Perodua memperkenalkan babak kedua perjalanan kenderaan elektriknya (EV) di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) yang diinspirasikan oleh generasi baharu Alpha dan Beta di negara ini.

Kereta konsep baharu yang dipamerkan Perodua dinamakan Chapter 2 atau C2 yang mewakili gaya reka bentuk berbeza, dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda dan berbakat yang mencerminkan visi mereka terhadap masa depan EV.

“C2 adalah sebahagian daripada jalan cerita EV kami. Ia mengembangkan naratif buatan Malaysia untuk dunia, seiring dengan usaha kami menambah baik pengalaman mobiliti untuk pelanggan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

C2 adalah kereta konsep segmen B yang dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan AI seperti navigasi masa sebenar, lokasi stesen pengecasan, kemas kini trafik, ciri anti-curi yang dipertingkat serta bantuan parkir kenderaan.

“Kami juga menggabungkan super app P-Circle ke dalam kereta konsep ini, jadi pelanggan boleh mendapat akses yang mudah kepada perkhidmatan yang kami tawarkan termasuklah e-wallet dan penghantaran alat ganti tulen. Kereta konsep C2 ini mewakili masa hadapan integrasi mobiliti,” katanya.

Beliau berkata, C2 juga akan menjadi asas kepada EV di masa hadapan dan teruja untuk berinteraksi dengan pelawat-pelawat di reruai Perodua serta mendapatkan maklum balas serta pandangan mereka bagi memastikan produk-produk baharu kami dapat memenuhi jangkaan pelanggan.

Katanya, C2 juga mewakili fasa baharu gaya reka bentuk Perodua yang berbeza daripada konsep EM-O terdahulu.

“Kami mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke reruai Perodua di KLIMS 2026. Gunakan kesempatan ini untuk mencuba pelbagai tarikan yang disediakan oleh syarikat kenderaan nasional ini termasuklah robot interaktif, dron serta pameran penuh aplikasi P-Circle dan tawarannya,” katanya.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini