Pusat Pilihan Pengguna (CCC) baharu sahaja menerbitkan sebuah Laporan Perbincangan Meja Bulat Mengenai Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam: Ruang untuk Penambahbaikan yang diadakan pada 23 Ogos 2023 baru-baru ini di Majestic Hotel, Kuala Lumpur.

Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, tujuan utama perbincangan meja bulat untuk mendapatkan pandangan alternatif daripada pakar pelbagai bidang serta menilai dan meneliti rang undang-undang secara komprehensif dengan mengambil kira aspek kesihatan, perundangan, ekonomi dan kebolehlaksanaan.

Selain itu juga, laporan ini bertujuan untuk menyediakan cadangan penambahbaikan rang undang-undang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, Kementerian Kesihatan dan penggubal dasar.”

Dalam pada itu, Tarmizi menekankan bahawa laporan ini penting untuk diteliti oleh pembuat dasar bagi memastikan dasar Generasi Penamat yang hendak dilaksanakan dikaji dengan lebih mendalam dan mengambil pendekatan yang lebih praktikal serta boleh dilaksanakan.

“Pihak pembuat dasar wajar meneliti intipati laporan ini kerana kerisauan kita adalah rang undang-undang tembakau ini akan berakhir dengan peningkatan perdagangan haram dan kekurangan penilaian impak yang menyeluruh terutamanya kepada pengguna.”

“Selain itu, pihak Kerajaan juga perlu melakukan proses libat urus yang lebih bermakna dan berkualiti bagi memastikan setiap pihak berkepentingan dilibatkan dengan betul dalam proses perundingan. Kita tidak mahu hanya diberikan sekadar antara 10 ke 15 minit pembentangan tetapi tidak mempunyai sebarang perbincangan secara lanjut selepas itu.”

Menurut YB Dr. Afif Bahardin yang merupakan ADUN Taman Medan, beliau berpendapat bahawa Generasi Penamat akan gagal kerana kekurangan sumber dan modal insan. Hal ini berdasarkan pengalaman beliau berurusan dengan Kementerian Kesihatan sewaktu menjawat Exco Kesihatan Kerajaan Pulau Pinang yang cuba menjadikan memastikan Pulau Pinang sebagai zon bebas asap rokok tetapi tidak berjaya.

“Di Malaysia, perdagangan haram berleluasa dan dari pandangan saya GEG akan gagal, sama seperti bagaimana Pulau Pinang cuba melakukannya sebelum ini. Kita perlu memberi tumpuan kepada cara mengawal rokok.

“Pada masa ini tiada peraturan vape dan tiada peraturan pada tahap nikotin. Dapatkan sokongan daripada semua orang bukan sahaja daripada penguatkuasaan tetapi juga untuk komuniti. Juga bukannya menumpukan pada memperkenalkan rang undang-undang baharu. Kedai makan masih ada orang merokok, penguatkuasaan perlu ada. Saya fikir menyokong pendidikan masyarakat adalah jauh lebih penting daripada mengenakan undang-undang baharu”, katanya.

Selain itu, Keu Kok Meng selaku Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya mengatakan sehingga kini KKM atau penguatkuasa undang-undang tidak boleh mengawal undang-undang semasa seperti merokok di kedai makan.

“Di kedai kopi saya tidak nampak penguatkuasa undang-undang datang untuk melarang orang merokok. Kerajaan dah buat semua iklan tapi orang masih merokok. Yang paling penting tanggungjawab penguatkuasaan perlu dilakukan oleh badan penguatkuasa dan bukannya kedai kopi.”

Menurut Benedict Weerasena sehingga Mei 2021, rokok haram terus meningkat dan menekankan peri penting penguatkuasaan menangani isu perdagangan haram sebelum memperkenalkan dasar generasi penamat.

“Kesan ke atas GEG bagi peruncit ialah kehilangan hasil, kos pematuhan, kos peralatan, kos pemantauan, kos peluang dan yuran guaman. Berdasarkan kajian kami, jumlah kos penguatkuasaan untuk GEG dianggarkan sebanyak RM 303 juta setahun termasuk kos trek tembakau, kempen kesedaran awam, kos pentadbiran, penguatkuasaan tambahan untuk menyekat pertumbuhan pasaran rokok haram.”

“Kita tidak mahu jadi seperti Afrika Selatan pada Mac 2020 kerajaan mereka memperkenalkan larangan ke atas penjualan produk tembakau. Tetapi 93% perokok masih boleh terus membeli rokok dan harga purata meningkat sebanyak 250%. Sekiranya perkara ini tidak dikawal ia menghasilkan persepsi negatif bahawa negara kita lebih mengutamakan penyeludupan berbanding sumber yang sah.” katanya.