Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited dalam memacu pembangunan keusahawanan francais negara dengan kolaborasi strategik dengan negara-negara luar.

Melalui “Program Connecting Opportunities : Kuala Lumpur – Ankara”, Pernas menerima kunjungan daripada Küçük ve Orta Ölçekli İşletmeleri Geliştirme ve Destekleme İdaresi Başkanlığı (KOSGEB) yang merupakan organisasi perusahaan kecil dan sederhana negara Turkiye yang diwakili oleh Dr. Fatih GÖKYURT, Naib Presiden KOSGEB.

Kunjungan hormat ini dilaksanakan bagi membincangkan peluang kerjasama dalam bidang francais, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), latihan dan pembangunan keusahawanan serta kerjasama perdagangan antarabangsa antara Malaysia dan Turkiye.

Menurut Dato’ Abu Bakar As-Sidek Dato’ Haji Mohd Sidek, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas menyatakan bahawa kunjungan ini juga bertujuan membina hubungan dan mewujudkan perkongsian baharu antara Pernas dan KOSGEB seperti perluasan pasaran, perkongsian teknologi, pembinaan kemahiran dan kapasiti serta mewujudkan jaringan kerjasama di antara usahawan francais di bawah Pernas bersama usahawan-usahawan Turkiye.

“Pernas mempunyai misi untuk meneraju francais halal Malaysia menembusi pasaran Turkiye. Diharap dengan pertemuan ini dapat menghubungkan peluang perdagangan dua hala PKS Malaysia dan Turkiye selaras dengan aspirasi jenama Pernas “Memperkasa Pertumbuhan, Menghubungkan Peluang.” tambah beliau.

Kunjungan hormat ini juga turut membuka peluang kepada jenama-jenama francais dan pra-francais tempatan seperti Gloria Jean’s Coffees, 1901, ASQ, CIC, Genius Aulad, Eartheories, FTW Racing, Ayam Penyet Best, AZ Motorsport dan banyak lagi melalui sesi padanan perniagaan (B2B) bersama delegasi usahawan Turkiye.