30.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 10, 2026
Utama Blog Halaman 886

Adakah Kos Penyelenggaraan Bezza Mahal? Ini Jawapan Perodua

Bezza GXtra_Front Exterior

Kenyataan daripada Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’Dr. Zahari Husin tentang maklumat tidak tepat mengenai kos penyelenggaraan perkhidmatan Bezza

MERUJUK kepada laporan berita yang diterbitkan baru-baru ini mengenai kos penyelenggaraan Perodua Bezza, yang mana 32 peratus lebih tinggi berbanding Proton Persona, kami ingin menjelaskan bahawa maklumat yang digunakan oleh beberapa portal online mengenai butiran penyelenggaraan kami adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Perodua Bezza GXtra

Dalam laporan media tersebut yang disiarkan pada 11hb Mac 2019, menunjukkan perbezaan kos penyelenggaraan antara Proton Persona dengan dua model kereta lain, yang dikatakan sebagai Perodua Bezza dan Honda City.

Ketidaktepatan dalam perbezaan kos adalah kerana perbandingan yang dilakukan tidak setaraf yang mana kos penyelenggaraan Proton Persona dikira seperti yang dijadualkan di dalam buku servis atau manual pemilik, manakala bagi Perodua Bezza, pengiraan adalah berdasarkan kos Penyelenggaraan Pencegahan (pilihan) dan bukannya kos mengikut jadual seperti yang dicadangkan di dalam buku servis kenderaan tersebut.

Berdasarkan jadual di atas, perbezaan kos penyelenggaraan Perodua Bezza pada tahun ke-5 hanya RM44 atau 1.4 peratus dan bukan 32 peratus seperti yang dilaporkan. Perbezaan ini adalah kerana kos premium pelincir gred 0W-20 untuk Bezza dibandingkan dengan 10W-30 untuk Proton Persona.

Di samping itu, Perodua Bezza menggunakan palam pencucuh Iridium untuk kecekapan bahan api dan prestasi enjin yang lebih lancar.

Malah, pemilik Bezza membayar RM239.55 kurang berbanding pemilik Persona pada kos penyelenggaraan pada akhir tahun ke-3.

Bezza GXtra_Side Exterior

Sebagai model yang diperakui kerajaan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), Perodua Bezza adalah di antara kenderaan yang mempunyai kecekapan bahan api terbaik di negara ini.

Bezza 1.0L Manual berpotensi untuk bergerak 22.8 km/l, varian terbaik dalam keluarga Bezza. Bezza 1.0L bergerak 21.3 km/l. Manakala bagi Bezza 1.3L, ianya bergerak sejauh 21.7 km/l bagi manual dan 21 km/l bagi auto. Untuk 1.3 Bezza Advance Auto yang dilengkapi dengan Eco Idle, ekonomi bahan api adalah pada 22 km/l dalam mod ECE.

Berdasarkan faktor-faktor di atas, ianya memberikan penjimatan yang besar ke atas kos keseluruhan pemilikan bagi pemilik Bezza. Manakala, bagi kereta pesaing maklumat kecekapan bahan bakar tidak diberitahu kepada umum.

Bagi pemilik yang sanggup berbelanja lebih daripada yang disyorkan dalam manual penyelenggaraan pemilik, Perodua juga menawarkan pakej pencegahan pilihan yang dikenali sebagai Pro Care.

Perodua Sales Sdn Bhd Managing Director Dato’ Dr Zahari Husin

Pakej ini termasuk penjajaran tayar dan keseimbangan; penyelenggaraan penyaman udara; dan penggantian komponen berkaitan untuk memastikan kelancaran pemanduan dan ketenangan fikiran pemilik.

Pakej Pro-Care adalah cara kami untuk menyediakan pakej penyelenggaraan  lengkap di setiap pusat servis kami untuk kemudahan para pelanggan kami. Risalah dan kain rentang turut diletakkan di pusat servis kami untuk mewujudkan kesedaran tentang perkhidmatan ini dan ianya dilakukan secara sukarela sepenuhnya.

Kami mengambil berat tentang pendekatan laporan daripada jenama tertentu kerana ianya sangat mengelirukan dan tidak tepat.

Kami ingin memberi nasihat kepada orang ramai untuk mengesahkan terlebih dahulu kandungan laporan dengan merujuk kepada sumber yang betul.

Street Car Sdn Bhd, Cawangan Pengedar 3S Proton Di Kluang

Street Car Sdn Bhd (Street Car) secara rasminya membuka cawangan pengedar 3S PROTON yang pertama di Kluang yang menampilkan warna Identiti Korporat Syarikat (CI) yang baharu.

