UTM Kuala Lumpur menjadi kampus pertama di Malaysia dengan rangkaian 5G

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) mengumumkan bahawa syarikat tersebut melanjutkan usahasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ericsson (M) Sdn Bhd (Ericsson).

Celcom dan Ericsson turut menyediakan sistem radio 5G percubaan bagi ‘Innovation Center of 5G (IC5G)’ yang dibangunkan pada tahun 2016 di Kampus UTM Kuala Lumpur. Inisiatif ini menjadikan UTM sebagai kampus pertama yang memiliki sistem 5G tersedia untuk membangunkan kes penggunaan dan projek penyelidikan.

Kerjasama ini turut meliputi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam teknologi 5G dan Internet Pelbagai Benda melalui ‘Innovation Centre for 5G (IC5G)’. Pusat ini yang pertama seumpamanya di Malaysia, menampilkan platform penyelidikan dan pembangunan bagi memacu pembelajaran 5G yang berharga dan memupuk inovasi 5G.

Pada April 2019, Celcom pada awalnya menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan UTM dan Ericsson melalui ‘Letter of Intent (LOI)’, yang telah mencetuskan penerokaan awal objektif utama kerjasama itu, iaitu untuk menyokong platform IC5G yang menggunakan teknologi 5G, untuk memperkembang kes-kes penggunaan untuk menyelesaikan isu-isu dan masalah yang dihadapi oleh industri dan masyarakat.

Perjanjian Kerjasama tersebut merupakan lanjutan daripada pelan kerjasama yang dimeterai melalui ‘LOI’ ketiga-tiga organisasi dan melambangkan pencapaian penting dalam komitmen Celcom untuk memperkukuh, mempromosi dan membangunkan 5G di Malaysia. Seterusnya, Celcom, UTM dan Ericsson melihat kepentingan IC5G dalam perkembangan masa hadapan dan pembangunan teknologi dan kes penggunaan sama ada dalam ekosistem rakan sedia ada mahupun yang baru.

Pertukaran perjanjian tersebut dilaksanakan di antara Muniff Kamaruddin, Ketua Pegawai Strategi dan Penjanaan Nilai, Celcom Axiata Berhad, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Pro-Naib Canselor, UTM Kuala Lumpur, dan Todd Ashton, Ketua, Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, dalam majlis yang diadakan di Dewan Azman Hashim, UTM KL.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Tan Chuan Ou, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan Dato’ Ali Hanafiah, Mohd. Yunus, Ketua Pegawai Korporat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Penyertaan Celcom dalam IC5G dan penyempurnaan modernisasi pusat tersebut turut dirasmikan dalam majlis yang sama.

Pertukaran perjanjian tersebut dan penyempurnaan modernisasi IC5G dengan sistem Komersil Radio 5G telah berlangsung sempena acara ASEAN Makerthon 2019. ASEAN Makerthon 2019 merupakan acara dan pertandingan selama tiga hari dengan tema ‘Impact of 5G Revolution towards 4IR’ dianjurkan oleh SKMM.

Dalam pertandingan tersebut, peserta perlu membina prototaip fizikal yang selari dengan tema pertandingan, dan ianya unik kerana ia merupakan makerthon pertama yang dijalankan dengan rangkaian 5G.

Celcom, UTM dan Ericsson merupakan rakan industri yang menyokong acara tersebut, yang dijalankan pada 2-4 Disember di UTM KL.

Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom Axiata Berhad berkata, “Melalui kerjasama yang dijalankan pada April lalu, Celcom melihat peluang yang tidak terhad bagi kerjasama industri-akademik tersebut untuk pembangunan 5G yang mampan dalam kawasan kampus, sebagai sebuah saluran dalam penyelidikan dan pembangunan 5G di Malaysia.

Inisiatif ini memperlihatkan komitmen Celcom dalam meneroka peluang yang berkaitan lapangan strategik utama bagi 5G, dan menyokong pembangunan ekosistem digital negara.

Kami amat berbesar hati untuk meneruskan perjalanan ini bersama UTM dan Ericsson, untuk terus menjalankan program pembangunan 5G yang inklusif, serta bermanfaat kepada institusi pembelajaran yang lain dan juga pelbagai sektor”.

Todd Ashton, Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh berkata, “Ericsson telah memegang peranan yang penting dalam pembangunan industri telekomunikasi Malaysia sejak beberapa dekad.

Bagi membawa 5G ke Malaysia, kami telah mula bekerjasama dengan rakan kami bermula pada 2015 dan sejak itu kami telah menjalan pelbagai inisiatif dalam memperkukuhkan komitmen ini.

Bersama-sama Celcom, kami kini membawa rangkaian komersil 5G bagi para pelajar, pendidik, dan seluruh warga UTM.

Saya yakin usaha ini akan terus memacu kerjasama dalam membangunkan kes penggunaan 5G dan IoT di Malaysia”.

Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Naib Censelor UTM berkata,” Sebagai sebuah universiti premier berfokuskan penyelidikan teknologi di Malaysia, UTM yakin bahawa teknologi adalah untuk memperkasa kehidupan insan, memajukan negara dan membawa rakyat ke arah perpaduan.

Sejak penubuhan di UTM, kami amat bertuah untuk bekerjasama dengan pelbagai rakan industri, khususnya Ericsson, dalam menjadikan teknologi 5G suatu realiti di Malaysia, dan membolehkan modal insan di peringkat belia untuk bersedia ke arah 5G.

“Kami amat berbesar hati mengalu-alukan Celcom untuk menyertai kerjasama strategik antara industri-akademik ini. Kami berharap untuk terus bekerjasama bagi menambahbaik
pengajian tinggi di Malaysia, industri, dan juga negara.”

Celcom memulakan perjalannya ke arah 5G bersama Ericsson pada Mei 2017, dengan ujian pertama 5G di Malaysia, di mana satu ujian kepantasan telah dijalankan, dan mencapai kelajuan penghantaran 18Gbps.

Seterusnya, Celcom dalam usaha memacu pelaksanaan 5G di Malaysia telah menambahbaik rangkaiannya dan peralatan akses radio dengan teknologi terkini di pasaran, untuk membolehkan inovasi di Malaysia.

Dalam pameran #5Gmalaysia di Putrajaya yang dijalankan oleh SKMM pada April 2019, Celcom dan Ericsson telah menjalankan demonstrasi panggilan hologram dan kereta swapandu yang pertama di Malaysia, menggunakan rangkaian 5G, bersama kes-kes penggunaan yang lain, dan meningkatkan lagi inovasi keseluruhan industri dengan keterhubungan berkelajuan tinggi.

Pada Julai 2019, Celcom melancarkan Ujian Berkelompok 5G di Petaling Jaya dengan lima tapak di luar bangunan dan satu di dalam bangunan di Ibu Pejabat Celcom, dengan rekod kelajuan penghantaran 6Gbps.

Ujian secara langsung tersebut dijalankan dengan objektif untuk menguji dan memantau impak liputan 5G di kawasan komersil dan kediaman, serta mengambilkira impak persekitaran ke atas rangkaian dan seterusnya memacu pelaksanaan 5G Malaysia.