Volvo Cars mengumumkan satu inovasi besar dalam aspek keselamatan kenderaan — iaitu pengenalan tali pinggang keledar multi-adaptif, teknologi pertama seumpamanya di dunia yang direka untuk meningkatkan lagi keselamatan semua pengguna jalan raya dalam situasi sebenar.
Teknologi baharu ini akan diperkenalkan dalam Volvo EX60 serba elektrik yang dijadualkan dilancarkan pada tahun 2026. Ia direka untuk melindungi penumpang dengan lebih baik melalui keupayaan penyesuaian terhadap perubahan trafik serta ciri individu yang memakainya, hasil penggunaan data masa nyata daripada sensor canggih kenderaan.
Tali pinggang keledar multi-adaptif ini mampu memanfaatkan input daripada sensor dalaman dan luaran untuk menyesuaikan tahap perlindungan. Ia boleh diubah suai mengikut situasi serta profil individu seperti ketinggian, berat badan, bentuk tubuh dan posisi duduk mereka.
Sebagai contoh, penumpang bersaiz besar yang terlibat dalam kemalangan serius akan menerima tetapan beban tali pinggang yang lebih tinggi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepala. Sebaliknya, penumpang bersaiz kecil dalam pelanggaran yang lebih ringan akan menerima beban tali pinggang yang lebih rendah untuk mengurangkan risiko patah tulang rusuk.
Keupayaan ini dicapai dengan meningkatkan bilangan variasi profil had beban secara signifikan — profil ini berperanan untuk mengawal daya hentakan ke atas tubuh penumpang semasa kemalangan. Tambahan pula, sistem ini boleh diperbaharui melalui kemas kini perisian secara over-the-air (OTA), menjadikannya semakin baik dari semasa ke semasa.
“Tali pinggang keledar multi-adaptif pertama di dunia ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam keselamatan automotif, dan bukti bagaimana kami memanfaatkan data masa nyata untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa,” kata Åsa Haglund, Ketua Pusat Keselamatan Volvo Cars. “Ia juga merupakan naik taraf besar kepada tali pinggang keledar tiga titik moden — ciptaan Volvo sejak 1959 yang dianggarkan telah menyelamatkan lebih sejuta nyawa.”