Hampir 1,000 penduduk Kampung Sungai Miri, Labuan Sabah menyambut kesyukuran apabila Surau Al Hijrah menerima kelulusan untuk dinaik taraf kepada masjid baru-baru ini.
PENASIHAT surau itu, Hj Suib Nasir berkata, penduduk kampung menunggu perkhabaran gembira ini hampir 20 tahun untuk menaikkan taraf surau itu menerusi kelulusan diperolehi dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Kami bersyukur atas kerjasama semua pihak yang terlibat khususnya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang banyak membantu mendapatkan pengiktirafan ini. Tidak lupa kepada Ketua NGO Antarabangsa yang dari mula lagi memperjuangkan perkara ini,” katanya.
Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican dalam majlis ringkas ketika melawat kerja- kerja menaikkan taraf masjid itu berkata, berkat doa dan kesabaran penduduk dapat melihat usaha naik taraf surau ini tidak lama lagi.
“Kerja gotong royong, muafakat dan usaha gigih penduduk kampung membaiki surau ini dengan cara perbelanjaan penduduk tanpa mengharapkan bantuan Kerajaan haruslah dipuji.

“Ini jelas dilihat menerusi kerja-kerja pemasangan kubah masjid yang sedang giat dilakukan malah tempat pemandian jenazah dan van jenazah juga sedang diusahakan,” katanya.
Beliau turut menyarankan supaya ahli jawatankuasa masjid ini memikirkan juga kaedah untuk menarik lebih ramai golongan muda datang ke masjid antaranya menyediakan kemudahan Intenet, membina kafe siber untuk golongan muda duduk dan berbincang.
Katanya, kemudahan lain seperti kedai kopi atau kedai runcit berdekatan masjid juga mampu menarik lebih ramai golongan muda mencintai masjid.

Beliau berkata, NGO Antarabangsa setakat ini telah berjaya membina 5 buah masjid di Kemboja dan memberi fokus kepada golongan muda dengan membina padang bola sekiranya kawasan masjid itu luas.
Dr Mustapha dalam pada itu mengingatkan peranan NGO bukan sekadar menyampaikan hasrat penduduk kampung tetapi yang penting NGO harus berhemah.
“Kita harus adil dan mengambil kira semua aspek misalnya sebelum kita mengeluarkan sebarang kenyataan, saya kena melihat sendiri masalah tersebut dan setelah merasakan ianya benar barulah kita menyalurkan masalah ini kepada pihak kerajaan untuk tindakan selanjutnya.

“Tidak lupa juga pihak media massa yang banyak membantu dalam mempercepatkan proses ini. Oleh itu saya menyeru penduduk kampung dan ajk masjid perlu berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Perbadanan Labuan yang banyak memainkan peranan bagi merealisasikan hasrat penduduk bagi membina sebuah masjid,” katanya.
Menurutnya, kita juga perlu melihat keperluan anak-anak muda masa kini dengan menyediakan pelbagai program menjurus kepada minat generasi muda dan menarik mereka datang ke masjid.
Menceritakan pengalamannya berada di Kemboja, Dr Mustapha berkata, kehidupan penduduk Islam di negara itu amat susah dan tidak banyak kemudahan sepertimana di negara ini.
“Mereka kecil-kecil lagi sudah berdikari dengan mencari duit membantu ibu bapa mengutip kerak getah atau mencari ikan di sawah dan menolong ibu bapa menanam sayur.
“Jadi bagi menarik mereka ke masjid sekiranya kawasan masjid itu besar, kita bina padang bola sepak dan sekiranya kecil kita buat tempat bermain sepak takraw dan kemudahan internet di masjid.
“Penduduk juga membina kedai makanan dan minuman berhampiran masjid bagi memudahkan mereka duduk sebelum masuk waktu solat dan alhamdulilah usaha ini membuahkan hasil,” katanya sambil menambah usaha itu menyaksikan ada penambahan golongan muda Kemboja ke masjid.