Perkara pertama yang bermain di fikiran penulis apabila menerima peranti boleh lipat ini ialah rekaan uniknya yang lebih kecil seakan saiz pasport Malaysia berbanding peranti telefon pintar yang sedia ada di pasaran ketika. Bagaimana Samsung berani memperkenalkan saiz ini dan berdasarkan kajian apa mereka gunakan untuk memastikan peranti ini akan mendapat permintaan.

Bagaimanapun, selepas penulis sendiri mengenggam peranti ini barulah persoalan ini dapat dihuraikan satu persatu. Rupanya di pasaran sudah ada peranti yang bersaiz kecil molek ini diperkenalkan malah peranti jenama Apple di luar negara pula sudah memperkenalkan peranti bersaiz hampir sama dengan Samsung Galaxy ZFold 8.

Maka pada pandangan penulis ini mungkin menjadi faktor mengapa Samsung mahu menembusi pasaran peranti bersaiz kecil ini dipasaran terlebih dahulu meskipun harga yang ditawarkan agak tinggi berbanding peranti biasa.

Galaxy Z Fold8 kini hadir dengan bentuk yang lebih lebar dan kompak apabila dilipat, menjadikannya lebih praktikal untuk digunakan sebagai telefon biasa. Apabila dibuka pula, pengguna mendapat skrin besar 7.6 inci seakan mini tablet yang lebih sesuai untuk multi tugasan, menonton kandungan video, membaca dan bekerja.

Persoalannya, adakah perubahan ini cukup untuk menjadikan Galaxy Z Fold8 sebuah peranti yang benar-benar mampu menggantikan kombinasi telefon pintar dan tablet?

REKAAN

Perubahan paling mudah dilihat pada Galaxy Z Fold8 ialah reka bentuk baharunya. Samsung meninggalkan bentuk yang lebih panjang untuk menghasilkan rekaan yang lebih lebar apabila dilipat. Skrin luaran kini menggunakan nisbah 10:16, manakala skrin utama menggunakan nisbah 4:3 apabila dibuka.

Apa yang lebih menarik, Galaxy Z Fold8 hanya mempunyai berat 201 gram, menjadikannya model Fold paling ringan Samsung setakat ini. Ketebalannya pula sekitar 4.5mm ketika dibuka dan 9.7mm ketika dilipat.

Perubahan ini memberikan kesan yang besar terhadap pengalaman penggunaan harian. Skrin luaran yang lebih lebar menjadikan aktiviti seperti menaip, membaca mesej, melayari media sosial dan menggunakan aplikasi lebih selesa.

Samsung turut menggunakan Armor Aluminum, Corning Gorilla Glass Ceramic 3 pada bahagian hadapan dan Gorilla Glass Victus 2 di belakang. Struktur di bawah skrin pula diperkuat dengan dua lapisan titanium bagi meningkatkan ketahanan.

Hinge baharu Armor FlexHinge turut direka supaya lebih nipis tetapi masih kukuh. Anda juga tidak perlu risau jika peranti ini terkena air kerana ia mempunyai penarafan IP48, memberikan perlindungan terhadap air serta objek pepejal bersaiz tertentu. Namun, ia masih bukan telefon yang boleh dianggap kalis air sepenuhnya.

SKRIN

Samsung sekali lagi memberikan perhatian besar kepada paparan menerusi skrin luaran Galaxy Z Fold8 berukuran 5.5 inci, manakala skrin utama berukuran 7.6 inci. Kedua-duanya menggunakan teknologi Dynamic LTPO AMOLED 2X dengan kadar segar semula sehingga 120Hz. Skrin utama menawarkan resolusi 1848 x 2448, manakala skrin luaran mempunyai resolusi 1248 x 1972.

Dengan reka bentuk baharu ini, Galaxy Z Fold8 terasa lebih hampir kepada telefon pintar konvensional apabila dilipat. Apabila dibuka, skrin 7.6 inci pula memberikan ruang yang jauh lebih besar untuk bekerja.

Anda boleh membuka dua aplikasi secara bersebelahan, membaca dokumen sambil merujuk kepada laman web atau menonton video sambil melakukan tugasan lain.

Bagi pengguna yang banyak melakukan kerja melalui telefon, inilah antara kelebihan terbesar Galaxy Z Fold8.

CIP

Galaxy Z Fold8 menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy, iaitu pemproses flagship yang diubah suai khusus untuk peranti Galaxy.

Cip ini mempunyai CPU, GPU dan NPU yang dipertingkatkan bagi mengendalikan aplikasi berat, gaming, multi-tugasan serta fungsi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dengan lebih lancar. Samsung turut menekankan keupayaan GPU dan sokongan untuk pengalaman gaming yang lebih realistik.