CAWANGAN itu telah dirasmikan oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, dan turut dihadiri oleh barisan Pengarah Street Car dan ahli pengurusan kanan
PROTON.

Street Car telah menjadi pengedar PROTON sejak sembilan tahun yang lalu, memulakan perniagaan sebagai pengedar cawangan 1S di Johor Bharu. Untuk mengembangkan lagi perniagaannya bersama PROTON dan untuk memenuhi keperluan pasaran semasa bagi sebuah pusat sehenti, mereka mengambil keputusan untuk membuka sebuah cawangan 3S baharu di pusat bandar Kluang.

Cawangan tersebut bernilai RM3.5 juta, berkeluasan sebesar 827 meter persegi dan dilengkapi dengan Wi-Fi percuma, ruangan minuman, ruang rehat pelanggan, 4 petak penyelenggaraan dan 4 pengangkat serta ruang parkir luas yang disediakan untuk pelanggan.

Speech by Soong Sin Yee, CEO, Street Car Sdn Bhd

Soong Chai Huat, Pengarah Urusan Street Car Sdn Bhd, “Keputusan yang diambil untuk membuka cawangan 3S baharu di Kluang adalah satu keputusan yang mudah kerana kami mendapati tempat ini mempunyai potensi perniagaan yang besar.

Sebagai seorang pengedar, saya melihat perubahan positif pelanggan terhadap PROTON sejak pelancaran Proton X70.

Ramai antara mereka yang telah mengulas tentang betapa kagumnya mereka dengan model tersebut dan bagaimana ciri-ciri pintar yang dilengkapi pada model itu adalah yang terbaik berbanding mana-mana pesaing yang lain, justeru membuatkan Proton X70 telah benar-benar meletakkan jenama itu kembali menarik perhatian, dan saya berharap dapat meraih keuntungan dengan kelebihan yang ada”.

Car delivery to customer, Dato’Sri Dato’Jenny Cheng

Sebanyak 75 cawangan baharu dan yang dinaik taraf telah beroperasi di seluruh negara
PROTON, dalam usahanya untuk meningkatkan pengalaman pemilikan produknya, kini mempunyai 75 cawangan 3S/4S beroperasi di seluruh negara.

Jumlah tersebut meletakkan syarikat menjadi yang pertama mempunyai cawangan 3S/4S yang paling banyak bagi jenama automotif di Malaysia.

Staff pledge-Street Car Sdn Bhd

“Untuk mengembangkan lagi perniagaan kami, kami memerlukan cawangan 3S/4S yang lengkap untuk beroperasi. Ini adalah penting kerana kami perlu memudahkan pelanggan untuk berkunjung ke cawangan kami bagi keperluan jualan dan servis yang diperlukan.

Dari awal lagi, kami faham bahawa pelanggan merupakan keutamaan dalam keseluruhan perniagaan kami jadi setiap keputusan yang diambil adalah untuk memastikan kepuasan pelanggan yang optimum,” kata Dr. Li Chunrong.

Speech by Edmund Lim, Deputy Director of Sales, PROTON

Sementara itu, Iriz 2019, yang kini dibuka untuk tempahan dalam talian sejak 1 Mac 2019 dengan deposit hanya RM9.99. Pelanggan yang menempah secara dalam talian akan
dapat menikmati cukai jalan percuma selama 2 tahun yang merupakan sebahagian daripada promosi awal.

Di samping itu, pelanggan turut boleh mendapatkan penjimatan sehingga RM4,000 apabila mereka membeli sebuah kereta Proton pada bulan ini, jadi pelanggan digalakkan untuk mendapat sebuah Proton baharu hari ini untuk menikmati penjimatan yang hebat.

AirAsia Kini Terbang Ke Lanzhou, China

Lanzhou adalah destinasi baharu AirAsia di China dengan pengumuman perkhidmatan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dengan salah satu bandar terbesar di Barat Laut China itu.

PERKHIDMATAN empat kali seminggu akan bermula pada 1 Mei 2019 dan merupakan satu-satunya perkhidmatan terus menghubungkan ibu kota Daerah Gansu dari Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata  “AirAsia komited dalam meluaskan kehadiran kami di China.

