Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini mengumumkan prestasi kewangan bagi suku pertama tahun 2026 dengan pendapatan sebanyak RM501.4 juta dalam suku pertama tahun 2026, mewakili peningkatan 7.2 peratus suku ke suku (berbanding suku keempat 2025) dan pertumbuhan 7.3 peratus tahun ke tahun (berbanding suku pertama tahun 2025).
Kerugian sebelum cukai berkurangan sebanyak 79.7 peratus suku ke suku, dan 63.7 peratus tahun ke tahun, didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada semua segmen, terutamanya segmen pos, penerbangan dan segmen ‘lain’.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, kumpulan mencatat prestasi yang lebih berdaya tahan pada suku pertama, disokong oleh pertumbuhan pendapatan merentas semua segmen, dengan sumbangan yang amat kukuh terutamanya daripada segmen pos dan penerbangan, diperkukuh oleh inisiatif kawalan kos yang berterusan.
“Walaupun cabaran struktur kekal — terutamanya dalam segmen pos, kami mula melihat manfaat daripada pengoptimuman rangkaian, pengurusan hasil yang lebih berdisiplin serta pendigitalan yang lebih tersasar di bawah usaha transformasi kami yang berterusan.
“Fokus kami kini tertumpu sepenuhnya kepada mengekalkan disiplin operasi ini, meningkatkan kualiti pendapatan, dan memastikan segmen pos kekal berdaya maju dalam jangka panjang, termasuk melalui penglibatan konstruktif dalam pembaharuan Akta Perkhidmatan Pos serta pembiayaan bagi melaksanakan Kewajipan Perkhidmatan Sejagat (USO).”
Segmen Pos Jumlah bungkusan meningkat sebanyak 24.6% tahun ke tahun, didorong oleh aktiviti e-dagang yang berterusan dan peningkatan bahagian pasaran, dengan pihak pengurusan terus mengutamakan peningkatan margin seiring dengan pertumbuhan volum.
Meskipun mencatat momentum positif, segmen ini masih berdepan cabaran struktur berikutan penurunan berterusan dalam jumlah mel tradisional, dan pengurangan kunjungan ke premis runcit disebabkan oleh penggunaan digital yang semakin pesat.




