Untuk pengguna biasa, perbezaan paling ketara bukan sekadar pada kelajuan membuka aplikasi, kekuatan sebenar Fold8 terletak pada kemampuan mengendalikan beberapa aplikasi pada masa sama. Saiz skrin utama memberikan ruang yang cukup untuk melakukan kerja yang biasanya memerlukan tablet atau komputer.

Bagi pengguna yang bekerja dalam bidang kreatif, komunikasi, media dan pencipta kandungan, kombinasi skrin besar dan pemproses berkuasa ini amat berguna untuk menyunting kandungan, memeriksa dokumen, membalas mesej dan mengurus bahan kerja dalam satu peranti.

CIRI AI

Samsung turut menjadikan Galaxy AI sebagai antara komponen penting Galaxy Z Fold8. Antara ciri yang diketengahkan termasuk Now Nudge, Photo Assist dan My FanCam, selain pelbagai fungsi AI yang membantu pengguna mengurus kandungan dan tugasan harian.

Now Nudge misalnya direka untuk memberikan cadangan berdasarkan konteks penggunaan. Sementara itu, Photo Assist membantu proses suntingan gambar menggunakan AI, manakala My FanCam memberikan fungsi pintar untuk membantu menjejaki subjek ketika merakam video.

Bagi pengguna yang menghasilkan kandungan untuk media sosial, fungsi seperti ini lebih daripada sekadar ciri tambahan kerana ia boleh mengurangkan masa yang diperlukan untuk proses penyuntingan.

Galaxy Z Fold8 juga terus menawarkan ciri seperti Circle to Search dan fungsi AI lain yang telah menjadi sebahagian daripada ekosistem Galaxy.

Namun, pengguna perlu mengambil perhatian bahawa sebahagian ciri AI mungkin memerlukan Samsung Account atau bergantung kepada ketersediaan bahasa dan wilayah.

KAMERA

Galaxy Z Fold8 menggunakan konfigurasi kamera belakang dual 50MP, terdiri daripada 50MP Sudut Lebar dan 50MP Ultra Lebar. Kamera sudut lebar menggunakan aperture f/1.8 dan menyokong OIS, manakala kamera Ultra Lebar mempunyai aperture f/1.9. Sistem ini turut menawarkan sehingga 2x Optical Quality Zoom dan digital zoom sehingga 10 kali.

Samsung turut mengintegrasikan ProVisual Engine untuk membantu menghasilkan imej dan video yang lebih baik, terutama dalam keadaan pencahayaan rendah. Sokongan Nightography pula membolehkan pengguna merakam video dalam keadaan cahaya rendah dengan pemprosesan imej yang membantu mengurangkan noise serta mengekalkan perincian.

Satu lagi fungsi menarik ialah Dual Recording, yang membolehkan pengguna merakam dua perspektif dalam satu video. Ia berguna khususnya untuk pencipta kandungan yang mahu merakam diri sendiri dan subjek di hadapan secara serentak.

Bagaimanapun, ciri kamera Galaxy Z Fold8 mempunyai satu kekurangan yang mungkin boleh ditambah baik pada model akan datang iaitu tiada kamera telephoto khusus.

Berbanding Galaxy Z Fold8 Ultra yang mempunyai kamera Wide 200MP serta kamera telephoto 10MP dengan 3x optical zoom, Fold8 standard lebih menumpukan kepada konfigurasi dual 50MP.

Ini bermakna pengguna yang mahukan kemampuan zoom jarak jauh terbaik mungkin lebih sesuai memilih model Ultra.

Bagaimanapun hasil kamera peranti ini tidak mengecewakan dan lihatlah hasil gambar yang dirakam di bawah ini sepanjang penulis berada di Terengganu baru-baru ini.

KAMERA SWAFOTO

Galaxy Z Fold8 mempunyai kamera 10MP pada (Luar) dan satu lagi kamera 10MP pada skrin dalaman. Kamera pada skrin utama mempunyai medan pandangan 100 darjah, yang membantu ketika mengambil gambar berkumpulan atau melakukan video call.

Walaupun spesifikasi ini tidak kelihatan luar biasa berbanding telefon flagship bar, kelebihan sebenar Fold8 ialah cara kamera tersebut boleh digunakan bersama skrin lipat. Pengguna boleh menggunakan skrin luaran sebagai preview ketika mengambil gambar menggunakan kamera utama, menjadikannya lebih fleksibel untuk swafoto dan pencipta kandungan.

BATERI

Galaxy Z Fold8 dilengkapi bateri 4,800mAh. Samsung mendakwa peranti ini mampu memberikan sehingga 26 jam video playback dalam keadaan tertentu.

Kapasiti 4,800mAh mungkin kelihatan agak biasa untuk sebuah peranti dengan dua skrin, tetapi kecekapan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy dan pengurusan kuasa Samsung membantu memastikan penggunaan harian kekal kompetitif.