Tahun lepas, kami memulakan laluan baharu ke Tianjin, dan penambahan hari ini ke Lanzhou dalam rangkaian kami adalah bukti komitmen dalam melebarkan sayap kami di pasaran utama, serta terus memenuhi keperluan perjalanan pelancong dari Malaysia dan China.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia China dan Indochina Tassapon Bijleveld berkata, “AirAsia adalah syarikat penerbangan terbesar mengikut kapasiti di China di mana kami mengoperasi lebih dari 600 penerbangan seminggu ke 23 bandar dari Malaysia,  Thailand dan Filipina.

Laluan baharu ini akan menawarkan tambahan 156,000 tempat duduk setahun ke China, serta memberi sumbangan penting terhadap industri pelancongan, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi tourism antara kedua negara.”

Antara tarikan pelancong di Lanzhou dan Daerah Gansu termasuk kawasan Pergunungan Wuquan,  kompleks kerajaan purba Lutusi, Kuil Bingling, Biara Buddha Tibet Labrang, Dunhuang, Taman Geo Zhangye dan Sungai Kuning. Gansu juga adalah penempatan komuniti muslim dengan lebih dari 4,000 masjid terletak di serata daerah tersebut hari ini.

Bagi meraikan laluan baharu ini,  AirAsia menawarkan tambang termasuk semua untuk ahli bermula dari RM149* bagi tempat duduk biasa dan RM789* bagi tempat duduk Premium Flatbed yang telah memenangi pelbagai anugerah. Tambang promosi ini tersedia untuk tempahan di laman web airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia bermula dari sekarang sehingga 24 Mac 2019, bagi tempoh perjalanan antara 1 Mei 2019 hingga 26 Oktober 2019.

BAHASALHW.PNG

* Tambang termasuk semua yang disebut adalah penerbangan sehala bagi Ahli AirAsia sahaja dan termasuk cukai. Bagi rujukan terma dan syarat, sila rujuk di sini.

Australia Ambil Langkah Berjaga-jaga, Ronda Masjid Sekitar NSW

Polis di New South Wales (NSW) berkata, mereka meningkatkan rondaan di sekitar masjid di negeri itu susulan serangan di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan hampir 50 orang hari ini.

Polis menyifatkan langkah itu sebagai berjaga-jaga, ‘oleh kerana tiada ancaman berterusan atau khusus terhadap mana-mana masjid atau rumah ibadat’ di negeri itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Scott Morrison mengesahkan lelaki bersenjata yang membunuh jemaah ketika solat Jumaat adalah ‘pengganas’ nasionalis dengan kerakyatan Australia.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang berlaku hari ini, dilakukan pelampau, pengganas sayap kanan,” kata Morrison dalam sidang media.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison

Beliau berkata, pihak berkuasa Australia sedang menyiasat sebarang hubungan antara negara itu dan serangan di New Zealand, namun enggan memberi butiran lanjut mengenai lelaki bersenjata terbabit.

Media Australia melaporkan, penyerang berasal dari sebuah bandar di NSW yang mempunyai ibu negeri di sini.

Morrison yang penuh emosi mengucapkan takziah kepada rakyat New Zealand dan mengumumkan bendera di Australia akan dikibarkan separuh tiang sebagai menghormati mangsa.

“Kami bukan setakat sekutu, bukan setakat rakan kongsi, kami adalah satu keluarga,” katanya. -AFP

Serangan Masjid Di Christchurch: Korban Meningkat 49 Orang

Angka kematian dalam serangan di masjid Al Nooor, Christchurch, New Zealand telah meningkat kepada 49 orang demikian menurut laporan AFP.

Maklumat mengenai kejadian setakat ini seperti dilaporkan CNN:

– Berlaku pada pukul 1.30 petang waktu tempatan, lelaki bersenjata menyerang dua masjid di Christchurch.

– Polis ‘mengepung’ bandar Christchurch sebagai maklum balas, termasuk sekolah dan bangunan kerajaan. Dalam masa beberapa jam, polis memaklumkan empat ditahan – tiga lelaki dan seorang wanita.

– Dalam media sosial sebelum serangan, akaun dipercayai milik salah seorang penyerang menyiarkan pautan manifesto setebal 87 muka surat yang penuh dengan anti-pendatang, anti-Muslim dan penjelasan mengenai serangan.

– Menurut Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata, bom ditemukan pada kereta penyerang.

– Salah seorang suspek bertindak menyiarkan serangan secara ‘livestream’.

– Sedikit yang diketahui mengenai penyerang. Salah seorang disahkan warga Australia.

– Ardern mengesahkan penyerang tidak berada dalam senarai pemerhatian keselamatan.

