Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara rasminya menjalin kerjasama dengan pengendali rangkaian restoran khidmat pantas terbesar di rantau ini, QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), menerusi anak syarikatnya, QSR Stores Sdn Bhd; bagi melaksanakan inisiatif 2u2i pertamanya di dalam program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA).
Kerjasama ini sejajar bagi menyokong mandat kerajaan di dalam menggerakkan pembangunan kemahiran dan modal insan negara menerusi sistem pendidikan tinggi yang diperbaharui supaya dapat menerajui pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia, sekaligus memacu negara ke hadapan.

Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), program akademik 2u2i menyokong perlaksanaan pembelajaran fleksibel menerusi penglibatan industri di dalam penggubalan kurikulum merangkumi pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential) di tempat kerja.
Kurikulum yang digubal bersama akan memantapkan pengetahuan dan kemahiran industri dalam kalangan pelajar, sekaligus meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.
Kerjasama berkenaan telah dimeterai menerusi sebuah Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani oleh Emeritus Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); dan Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan Kumpulan QSR Brands.
Turut hadir di dalam majlis tandatangan berkenaan ialah Prof. Dr. Cairul Iqbal Mohd Amin, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Kerjasama strategik ini memberi peluang kepada pelajar program BBA untuk mendapatkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential) menerusi latihan industri di restoran KFC.
Mengambil rangka 3u1i di bawah inisiatif 2u2i, para pelajar bakal menjalani latihan industri selama satu tahun selepas mengikuti pengajian akademik selama tiga tahun.
“Penempatan industri bagi kelompok pertama pelajar BBA tahun akhir yang memilih mod ini dijangka bermula pada Febuari 2020 di restoran KFC terpilih. Sepanjang tempoh latihan, para pelajar akan diberi elaun bulanan sebanyak RM1000 oleh pihak QSR Brands.
Keunikan inisiatif ini adalah kelompok pertama yang diambil merupakan pelajar tahun akhir yang telah melengkapkan modul tiga tahun di universiti,” kata Emeritus Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Sebagai sebuah organisasi perniagaan yang telah lama bertapak di Malaysia, kami turut bertanggungjawab untuk menyumbang program-program pembangunan kemahiran dan modal insan yang mantap ke arah menyerlahkan potensi penuh negara.
“Di dalam latihan selama setahun itu, pelajar akan menjalani lima modul dengan 30 jam kredit di restoran KFC seperti yang telah ditetapkan dan diluluskan oleh QSR Brands. Ini akan memberikan mereka pendedahan secara langsung di dalam bidang pengurusan restoran mengikut piawaian terbaik global,” kata Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan Kumpulan QSR Brands.



