Untuk penggunaan biasa seperti media sosial, komunikasi, browsing, video dan kerja ringan, ia sepatutnya mampu bertahan sepanjang hari. Namun, pengguna yang banyak menggunakan skrin utama, gaming atau aplikasi berat perlu menjangkakan penggunaan bateri yang lebih tinggi.

Satu perkara penting ialah Galaxy Z Fold8 lebih sesuai dilihat sebagai peranti produktiviti dan entertainment berbanding telefon gaming semata-mata.

PERISIAN

Salah satu kelebihan besar Samsung pada masa kini ialah sokongan perisian. Galaxy Z Fold8 menerima sehingga 7 generasi kemas kini OS dan security updates, manakala halaman Samsung Business menyatakan tempoh kemaskini keselamatan (security update) sehingga 31 Julai 2033.

Ini menjadikan Galaxy Z Fold8 sebuah peranti yang mempunyai jangka hayat penggunaan panjang. Bagi pengguna yang membeli telefon flagship pada harga premium, sokongan sebegini penting kerana peranti tidak akan cepat ketinggalan daripada segi perisian.

HARGA DAN PILIHAN

Samsung Malaysia menawarkan Galaxy Z Fold8 dalam tiga konfigurasi utama:

  • 12GB RAM + 256GB – RM7,299
  • 12GB RAM + 512GB – RM8,099
  • 16GB RAM + 1TB – RM9,699

Pilihan storan 1TB dengan RAM 16GB sememangnya menarik untuk pengguna yang menghasilkan kandungan video, menyimpan banyak fail atau mahu menggunakan telefon ini untuk tempoh yang panjang.

KESIMPULAN

Galaxy Z Fold8 bukan sekadar peningkatan spesifikasi daripada generasi sebelumnya. Perubahan paling penting sebenarnya terletak pada reka bentuk dan pengalaman penggunaan.

Skrin luaran yang lebih lebar menjadikan penggunaan ketika dilipat lebih praktikal, manakala skrin utama 7.6 inci masih memberikan pengalaman seperti tablet apabila diperlukan.

Dengan berat hanya 201 gram, reka bentuk lebih nipis, Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy, kamera dual 50MP, Galaxy AI dan sokongan perisian sehingga tujuh generasi, Galaxy Z Fold8 kini kelihatan lebih matang sebagai peranti harian.

Namun, harga yang bermula pada RM7,299 bukanlah murah. Ketiadaan kamera telephoto khusus dan sokongan S Pen juga menjadi kekurangan yang perlu dipertimbangkan. Bonggol kamera utama pula kelihatan ketara menyebabkan peranti ini tidak rata apabila diletakkan atas meja ketika dalam keadaan lipat.

Kesimpulannya, Galaxy Z Fold8 paling sesuai untuk pengguna yang mahu satu peranti yang boleh berfungsi sebagai telefon pintar dan tablet dalam masa sama, khususnya golongan profesional, pencipta kandungan dan pengguna yang banyak melakukan pelbagai tugas.

Jika keutamaan anda ialah kamera paling lengkap, zoom jarak jauh atau pengalaman stylus, Galaxy Z Fold8 Ultra mungkin lebih berbaloi. Tetapi jika anda mahukan Fold yang lebih ringan, kompak dan mudah dibawa setiap hari, Galaxy Z Fold8 merupakan antara evolusi paling menarik dalam siri foldable Samsung setakat ini.

Bagi anda yang gemar mengikut gaya semasa, peranti ini mungkin menjadi pilihan namun peranti ini juga sesuai bagi wanita kerana ia kompak dan mudah dibawa ke mana sahaja.

SPESIFIKASI

  • Skrin Luar : 5.5” WUXGA+ Dynamic AMOLED 2X, HDR10+, 2600 nit sehingga 120Hz
  • Skrin Dalam : 7.6” QXGA+ Dynamic AMOLED 2X, HDR10+, 2600 nit sehingga 120Hz
  • Pemproses: Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy (3nm)
  • CPU: Octa-Core, sehingga 4.74GHz
  • RAM: 12GB / 16GB
  • Storan: 256GB
  • OS: Android 17 + One UI 9
  • Kamera belakang: 50MP f/1.9 OIS (Sudut Lebar) + 50MP f/2.2 (Ultra Lebar)
  • Kamera swafoto: 10MP f/2.2 (luar) + 10MP f/2.2 (Dalam)
  • Zoom: 2x Optical Quality Zoom, sehingga 10x Digital Zoom
  • Video: sehingga 8K
  • Bateri: 4,800mAh
  • Berat: 201g
  • Ketebalan dibuka: 4.5mm
  • Ketebalan dilipat: 9.7mm
  • Ketahanan: IP48
  • Sambungan: 5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0, NFC, UWB
  • USB: USB Type-C 3.2 Gen 1
  • Samsung DeX: Ya
  • S Pen: Tidak disokong
  • Warna: Lavender, Graphite, Cream dan Pistachio
  • Harga: RM7,299 (12/256GB)

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini