Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), sebuah agensi yang ditubuhkan untuk terus memperkasakan keupayaan Bumiputera pada Sabtu lalu menganjurkan sesi ceramai santai (Talk Series) khusus kepada penerima faedahnya.
SESI ceramah bertajuk ‘Social Media – Make Or Break You?’ itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Alumni Yayasan Peneraju (ShYFT) yang memberi fokus mengenai pengetahuan, kebaikan dan keburukan serta hala tuju kerjaya berteraskan media sosial.
Objektif utama topik itu ialah mendedahkan penerima faedah mengenai trend media digital secara umum di Malaysia, mengenalpasti kuasa dan kepentingan jenama peribadi menerusi sosial media dan menunjukkan kesan media digital kepada kehidupan dalam mempengaruhi orang lain kepada nilai-nilai yang baik.
Melalui Program Peneraju Profesional (pensijilan profesional), Peneraju Skil (pensijilan TVET) dan Peneraju Tunas (program akademik), Yayasan Peneraju menerima cabaran untuk merealisasikan aspirasi bakat-bakat Bumiputera agar dapat meningkatkan daya saing di peringkat global dan seterusnya menguasai ekonomi, selaras dengan arus perdana pembangunan negara.
Sesi ceramah itu menampilkan Nina Sharil Khan, iaitu Pengasas PopCon dan personaliti youtube, Cassidy La Creme sebagai penceramah jemputan yang berkongsi mengenai pengetahuan menyeluruh dalam membina kerjaya serta empayar melalui platform media sosial yang popular pada masa kini.
Dalam konteks kerjaya, Nina turut berkongsi pengalamannya dengan memberi contoh beberapa personaliti yang telah berjaya menjana pendapatan tinggi dalam saluran media sosial seperti Sujimy Mohamad, Makhluk Macho, Ibu Salbiah, Cupcake Aishah, Aida Azira dan ramai lagi.
“Industri pada masa kini bergerak pantas dan kita seharusnya juga harus cepat meneroka cabang baharu dan berani kehadapan untuk seiring dengan peningkatan era media digital.
“Media sosial mampu menjana pendapatan bukan sahaja bagi golongan belia malah golongan berumur, ini adalah cabaran dan peluang baharu dan lebih diminati berbanding media tradisional” katanya.
Cassidy La Creme pula berpendapat program seperti ini adalah sesuai untuk golongan belia menggunakan peluang menerusi ledakan media sosial ke arah yang lebih baik bukan sahaja mencipta populariti positif malah sebagai lapangan menyampaikan info berguna kepada masyarakat.
Sesi ceramah santai anjuran Yayasan Peneraju itu merupakan satu inisiatif untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan Bumiputera secara sejagat dan berterusan dalam memastikan bakat baharu terus berada dalam kapasiti berkualiti, berdaya saing dan efektif.
Ianya merupakan program yang bakal diadakan setiap suku tahunan dalam pelbagai topik berbeza yang sesuai mengikut perkembangan masa kini.
Yayasan Peneraju ditubuhkan pada 2012 dan kini diletakkan di bawah urus tadbir Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Peranan Yayasan Peneraju adalah menyediakan peluang pendidikan berkualiti dan latihan kepada Bumiputera serta memupuk dan membangun bakat Bumiputera ke potensi tertinggi.
Setakat ini, Yayasan Peneraju sudah membiayai lebih 26,000 penerima faedah dan menawarkan lebih 200 program melibatkan pembangunan kemahiran dan profesional.
Bagi 2020, Yayasan Peneraju akan lebih memberi tumpuan terhadap ekonomi digital, kewangan Islam dan teknologi IR4.0 bagi menyokong keperluan negara dalam mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).