Jika bercakap tentang trak satu tan yang berkemampuan tinggi dan sentiasa boleh diharap, tidak begitu banyak pesaing yang boleh menandingi apa yang ada pada Isuzu D-Max Single Cab.

Trak pikap yang penuh kepelbagaian ini memberikan keanjalan penggunaan kepada pemilik perniagaan untuk memenuhi keperluan pengangkutan mereka.

Ia menawarkan aspek penggunaan yang sangat luas; dari menelusuri laluan sempit di dalam bandar untuk penghantaran barangan hinggalah kepada mengangkut beban berat bagi tujuan perladangan, Isuzu D-Max Single Cab adaalah segalanya yang diperlukan.

Sebagai satu-satunya pengeluar di Malaysia yang menawarkan dua pilihan enjin untuk trak Single Cab, Isuzu membawakan tahap nilai tersendiri kepada pelanggan dengan cara memenuhi keperluan individu mereka.

Semua ini digandingkan pula dengan sistem pacuan empat roda yang cemerlang, dengan menampilkan differential lock sebagai ciri standard—anda akan mempunyai sebuah kenderaan yang boleh di bawa ke mana sahaja, untuk tujuan apa pun.

Dengan ini, dua unit Isuzu D-Max 1.9-liter Single Cab akan ikut serta untuk berkhidmat
dalam acara Borneo Safari tahun ini, beriringan dengan tiga lagi unit Isuzu D-Max X-Terrain sebagai kenderaan rasmi media bagi acara tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe, versi Single Cab dipilih untuk menggalas peranan sokongan dalam acara ini kerana kebolehannya sebagai jentera yang kental dan serba boleh.

“Untuk menakluki acara seperti Borneo Safari yang menghamparkan laluan sukar dalam hutan, ia tidak hanya memerlukan kenderaan dengan sistem 4×4 yang mantap, tetapi juga perlu dihadirkan dengan kemampuan yang sangat tinggi untuk memastikan ia berhasil melepasi cabaran lapan hari dalam keadaan yang ekstrim seperti itu.

“Dengan warisan panjang Isuzu D-Max sebagai sebuah trak pikap, ia tidak disangkal lagi menjadi salah kenderaan media yang paling boleh diharap sepanjang edisi terdahulu acara ini, dan telah berhasil mengangkut media dan peralatan mereka menempuhi pelbagai situasi dan keadaan setiap tahun sejak sedekad lalu,” kata Okazoe.

Sebagai Penaja Berlian bagi acara ini buat sekian kalinya, Okazoe menyerahkan dokumen penajaan dan kunci bagi kenderaan rasmi media berkenaan kepada Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez Nordin.

Borneo Safari tahun ini memasuki penganjurannya bagi tahun ke-31 dan diiktiraf sebagai satu daripada cabaran off-road paling sukar di dunia. Acara ini bakal dilepaskan di hadapan pejabat Lembaga Pelancongan Sabah pada Ahad, 29 Oktober 2023 dan akan menjelajahi kawasan pergunungan Sook dan Ranau sebelum kembali ke Kota Kinabalu selepas seminggu.

Isuzu Malaysia sekali lagi akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia, Lembaga Pelancongan Sabah serta Red Springs Sdn Bhd untuk menerbitkan siri video web yang
mempromosikan acara ini khususnya, dan Sabah umumnya sebagai destinasi
pengembaraan.

Melalui siri video berkenaan, penonton akan dapat menyaksikan pelbagai cabaran yang dilalui di sepanjang berlangsungnya Borneo Safari serta berpeluang memenangi cenderahati eksklusif dengan menyertai peraduan “tonton dan menang” yang akan
berlangsung selepas acara berkenaan selesai.