Seramai 280 peserta mengambil bahagian dalam Acara Mencari Harta Karun kali ke-10 anjuran Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad (SEKATARAKYAT), Sabtu lalu.
Program tahunan itu dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Dato’ Rosman Mohamed di Menara Kembar Bank Rakyat yang menyaksikan penyertaan membabitkan 70 kereta.
Bertemakan Latino’s & Latina’s, acara itu merupakan inisiatif SEKATARAKYAT bagi mengukuhkan hubungan dengan anggota koperasi Semenanjung Malaysia dan rakan niaga mereka.
Selain itu, bagi memeriahkan lagi acara ini, Bank Rakyat menganjurkan kategori media. Kategori ini menyaksikan penyertaan 11 pasukan media sebagai tanda penghargaan atas liputan positif terhadap Bank Rakyat.
Peserta dilepaskan di Menara Kembar Bank Rakyat dan berakhir di Swiss Garden Hotel, Melaka.
Rosman berkata, acara itu amat bertepatan dengan prinsip koperasi yang mana memerlukan semangat kerjasama, persefahaman dan bertolak ansur dalam menyelesaikan halangan dalam pencarian harta karun.
“Begitu jugalah dengan prinsip koperasi yang mementingkan kesemua aspek tersebut bagi memberikan dividen yang terbaik kepada anggota.
“Selain itu, melalui aktiviti sebegini, hubungan dalam gerakan koperasi dapat diutuhkan. Ia juga selari dengan Prinsip Ke-6 dalam Prinsip-Prinsip Koperasi, iaitu ‘Kerjasama Antara Koperasi’,” katanya berucap pada majlis perasmian program tersebut.
Sementara itu, menerusi program ini juga, para peserta turut menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak Yatim At-Taqwa.
“Inisiatif ini adalah seiring dengan aspirasi Bank Rakyat 2025 (BR25) sebagai Bank Lestari yang menyokong pembangunan sosial serta berkongsi kemakmuran bersama berasaskan prinsip 3P (People, Planet and Progress) iaitu Manusia, Planet dan Kemajuan,” katanya lagi.
Di samping itu, penglibatan Bank Rakyat dan SEKATARAKYAT menerusi program ini adalah sejajar dengan pelan BR25 bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari yang ketiga iaitu “Kesejahteraan dan Kesihatan yang Baik” melalui penglibatan dalam program sukan dan riadah.