MEVTA gesa Kerajaan memperkenalkan peraturan

Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) membantah tindakan pihak berkuasa merampas produk vape baru-baru ini yang mengakibatkan usahawan vape kerugian ratusan ribu ringgit.

Timbalan Setiausaha Agung, Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Syamil Hanafiah berkata, tindakan pihak berkuasa seolah mahu menutup periuk nasi mereka yang kini telah pun terjejas akibat impak dari pandemik Covid-19.

“Perniagaan sedia ada sudah pun terjejas ekoran pandemik ini dan kita sedia tahu ekonomi negara juga tidak stabil. Serbuan seperti ini yang merampas pelbagai produk-produk berkaitan vape menjejaskan lagi peniagaan mereka.

Syamil Hanafiah

“Justeru, kami gesa kerajaan untuk segera menwujudkan satu undang-undang atau peraturan untuk mengawal selia industri ini. Jika terdapat undang-undang yang diperkenalkan untuk industri ini, usahawan-usahawan yang majoritinya Bumiputera dapat berkembang dan menjana pendapatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan beberapa siri rampasan dan serbuan premis perniagaan yang dilakukan kerajaan di seluruh negara yang mengakibatkan peniaga-peniaga menanggung kerugian yang besar. 

“Pemain industri vape amat mengalu-alukan usaha kerajaan untuk mengawal selia industri ini malah mereka amat berbesar hati untuk turut serta dalam mencurahkan idea bagi membentuk satu peraturan khusus untuk industri vape.”

“Industri ini amat berpotensi besar kerana ia dianggarkan bernilai lebih daripada RM2 bilion. Oleh itu, kerajaan harus mengambil peluang ini untuk melihat pada sisi positif kemampuan ia menjana pendapatan negara, mencipta peluang pekerjaan serta potensi dalam menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan domestik,” katanya.

Syamil berkata, dengan adanya undang-undang, pemain industri berada di landasan yang betul dan boleh menjalankan urus niaga secara sah tanpa ragu-ragu. 

Sementara itu, mengulas kes tindakan sepasang suami isteri yang telah memberikan anak mereka dipercayai berusia dua tahun, menggunakan vape baru-baru ini, Syamil berkata tindakan tersebut tidak bertanggungjawab dan akan memberikan persepsi yang negatif berkenaan penggunaan vape.

“MEVTA berpendapat perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan pengguna perlu bertanggungjawab ke atas penggunaan vape dan bukan menyalahgunakan produk dengan memberikan kepada kanak-kanak.

“Pada masa yang sama, ini menunjukkan peraturan berkenaan penggunaan vape mesti diperkenalkan supaya dapat membendung perkara seperti ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata, negara-negara seperti United Kingdom dan New Zealand sudah melaksanakan peraturan progresif untuk mengawal selia industri vape termasuk menyenaraikan larangan penggunaan oleh kanak-kanak dan mereka yang dibawah umur 18 tahun.

“Namun di Malaysia, bukan sahaja pemain industri masih ternanti-nanti satu rangka undang-undang digubal, kami masih berhadapan dengan isu seperti ini yang membuatkan tanggapan negatif daripada masyarakat ke atas penggunaan vape walaupun ia dapat membantu perokok berhenti merokok sebagai alternatif yang kurang mudarat.

“Dengan ini MEVTA sekali lagi menggesa kerajaan segera melaksanakan undang-undang untuk industri vape ini. Hentikan tindakan yang boleh merugikan kedua-dua pihak iaitu usahawan seperti kami dan juga kepada ekonomi negara,” katanya lagi.