Char Kuey Teow Nazaruddin Terkenal Di Hulu Langat

GAYA masakan char kuey teow oleh Mohd. Nazaruddin Hakim menarik perhatian pengunjung di Pasar Malam Jenaris Kajang, Hulu Langat baru- baru ini.

Char kuey teow, makanan yang tidak asing lagi bagi masyarakat tempatan malah sering menjadi pilihan pengguna jika dijual sama ada di pasar malam, gerai atau restoran.

Namun, Mohd. Nazaruddin Hakim, 23, dia memilih pasar malam menjual makanan itu kerana pelanggan boleh melihat cara memasaknya di hadapan mereka.

GAYA masakan char kuey teow oleh Mohd. Nazaruddin Hakim menarik perhatian pengunjung di Pasar Malam Jenaris Kajang, Hulu Langat baru- baru ini.

Menurut Mohd. Nazaruddin, dia mula mempelajari memasak char kuey teow itu sejak zaman remaja apabila mengikut ahli keluarganya yang berniaga di pasar malam.

Katanya, bermula dengan membantu sehingga diberi peluang memasak makanan itu, dia kini cekap dan mahir menyediakan char kuey teow itu selari dengan selera pelanggan.

“Char kuey teow ini perlu digoreng diatas api yang betul-betul panas dengan campuran kicap, sos, cili, udang, kerang, telur, taugeh dan kucai.

“Lebih enak jika dimasak dalam kuantiti kecil. Kalau dimasak secara banyak nanti rasanya jadi lain,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurutnya, setiap hari dia memasak kira-kira 120 pinggan char kuey teow yang dijual RM5 sepinggan dan perniagaaannya dijalankan di pasar-pasar malam sekitar daerah ini. – UTUSAN ONLINE

Enam Bekas Wakil Rakyat UMNO Sabah Bakal Sertai Bersatu

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Mohd. Noor dikatakan antara enam bekas wakil rakyat UMNO Sabah yang bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebulan selepas parti dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu mengumumkan hasrat untuk melebarkan sayapnya ke Negeri Di Bawah Bayu tersebut.

Keenam-enam mereka dikatakan bakal menerima kad keahlian Bersatu daripada Dr. Mahathir sendiri dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di sini namun majlis berkenaan ditunda esok kerana Perdana Menteri memutuskan untuk ke Pasir Gudang, Johor.

Selain Hajiji, ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun serta empat ahli Parlimen iaitu Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), akan menjadi kumpulan pertama wakil rakyat menyertai Bersatu.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik kepada rakyat Sabah kerana mereka kini mempunyai pilihan untuk satu platform politik dan ia adalah di peringkat negeri,” kata satu sumber kepada portal Free Malaysia Today seperti dilaporkan hari ini.

Sumber itu menambah, baki bekas wakil rakyat UMNO Sabah akan menyertai Bersatu pada 6 April ketika pelancaran parti berkenaan di Kota Kinabalu.

UMNO Sabah pada Disember lalu menyaksikan hampir keseluruhan kepimpinannya bertindak meninggalkan parti itu dengan diketuai oleh Hajiji yang ketika itu merupakan Pengerusinya.

Bulan lalu, Dr. Mahathir pula mengumumkan bahawa Bersatu akan melebarkan sayapnya di Sabah tidak lama lagi bagi melengkapkan tiga lagi parti Pakatan Harapan (PH) sedia ada di negeri itu.

Dr. Mahathir berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keperluan rakyat Sabah yang ingin menyertai Bersatu selain Parti Warisan Sabah (Warisan).

Namun, katanya, pihaknya menetapkan syarat penting iaitu pemohon mesti keluar UMNO dan bukan ahli dalam mana-mana parti PH, menjadi ahli bebas dalam tempoh yang lama dan latar belakang pemohon yang akan ditapis terlebih dahulu. – UTUSAN ONLINE

Seorang Warga Malaysia Cedera Ditembak

Seorang warga Malaysia terkena tembakan dalam insiden serangan di Masjid al Noor Christchurch, hari ini.

Lapor NZ Herald yang memetik saksi, Idris Khairuddin sebagai berkata, bapa saudaranya, Tamizi ditembak pada bahagian belakang.

“Saya berdoa kecederaannya tidak begitu serius.

“Minggu ini adalah kali pertama saya ke masjid. saya masih trauma,” kata Idris. – AGENSI

Rock Legenda – Awie Jual Sendiri Tiket Konsert

Penyanyi rock legenda, Datuk Awie nekad menjual sendiri tiket Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi Wings X Bunkface bagi mengelak ditipu pihak ketiga.

Awie atau nama lengkapnya, Ahmad Azhar Osman, berkata tiket konsert yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 Mei depan itu akan dijual secara manual menerusi kelab peminat mereka, Sayap-Sayap Wings sebagai ejen yang dilantik.

“Kami pernah ditipu apabila persembahan dianjurkan penuh dengan penonton, tetapi ketika pengiraan dibuat, ejen memaklumkan hampir separuh tiket tidak terjual.

“Kejadian yang sama juga berlaku ketika menjayakan satu lagi konsert di ibu negara, beberapa tahun lalu. Kali ini, penganjur bermain tarik tali dalam soal bayaran dan memberikan pelbagai alasan.

“Hanya selepas diberi kata dua, tidak sampai seminggu, akhirnya baki bayaran dijelaskan. Itu belum termasuk ada yang mencetak tiket palsu dan menjual dengan harga yang lebih murah, berbanding tiket asal.

“Tidak mahu insiden sama berulang, kami ambil keputusan jual tiket sendiri dengan bantuan kelab peminat,” katanya kepada BH Online.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Awie yang juga vokalis kumpulan Wings berkata, tiket konsert itu turut dilengkapi ciri keselamatan.

“Pembeli akan diberikan resit yang dilengkapi maklumat acara dan boleh ditebus di kaunter khas, empat hari sebelum konsert bermula. Penonton juga akan dibekalkan dengan gelang khas sebagai pas masuk,” katanya.

Dianjurkan Awie Entertainment, Awie berkata, konsert dua jam itu adalah antara siri persembahan yang dirancang sempena sambutan ulang tahun ke-35 penubuhan Wings.

Untuk persembahan pembukaan, kumpulan yang popular dengan lagu Sejati dan Taman Rashidah Utama itu bergabung tenaga dengan Bunkface.

Maklumat mengenai konsert dan pembelian tiket boleh diperoleh menerusi laman sosial rasmi Wings: @sayap2wings (Instagram) dan Sayap-Sayap Wings (Facebook). — BH ONLINE

Henti Bermain Politik – MB Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hari ini menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang supaya berhenti bermain politik kerana ia tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat di negeri itu.

“Saya merayu kepada semua orang, pihak media, ADUN dari Pakatan Harapan, ADUN dari UMNO dan PAS, mari kita sama-sama berhenti bercakap mengenai perkara ini dan tumpukan kepada memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“ADUN PAS dan UMNO juga ada tanggungjawab mereka selepas dipilih dan saya sebagai Menteri Besar Perak bukan Menteri Besar PH semata-mata, kepada mereka dulu yang undi UMNO dan PAS, saya juga ada tanggungjawab untuk memberi perkhidmatan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Perak dan Perak Transit berhubung perkhidmatan bas `Hop On Hop Off’ di pejabatnya di sini, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas mesej yang viral dalam media sosial mendakwa gabungan UMNO dan PAS Perak sudah memiliki sokongan 31 ADUN yang sudah menandatangani akuan bersumpah, untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Mesej itu mendakwa akuan bersumpah itu kini sudah berada pada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan kerajaan PH Perak akan tumbang pada bila-bila masa, selain ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, yang `melompat’ ke PH akan melompat kembali kepada UMNO dan menjadi Menteri Besar Perak yang baharu.

Zainol Fadzi, yang juga Penasihat Menteri Besar, bagaimanapun sudah menafikan dakwaan itu dan bertegas terus bersama kerajaan PH.

Ahmad Faizal berkata beliau juga mempunyai tanggungjawab untuk bekerjasama dengan ADUN PAS dan UMNO sekiranya mereka mahu bersama-sama memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Jadi, cerita hendak ubah Menteri Besar, tukar kerajaan ke, kita simpan jauh-jauh supaya kita tumpu kepada tanggungjawab hakiki sekarang.

“Cerita ini memang seronok hendak main di media sosial tetapi tidak membawa apa-apa keuntungan kepada usaha untuk membangunkan negeri kita dan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Jadi, kerja tidak membangun ini kita jangan buat. Sebagai pemimpin, kita patut ajak dan sungguh-sungguh tolong supaya hentikan bermain politik, kita buat kerja, sekarang masa untuk buat kerja,” katanya.

Untuk rekod, UMNO mempunyai 25 kerusi dalam DUN Perak, PAS tiga ADUN manakala PH memiliki 31 kerusi selepas dua bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyokong Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar. — BH ONLINE

Post Menarik