Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, hari ini menyertai perkhidmatan pos di seluruh dunia untuk memperingati Hari Pos Sedunia.
Disambut setiap tahun pada 9 Oktober, hari penting ini meraikan ulang tahun Kesatuan Pos Sedunia (UPU) sambil meningkatkan kesedaran tentang peranan sektor pos dalam kehidupan seharian masyarakat dan perniagaan serta sumbangannya kepada pembangunan sosial dan ekonomi dunia.
Tema Hari Pos Sedunia tahun ini, “150 tahun memudahkan komunikasi dan memperkasakan rakyat merentas sempadan”, menjadi tumpuan utama pada sambutan tempatan yang diadakan di ibu pejabat Pos Malaysia di Kompleks Dayabumi hari ini.
Dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching acara tersebut mengetengahkan filem pendek baharu Pos Malaysia yang memaparkan kisah transformasi luar biasa Syarikat sepanjang dua abad yang lalu untuk menjadi lebih daripada sekadar pejabat pos untuk rakyat hari ini, dan komitmen teguh untuk menyampaikan hubungan dan meningkatkan kehidupan.
Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, filem pendek ini bukan sahaja
menghormati warisan Pos Malaysia yang kaya dan berpanjangan di negara ini, tetapi yang lebih penting ia menandakan komitmen kami untuk terus memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang sentiasa berubah dalam era digital ini.
Kini, Pos Malaysia bukan lagi sekadar menghantar surat dan bungkusan; kami kini menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan inovatif, termasuk logistik hujung ke hujung, pengendalian penerbangan (‘ground handling’), hingga ke penyelesaian runcit dan digital. Kami telah menempuh perjalanan yang jauh dalam tujuan kami untuk menghubungkan orang ramai dan perniagaan untuk masa depan yang lebih baik.
Fahmi berkata, Pos Malaysia terus menjadi tulang belakang pembangunan perdagangan dan ekonomi negara kita.
“Semasa kita berkumpul untuk meraikan Hari Pos Sedunia, marilah kita mengingati bahawa perkhidmatan pos adalah lebih daripada sekadar sistem untuk menghantar surat dan bungkusan. Ia mewakili infrastruktur kritikal yang menyokong pertumbuhan ekonomi, memudahkan perdagangan, dan menghubungkan komuniti.
“Nilai sentuhan peribadi dan perkhidmatan pos kekal tidak terganti dalam era komunikasi digital pantas hari ini,” katanya.



































