalam kesibukan menuntut ilmu, mahasiswa turut diberikan ruang menyertai aktiviti kokurikulum yang mampu membentuk disiplin, kepimpinan dan semangat berpasukan.

“Pada saya, jati diri bukan hanya tentang siapa kita hari ini, tetapi siapa kita akan menjadi apabila diberikan ilmu, kuasa dan amanah pada masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan ceramah Jati Diri Kemerdekaan kepada kira-kira 400 mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu di sini.

Mustapha berkata, mahasiswa hari ini berpotensi menjadi pemimpin, wakil rakyat, Menteri Besar, menteri, hakim, peguam, doktor, jurutera dan profesional dalam pelbagai bidang pada masa hadapan.

Namun katanya, perkara yang lebih penting daripada jawatan dan kedudukan ialah nilai yang dibawa bersama amanah berkenaan, khususnya kejujuran, amanah, integriti serta rasa bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

“Bagi saya, erti kemerdekaan yang sebenar bermula daripada diri sendiri. Kita perlu merdeka daripada rasuah, penipuan, penyalahgunaan kuasa, kepentingan diri dan segala perkara yang boleh merosakkan maruah serta masa depan bangsa, agama dan negara.

“Negara yang kuat bukan hanya dibina oleh mereka yang berilmu, tetapi turut memerlukan generasi yang mempunyai integriti dan jati diri kukuh,” katanya.

Beliau berkata, nilai berkenaan perlu dipupuk sejak di bangku universiti supaya mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki prinsip serta keberanian untuk mempertahankan kepentingan masyarakat dan negara.

“Jati diri inilah yang perlu kita semai dalam diri generasi hari ini kerana mereka adalah pemimpin yang akan menentukan hala tuju negara pada masa akan datang,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini