Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, menyatukan perkhidmatan kurier domestik dan antarabangsa di bawah jenama Pos Laju sebagai sebahagian daripada usaha transformasinya yang berterusan untuk memperkukuh sokongan kepada perniagaan tempatan yang ingin berkembang ke pasaran rentas sempadan.
Dengan pengalaman lebih 200 tahun menghubungkan masyarakat dan perniagaan, Pos Malaysia telah lama memainkan peranan penting dalam memacu perdagangan di dalam dan luar negara. Penyatuan ini mencerminkan fasa transformasi syarikat yang seterusnya, dengan memudahkan akses perniagaan kepada perkhidmatan penghantaran sambil memperkukuh Pos Laju sebagai platform tunggal yang diyakini untuk penghantaran dalam negara dan ke luar negara.
Menerusi penyatuan ini, semua perkhidmatan kurier akan ditawarkan di bawah jenama Pos Laju, meliputi penghantaran tempatan dan antarabangsa melalui satu platform yang lebih mudah, jelas dan lancar untuk pelanggan.
Langkah ini dibuat ketika semakin banyak perniagaan Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mula meneroka pasaran luar negara sebagai sumber pertumbuhan baharu. Seiring perkembangan e-dagang rentas sempadan, penyelesaian logistik yang mudah dan boleh dipercayai kini menjadi keperluan penting bagi perniagaan yang ingin menembusi pasaran baharu.

Pos Malaysia telah lama berada di barisan hadapan dalam menyokong pertumbuhan e-dagang negara melalui Pos Laju, dengan membantu perniagaan menghantar barangan kepada pelanggan di seluruh negara.
Berasaskan kekuatan ini, syarikat kini turut membuka akses ke pasaran global melalui gabungan rangkaian penghantaran pos dan komersialnya yang meluas, meliputi sehingga 230 negara dan wilayah. Selain penghantaran, Pos Malaysia turut menyokong perniagaan melalui ekosistem e-dagang menyeluruh yang merangkumi kemudahan pemenuhan seperti penyimpanan, pengambilan dan pembungkusan pesanan, serta penyelesaian penghantaran bersepadu.
Ini membolehkan perniagaan menumpukan perhatian kepada pertumbuhan jualan, sementara Pos Malaysia mengurus kerumitan pemprosesan pesanan dan logistik di sebalik tabir. Penyatuan ini turut disokong oleh prestasi operasi yang semakin kukuh, dengan penghantaran bungkusan domestik hari berikut (D+1) Pos Malaysia meningkat kepada 92% pada tahun 2025, mencerminkan kemajuan berterusan dari segi kebolehpercayaan perkhidmatan.
Mengulas langkah ini, Charles William, Ketua Pegawai Jualan Kumpulan Pos Malaysia berkata penyatuan ini bertujuan membantu perniagaan bukan sekadar berniaga dalam talian, tetapi berkembang secara lebih mampan dalam ekosistem digital.
“Hari ini, e-dagang bukan lagi sekadar menjual dalam talian, tetapi tentang keupayaan perniagaan untuk berkembang dengan lebih cekap dan membuat penghantaran yang boleh diharap kepada pelanggan, di mana sahaja mereka berada.
“Dengan Pos Laju sebagai platform tunggal, kami memudahkan perniagaan beralih daripada penghantaran domestik kepada perdagangan rentas sempadan, sambil menyokong mereka,” katanya.






































