HONOR, pengeluar telefon pintar terkemuka dari China memperkenalkan peranti terbaharunya HONOR X9b 5G dengan mempertaruhkan ciri-ciri lasak bertemakan “Tahan Lasak Semua Sudut”.
Sememangnya HONOR benar-benar membuktikan peranti itu cukup tahan lasak apabila dianugerahkan sebagai telefon pintar pertama dunia memperoleh pensijilan lima bintang rintangan jatuh setiap sudut oleh SGS Switzerland, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai telefon pintar paling tahan lasak sehingga hari ini.
Ketika majlis pra pengenalannya, media dipelawa untuk menguji peranti itu menerusi beberapa ujian termasuk ujian ketahanan apabila peranti itu ditembak menggunakan senapang paintball melibatkan sebanyak 2,500 das peluru.
Buktinya, HONOR X9b kelihatan langsung tidak terjejas akibat tembakan, membuktikan ketahanannya yang tiada tandingan dan dapat meyakinkan kenyataan tentang daya tahannya terhadap peluru.
Selain itu, peranti ini turut digunakan untuk memecahkan papan kayu membabitkan sejumlah 200 keping papan kayu.
Apa yang menarik dengan model terbaharu ini? Paling jelas ciri kamera utama dengan sensor 108 megapiksel (MP) dan kamera swafoto 16MP serta bateri berkapasiti 5800mAh yang dianggap cukup besar diberikan kepada setiap media yang terpilih menerima peranti ujian ini.
SKRIN
Peranti ini hadir dengan skrin melengkung 6.78-inci AMOLED Curved dengan resolusi 2652×1200 piksel dan 1.07 bilion warna turut menyokong kadar segar semula 120Hz, boleh memainkan kandungan HDR10+ di Netflix dan Prime Video.
Atas kertas, peranti ini juga memiliki ciri untuk keselesaan mata iaitu pengiktirafan Cahaya Biru Rendah TUV Rheinland, menyokong suhu warna dan mod malam Circadian serta ciri Dynamic Dimming.
Melihat kepada paparan warna, skrin HONOR X9b cukup cantik dan jelas dengan tahap kecerahan amat memuaskan sekali gus meletakkan peranti ini sebaris dengan peranti kelas pertengahan lain.
Malah ketika menggunakan peranti ini di bawah cahaya matahari terik juga tidak akan menimbulkan masalah dan kawalan manual tahap kecerahan boleh mencapai sehingga 1200 nits.
REKAAN LUARAN
HONOR X9b hadir dengan rekaan simitrikal yang nipis dengan saiz 163.6 mm (panjang) X 75.5mm (lebar) X 7.98mm (dimensi) dan berat hanya 185gram termasuk bateri.
Peranti ini hadir dengan rekaan skrin melengkung yang tampil lebih eksklusif dan premium manakala butang bezel tidak terlalu tebal dan ringkas. Peranti ini juga cukup selesa digenggam dan disimpan kemas dalam kocek seluar atau dompet wanita.
Melihat kepada rekaan belakang pula, ciri rekaan kameranya agak unik dengan bulatan besar jelas kelihatan dan menerima penarafan IP53 iaitu perlindungan habuk serta air.
Apa yang menarik ialah permukaan badan peranti pada panel belakang itu pula kusam sekali gus mengurangkan kesan cap jari dan habuk namun selesa digengam.
Di atas peranti pula terdapat lubang mikrofon, satu lagi lubang sama di bahagian bawah bersama-sama dengan kekisi speaker, slot kad SIM dan port USB-C. Sisi kanan peranti dilengkapi dengan semua butang kuasa dan butang laras suara sementara tiada apa-apa di sisi kiri.
HONOR X9b menawarkan tiga pilihan warna di Malaysia iaitu Sunrise Orange, Titanium Silver dan Midnight Black.
KAMERA
HONOR X9b dilengkapi dengan tri-kamera di belakang yang menggabungkan sensor 108MP Ultra-Jelas kamera, f/1.75, sudut lebar + 5MP, f/2.2, sudut ultra lebar/makro + 2MP, f/2.4, sensor kedalaman dan kamera swafoto 16MP.
Aplikasi kamera turut dilengkapi dengan banyak ciri AI baharu seperti AI Vlog Assistant, AI Video Quality Enhancement, menyokong mod HDR tersendiri, ciri gambar mod resolusi tinggi dan banyak lagi ciri menarik termasuk pengurangan bunyi bising video.
Menggunakan mod malam juga menghasilkan gambar yang cantik dengan tahap kecerahan warna lebih jitu meskipun zum digital digunakan.
BATERi
Peranti ini dibekalkan dengan bateri sebesar 5800mAh dengan sokongan pengecasan pantas 35W HONOR SuperCharge. Dengan sekali cas, peranti ini boleh bertahan selama tiga hari iaitu 12 jam untuk bermain game atau 22 jam meneroka media sosial.
Pengecasan adalah melalui kabel USB-A ke USB-C yang mana kedua-dua kabel dan palam pengecas disediakan di dalam kotak.
Tidak ketinggalan, HONOR 90 dipadankan dengan cip prosesor Qualcomm SM6450 Snapdragon 6 Gen 1 (4 nm) dan pilihan memori pula mencapai 20GB RAM (12+8GB) dan storan dalaman 256GB.
Bagaimanapun, harga bagi peranti ini masih belum diumumkan, namun penuiis menjangkakan ia bakal ditawarkan pada harga sekitar RM2,000.
APA ADA DALAM KOTAK?
- 1 unit HONOR X9b.
- 1 unit Pengecas 35W HONOR SuperCharge
- 1 unit Kabel USB-A ke USB-C
- 1 unit Pin SIM.
- 1 unit Kerangka silikon.
- 1 Unit Headphone dan adapter
- 1 unit Buku panduan dan keselamatan.
* NANTIKAN ULASAN PENUH HONOR X9b 5G