Kursus teknologi spesialis percuma JobStreet daripada universiti bertaraf dunia menarik perhatian rakyat Malaysia

PIKOM terus menggesa rakyat Malaysia supaya meningkatkan kemahiran (upskill) dan memahirkan semula (reskill) untuk menjadikan kerjaya mereka lebih kalis masa depan.

Awal Mac 2021, portal pekerjaan dalam talian yang terkemuka JobStreet telah mengumumkan kerjasama dengan wadah pendidikan digital British FutureLearn untuk menawarkan peluang peningkatan kemahiran dan latihan semula kepada rakyat Malaysia melalui kursus percuma daripada universiti bertaraf dunia dan pakar industri.

JobStreet dalam kenyataannya berkata, kursus teknologi spesialis adalah antara yang paling popular di bawah inisiatif ini.

“Kursus yang paling popular pada masa ini dalam kalangan rakyat Malaysia ialah ‘An Introduction to Cybersecurity’ yang ditawarkan oleh Open University, iaitu sebuah universiti penyelidikan awam dan universiti terbesar di UK bagi pendidikan siswazah.

“Kursus yang kedua paling popular ialah ‘Programming for Everybody (Getting Started with Python)’ oleh University of Michigan, Amerika Syarikat, sementara di tempat ketiga ialah kursus ‘Logical and Critical Thinking’ yang ditawarkan oleh University of Auckland, New Zealand.

“Big Data Analytics: Opportunities, Challenges, and the Future’ oleh Griffith University, Australia dan ‘English for the Workplace’ oleh The British Council masing-masing di tempat keempat dan kelima paling popular,” katanya.

Pengurus Negara JobStreet, Simran Kaur

Pengurus Negara JobStreet, Simran Kaur berkata, pihaknya berasa gembira melihat rakyat Malaysia mengambil usaha untuk meningkatkan kemahiran dan memahirkan semula diri mereka supaya kekal relevan dalam Ekonomi Digital hari ini.

“Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan meningkatkan taraf kerjaya mereka supaya mereka sentiasa relevan dan diperlukan dalam landskap pekerjaan yang sentiasa berubah dan berkembang.”

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Komputer Dan Multimedia Malaysia (PIKOM), Danny Lee, berkata bahawa rakyat Malaysia hendaklah sentiasa meningkatkan kemahiran dan memahirkan semula diri mereka.

Katanya, kemahiran dan kepakaran ‘digital terlebih dahulu’ atau ‘digital-first’ akan sentiasa mempunyai permintaan disebabkan penyebaran teknologi di tempat kerja moden.

“Terdapat keperluan yang mendesak untuk orang meningkatkan kemahiran mereka dengan pengetahuan teknologi berserta celik digital dan kemahiran boleh pindah,” katanya sambil menggalakkan rakyat Malaysia mendaftar untuk kursus percuma ini melalui portal JobStreet.

PIKOM mengalu-alukan inisiatif JobStreet ini sebagai usaha pembinaan negara dan akan memperkasakan rakyat Malaysia untuk membawa kerjaya pilihan mereka ke tahap seterusnya supaya mereka boleh menjadikan kerjaya mereka lebih kalis masa depan.

FutureLearn, diasaskan pada Disember 2012, adalah milik bersama The Open University, sebuah universiti penyelidikan awam dan universiti terbesar di UK untuk pendidikan siswazah dan SEEK Ltd, syarikat induk JobStreet.

Ia adalah wadah pembelajaran kursus dalam talian terbuka yang paling bereputasi baik di dunia, dan setakat Jun 2020, merangkumi 175 rakan kongsi UK dan antarabangsa, termasuk rakan kongsi bukan universiti.

Kempen ini yang berakhir pada 31 Mei 2021 atau apabila 100,000 baucar kursus telah ditebus sepenuhnya, menawarkan lebih 80 kursus yang memfokus kepada kemahiran insaniah baru muncul dan boleh pindah yang ditawarkan oleh universiti global.

Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada satu kursus sahaja bagi setiap individu. Pelbagai kursus disampaikan langkah demi langkah, dan boleh diakses di telefon bimbit, tablet dan desktop.

Setelah tamat kursus masing-masing, calon akan menerima sijil yang boleh mereka lampirkan pada profil JobStreet mereka sebelum menerokai peluang pekerjaan penting atau ‘jobs that matter’ baharu daripada portal JobStreet.

Nota: Daftarlah untuk mengukuhkan kemahiran anda sekarang: https://www.jobstreet.com.my/career-resources/levelupyourcareer/
#JobsStreetLevelUp