AirAsia secara rasmi menyambut rangkaian pesawat lorong tunggalnya yang baharu dengan ketibaan pesawat Airbus A321neo pertamanya, yang bakal menawarkan kecekapan dan kapasiti lebih tinggi bagi kumpulan syarikat penerbangan ini.

Pesawat itu adalah pertama daripada 353 buah pesawat A321neo yang ditempah oleh Kumpulan AirAsia dan akan menggantikan pesawat A320 dan A320neo sedia ada secara berperingkat di seluruh rangkaiannya meliputi Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.

Ia juga merupakan pesawat A321neo pertama beroperasi di Malaysia.

Dengan 236 tempat duduk – peningkatan kapasiti sebanyak 27% berbanding pesawat A320 (180 tempat duduk) dan A320neo (186 tempat duduk) – A321neo akan membolehkan AirAsia memenuhi permintaan lebih tinggi di seluruh rangkaiannya dengan kecekapan operasi ketara dan membuka peluang untuk meneroka destinasi baharu, dengan lebih 10% penjimatan bahan api.

Sebagai permulaan, pesawat tersebut akan beroperasi dari hab Kuala Lumpur ke bandar-bandar di seluruh Asia, dengan destinasi pertama termasuk Kuching, Kota Kinabalu, Singapura, Bangkok dan Shenzhen.

Pesawat baharu dengan nombor pendaftaran 9M-VAA disambut oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi bersama-sama pihak pengurusan AirAsia lain di sebuah acara khas yang diadakan di Sepang Aircraft Engineering (SAE) di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Kami berbangga untuk mengalu-alukan pesawat A321neo pertama yang akan menjadi tulang belakang baharu bagi operasi masa hadapan kami.

“Pesawat baharu ini akan beroperasi ke laluan popular, menawarkan peluang pertumbuhan di pasaran baharu serta menambah kapasiti di pasaran sedia ada, terutamanya di mana terdapat kekangan pengembangan berikutan infrastruktur dan ketersediaan slot terhad.

“Tahun lalu, AirAsia menerbangkan lebih 90 juta tetamu dan kini, dengan kecekapan operasi yang lebih baik dan 50 tempat duduk tambahan pada setiap pesawat, AirAsia boleh membawa lebih ramai orang dengan kos lebih rendah. Apabila kos kami dapat dikurangkan, kami boleh menyalurkan sebarang penjimatan kepada para tetamu dalam bentuk tambang lebih rendah.

“Pesawat canggih dan moden ini akan membolehkan AirAsia untuk terus meningkatkan hubungan udara ke dan dari Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020, dan pada masa sama menawarkan lebih banyak peluang untuk pelancongan, perniagaan dan perdagangan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, “Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 yang semakin hampir, kehadiran pesawat Airbus A321neo ke Malaysia adalah berita baik.

“AirAsia telah banyak menyumbang ke arah pertumbuhan sektor pelancongan di Malaysia, dan dengan penambahan pesawat Airbus A321neo ke dalam rangkaian AirAsia, ia akan meningkatkan kapasiti dengan tambahan 50 tempat duduk berbanding pesawat Airbus A320neo yang kini digunakan AirAsia, serta membolehkan lebih ramai orang terbang ke Malaysia dan merasai pengalaman yang kami tawarkan.”

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AirAsia atas usaha terbaharu mereka ini, kerana ia secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelancong asing ke negara ini terutama dari rantau Asia Tenggara,” katanya.

Awal tahun ini, AirAsia telah menukar sebanyak 253 tempahan untuk A320neo kepada versi A321neo yang lebih besar dengan jumlah 353 buah pesawat dalam pesanan, menjadikan AirAsia salah satu pelanggan terbesar di dunia bagi A321neo.

A321neo merupakan model terlaris daripada keluarga Airbus A320 yang menggabungkan teknologi terkini, seperti enjin generasi baharu dan Sharklets yang mampu menjimatkan penggunaan bahan api lebih daripada 10%.

Kumpulan AirAsia beroperasi menggunakan pesawat jenis Airbus dari habnya di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun.