Isuzu D-MAX serba baharu yang dikuasakan oleh enjin diesel turbo 2.2L generasi baharu telah berjaya menamatkan perjalanan satu pusingan mengelilingi Semenanjung dengan hanya menggunakan hanya satu tangki diesel.

Pencapaian tersebut diraih melalui D-MAX One Tank, One Nation Challenge, sekali gus telah menjadi bukti bahawa Isuzu D-MAX kekal menjadi sebuah kenderaan cekap tenaga dan bahan api dalam pasaran tempatan ketika ini. Dalam cabaran berkenaan, D-MAX telah menempuh perjalanan mengelilingi seluruh Semenanjung tanpa memerlukan isian semula bahan api.

Enjin RZ4F-TC 2.2L baharu yang menggerakkan Isuzu D-MAX terbaharu ini merupakan enjin terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang sejarah syarikat setakat ini, yang merangkumi kecemerlangan dari pelbagai aspek termasuk prestasi, kehalusan buatan, ketahanan, kebolehpercayaan dan juga kecekapan.

Sebagai membuktikan keunggulan menyeluruh enjin diesel turbo 2.2 liter baharu ini, satu perjalanan mengelilingi Semenanjung Malaysia telah dimulakan pada Isnin, 17 Ogos 2026 di Balakong, Selangor melibatkan dua unit trak pikap Isuzu D-MAX terbaharu.

Perjalanan tersebut melibatkan persinggahan di pelbagai lokasi seperti di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak sebelum kembali semula ke Selangor.

Sepanjang perjalanan tersebut, D-MAX yang terlibat telah melakukan 10 hentian di lokasi pengedar Isuzu sebelum tiba di destinasi akhir di Pusat 3S Isuzu Jinjang, Kuala Lumpur pada Sabtu 22 Ogos 2026.

Apa yang lebih menarik, kedua-dua trak pikap berkenaan tiba di garisan penamat dengan bahan api yang masih berbaki di dalam tangki, yang boleh digunakan untuk jarak perjalanan ke Melaka sebelum perlu diisi semula!

Ketua Pegawai Operasi Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo menyatakan bahawa pencapaian itu bukan sahaja menyerlahkan kecekapan penggunaan bahan api enjin Isuzu D-MAX 2.2L baharu, malah turut membuktikan keupayaan D-MAX sebagai sebuah kenderaan yang benar-benar berkemampuan luas dan sesuai untuk setiap jenis permukaan jalan di Malaysia.

“D-MAX One Tank, One Nation Challenge adalah hasil daripada keinginan kami untuk mempamerkan keupayaan Isuzu D-MAX baharu dan enjin 2.2 liternya dengan cara yang belum pernah dilakukan oleh pihak lain sebelum ini.

“Kami juga ingin mencerminkan keadaan penggunaan sebenar di laluan dan jalan raya yang terpaksa dihadapi oleh pengguna di Malaysia. Ini termasuklah terpaksa menempuh cuaca hujan, lalu lintas yang sesak, jalan utama yang diturap dengan baik, permukaan bumi bergunung-ganang dan juga lebuh raya.

“Keyakinan kami terhadap keupayaannya cukup tinggi, dan kami berani untuk menghebahkan hal berkenaan kepada umum secara terbuka dan telus. Semua ini
boleh diikuti dan disaksikan melalui laman media sosial rasmi Isuzu Malaysia,” katanya.

Dua unit Isuzu D-MAX baharu telah digunakan untuk menggalas cabaran ini, terdiri daripada varian 4×4 Auto Premium dan 4×2 Auto Plus. Kedua-duanya berjaya menyudahi perjalanan dengan diesel di dalam tangki yang masih berbaki lebih daripada empat peratus, walaupun selepas menamatkan perjalanan yang mencatatkan jarak keseluruhan 1,756 km — melalui jalur lebuh raya, jalan utama dan juga merentasi kawasan pergunungan melalui East-West Link dari Jeli ke Gerik.

Memandu varian 2.2L TD 4×2 Auto Plus ialah Sing Yuin Christy yang namanya pernah dicatat dalam Malaysian Book of Records sebelum ini sebagai individu yang berjaya mencapai jarak pemanduan trak pikap paling jauh dengan hanya menggunakan satu tangki bahan api.

Beralih daripada D-MAX X-Terrain 3.0L miliknya sendiri, Christy menjelaskan bahawa adalah lebih mudah untuk memandu varian 4×2 Auto Plus 2.2Lkali ini, yang didorong oleh gandingan enjin dan transmisi baharu yang sangat cekap dan mantap.

“Tindak balas pendikit untuk enjin baharu serta cara penyampaian kuasanya telah dipadankan secara sangat baik, dengan nisbah kotak gear automatik lapan-kelajuan
baharunya juga akan menjamin pacuan sentiasa akan berada dalam gear yang betul dalam apa saja keadaan jalan yang dilalui.

Peraduan Guess the Final Mileage juga dibuka untuk penyertaan orang ramai melalui laman media sosial rasmi Isuzu yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM10,000 untuk dimenangi.

Penyertaan yang dipilih sebagai pemenang pula telah dimaklumkan kepada seorang peserta dari Kluang, Johor yang meneka dengan tepat jarak akhir 1,756 km, yang akan memenangi baucar beli-belah barangan runcit bernilai RM5,000 sebagai habuan.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini