Pusat kajian semula kod ketiga syarikat akan bertempat di Cyberjaya

SEJAJAR dengan matlamatnya ke arah memperkukuhkan kepercayaan dalam industri keselamatan siber, Kaspersky mengumumkan pembukaan Pusat Transparensi yang pertama di Asia Pasifik dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia – agensi kepakaran keselamatan siber kebangsaan.

Kemudahan kajian kod ketiga Kaspersky akan berada di Cyberjaya, di samping agensi-agensi penting berkaitan teknologi siber milik kerajaan.

Seperti rakannya di Zurich dan Madrid, Pusat Transparensi di Malaysia akan berperanan sebagai kemudahan yang diyakini bagi rakan niaga dan pihak berkepentingan kerajaan untuk datang dan memeriksa sumber kod solusi Kaspersky.

Pusat baharu berkenaan juga akan berfungsi sebagai sebuah pusat taklimat yang membolehkan para tetamu mengetahui lebih lanjut berkenaan kejuruteraan dan amalan pemprosesan data Kaspersky.

Pelanggan-pelanggan Kaspersky, yang turut merangkumi pihak kawal selia kerajaan dan perniagaan, boleh memohon untuk mengkaji penyelesaian dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat termasuk analisis ancaman, kajian keselamatan dan proses pengujian aplikasi keselamatan.

Mereka juga boleh mengkaji kod sumber solusi utama pelanggan dan pengguna Kaspersky – Kaspersky Internet Security (KIS); Kaspersky Endpoint Security (KES) dan Kaspersky Security Center (KSC) yang merupakan konsol kepada produk-produk perniagaan syarikat ini.

Selain itu, pihak-pihak berkepentingan juga boleh mengkaji semua versi binaan Kaspersky dan kemas kini pangkalan data AV berserta maklumat mengenai proses-proses data seperti kemasukan data daripada rangkaian produk Kaspersky yang dihantar ke Rangkaian Keselamatan Kaspersky (KSN) berasaskan awan.

Akses ke Pusat Transparensi boleh diperoleh dengan mendapatkan kebenaran. Maklumat lanjut berkenan peranan Pusat Transparensi Kaspersky boleh didapati menerusi laman web Kaspersky.

Mengulas mengenai pembukaan pusat berkenaan, Eugene Kaspersky, Ketua Pegawai Eksekutif Kaspersky berkata: “Adalah satu kegembiraan untuk berada di Kuala Lumpur – yang berada di tengah-tengah rantau Asia Pasifik – untuk mengumumkan pembukaan Pusat Transparensi kami yang ketiga.

“Di sini kami berhasrat untuk menunjukkan kepada pelanggan kami serta pihak kerajaan bahawa produk-produk Kaspersky adalah 100% boleh dipercayai dan memastikan penyediaan perkhidmatan perlindungan siber yang terbaik.

“Pelancaran ini juga membuktikan bahawa aktiviti-aktiviti yang kami rancang di bawah Inisiatif Transparensi Global kekal berada atas landasan.”

“Kami amat teruja untuk membuka pintu hab digital ini bagi membenarkan pengguna merasai pengalaman perkhidmatan serta keupayaan teknologi keselamatan siber Kaspersky di rantau ini. Sebagai satu perubahan paradigma industri keselamatan siber, kemudahan ini – yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik – akan berada di tengah-tengah hab keselamatan siber masa depan di Cyberjaya.

Pusat baharu ini dibuka sebagai sebahagian daripada Inisiatif Transparensi Global – satu ilham Kaspersky yang bermatlamat memenuhi peningkatan permintaan daripada rakan niaga dan pihak berkepentingan kerajaan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan fungsi produk dan teknologi Kaspersky.

Pusat ini akan dibuka kepada pengunjung pada tahun hadapan.

Sementara itu, Dato’ Ts Dr Amirudin Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia berkata, “Dengan landskap ancaman siber terus berkembang di Malaysia dan serantau ini, kami percaya adalah penting bagi syarikat-syarikat swasta dan awam untuk membina kepercayaan dan kerjasama.

Kesanggupan Kaspersky untuk membuka pintu dan proses data mereka seterusnya menunjukkan bahawa mereka tidak berselindung. Sebagai sebuah entiti pihak ketiga, mereka juga berkongsi pandangan dan kebimbangan dalam usaha memperkukuhkan industri keselamatan siber.

Kami benar-benar berharap agar usaha sama ini akan menjadi contoh kepada lebih banyak agensi kerajaan dan entiti swasta untuk menjadi lebih telus dan adil demi manfaat rakyat dan industri keselamatan siber.”

Sejak pengumuman syarikat ini pada Oktober 2017, Inisiatif Transparensi Global Kaspersky telah menunjukkan perkembangan positif. Khususnya apabila syarikat:

  • Mula memindahkan infrastruktur penstoran dan pemprosesan data pengguna bagi pelanggan Eropah dari Russia ke Zurich, Switzerland. Usaha ini dijangka selesai menjelang akhir 2019.
  • Membuka dua Pusat Transparensi di Eropah – Zurich (November 2018) dan Madrid (Jun 2019). Pusat di Sepanyol juga berperanan sebagai pusat taklimat bagi pemegang kepentingan syarikat utama.
  • Berjaya melengkapkan Kawalan Organisasi Perkhidmatan bagi audit Jenis 1 Organisasi-Organisasi Perkhidmatan. Laporan terakhir yang diterbitkan oleh salah satu daripada firma perakaunan Empat yang Utama mengesahkan bahawa pembangunan dan pengeluaran pangkalan data peraturan pengesanan ancaman Kaspersky (pangkalan data AV) terlindung daripada perubahan yang tidak disahkan menerusi kawalan keselamatan yang teguh. Untuk mengetahui lebih lanjut dan mendapatkan Laporan Jenis 1 SOC 2 Kaspersky, sila layari laman web Kaspersky.
  • Telah membangunkan Program Bug Bounty. Sejak pengumuman lanjutan program berkenaan, syarikat telah menyelesaikan 66 pepijat yang dilaporkan oleh penyelidik-penyelidik keselamatan dan dianugerahkan hampir $45,000 dalam bentuk ganjaran pengesanan. Syarikat juga menyokong Rangka Kerja Disclose.io yang menyediakan Tempat Perlindungan kepada penyelidik yang bimbang akan kesan undang-undang negatif terhadap penemuan mereka.

Mengenai Kaspersky

Kaspersky adalah sebuah syarikat keselamatan siber yang diasaskan pada tahun 1997. Kepakaran dalam perisikan ancaman dan keselamatan yang mendalam Kaspersky sentiasa diubah kepada penyelesaian-penyelesaian dan perkhidmatan keselamatan inovatif yang bertujuan untuk melindungi perniagaan, infrstruktur kritikal, kerajaan dan pengguna di seluruh dunia.

Lebih 400 juta pengguna mendapat perlindungan daripada teknologi Kasperpersky dan kami membantu 270,000 pelanggan korporat untuk melindungi perkara-perkara penting bagi mereka. Dapatkan maklumat lanjut di www.kaspersky.com.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini