Isuzu D-Max yang tidak dapat disangkal sebagai salah satu kenderaan off-road yang paling lasak dan berkeupayaan di dalam cabaran tahunan Borneo Safari tahun ini.
BORNEO Safari merupakan salah satu acara off road yang ekstrem di rantau ini, Isuzu D-Max tentu dapat menarik perhatian sesiapa sahaja dengan kemampuan prestasi off-road yang menyerlah dan konsisten.
Isuzu D-Max terbaru dengan enjin Blue Power 1.9 liter meneruskan tradisi untuk membuktikan bahawa ia mampu mengharungi apa jua cabaran sepanjang tempoh tujuh hari acara itu berlangsung; meredah permukaan jalan yang sukar dan tak menentu.
Isuzu Malaysia diiktiraf sebagai peneraju yang inovatif dan diberikan kepastian dengan Anugerah khas kerana memperkenalkan kapsiti enjin yang paling rendah iaitu 1.9L di dalam acara ini.
Baru sahaja dilancarkan sebulan yang lalu, Isuzu D-Max 1.9 yang menyertai acara ini hanya sempat mencatatkan 200 km pada odometernya, sebelum dipandu untuk meneroka dan meredah permukaan hutan di Sabah sebagai kenderaan pengangkut untuk media dalam acara mencabar yang bermula dan berakhir di Kota Kinabalu.
“Blue Monster” berkenaan hadir dengan kelengkapan standard, selain disesuaikan untuk kegunaan di permukaan ekstrem seperti; ketinggian badannya ditambah untuk membolehkannya menggunakan tayar permukaan lumpur, penyerap hentak larasan panjang, snorkel, winch dan penampan lasak sebegai pelindung ketika dalam permukaan tak menentu ketika di dalam hutan.
“Peminat-peminat off-road faham bahawa keseimbangan antara ketangkasan dan penyaluran kuasa adalah sangat penting ketika berdepan dengan laluan getir di dalam hutan. Dengan hantaran kuasa yang mengagumkan serta padanan transmisi enam-kelajuan, D-Max 1.9-liter Blue Power tidak segan untuk menyerlah di dalam apa jua situasi, walaupun saiz enjinnya yang lebih kecil,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Mayasuki Suzuki.
Isuzu D-Max 1.9 liter menampilkan enjin 1,898 cc yang mengagumkan yang direka dengan tujuan untuk mempertingkatkan prestasi enjin serta ketahanannya. Ia merangkumi komponen enjin yang lebih ringan yang sekaligus dapat mengurangkan geseran dan tekanan terhadap bahagian-bahagian terlibat.
Sistem pengecas turbo Variable Geometry System (VGS) juga telah diberi kemaskini dan meningkatkan maklumbalas enjin, terutama ketika RPM rendah untuk memberikan respon enjin yang lebih baik kepada pemandu.
Jentera ‘Blue Monster’ ini menyertai unit ‘Red Monster’, ‘White Monster’ dan ‘Black Monster’; sebagai sebahagian daripada komitmen Isuzu Malaysia selaku penaja utama acara berkenaan. Wakil media memanfaatkan kenderaan terbabit untuk mendekati aksi-aski yang berlangsung tahun ini.
Isuzu Malaysia telah menjadi penyokong utama acara berkenaan sejak 13 tahun lalu. Borneo Safari dianjurkan secara tahunan sejak 1991.