Penerbangan AirAsia berlepas dari Kuala Lumpur ke Tokyo Narita lengkap dengan hubungan Wi-Fi terpantas yang pertama bagi pesawat A330 bagi meraikan acara ini.
Penerbangan empat kali seminggu ini akan menawarkan lebih daripada 150,000 tempat duduk pelawat tambahan setahun menerusi Lapangan Terbang Narita, sekali gus meningkatkan sektor pelancongan dan ekonomi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Olimpik Tokyo 2020.
Penerbangan sulung D7552 berlepas tepat pada 0015 tengah malam selepas sambutan pelepasan bersama para tetamu oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail dan AirAsia Fun Team di klia2.
Benyamin Ismail berkata, “Kami sangat berbangga dapat memberi lebih banyak pilihan bagi para tetamu untuk ke Tokyo, Jepun, dengan penerbangan empat kali seminggu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, melengkapkan perkhidmatan sedia ada kami ke Haneda Tokyo.
Perkhidmatan baharu ini adalah bukti terhadap komitmen kami bagi memperkukuhkan perkembangan kami di Jepun dan kami yakin laluan ini akan mendapat sambutan terutama bagi para tetamu kami yang meneroka Tokyo dan daerah sekitar di Tohoku.”
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak lapangan terbang, badan pelancongan, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang merealisasikan laluan ini.”
Penerbangan sulung ke Tokyo Narita ini menggunakan pesawat AirAsia A330 yang pertama dilengkapi perkhidmatan AirAsia WiFi yang membolehkan para tetamu melayari video dan berhubung serta terus mengemas kini laman media sosial mereka dari paras 35,000 kaki di awan biru. Ahli BIG dalam penerbangan sulung ini diberi akses pelan internet 10MB percuma.
AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari RM539* bagi tempat duduk standard dan RM1499* bagi tempat duduk Premium Flatbed yang telah memenangi pelbagai anurgerah bagi laluan Kuala Lumpur – Tokyo Narita.
Tambang tersedia di airasia.com atau menerusi aplikasi mudah alih AirAsia dari sekarang hingga 24 November 2019, bagi penerbangan hingga 28 Mac 2020.
AirAsia X adalah kumpulan syarikat penerbangan terbesar dalam sektor tambang rendah jarak jauh di Jepun, beroperasi hampir 110 penerbangan seminggu termasuk 12 laluan antarabangsa dan domestik Jepun.