HONOR kembali mengukuhkan kedudukannya dalam segmen peranti flagship dengan pelancaran model terbaharu dalam siri HONOR 600 iaitu HONOR 600 Pro. Sekali imbas, peranti ini bukan sekadar naik taraf biasa, tetapi membawa pendekatan baharu dalam AI imaging, prestasi dan ketahanan – sesuatu yang semakin menjadi fokus utama dalam industri telefon pintar masa kini.

Reka Bentuk Premium

HONOR 600 Pro tampil dengan rekaan moden yang minimalis tetapi elegan. Dengan ketebalan hanya 7.8mm dan berat sekitar 200gram, ia masih selesa digunakan walaupun memuatkan bateri silikon-karbon yang sebesar 7000mAh manakala pilihan warna seperti Orange, Golden White dan Black memberikan sentuhan premium yang jelas menyasarkan pengguna gaya hidup moden.

Lebih menarik, peranti ini hadir dengan pensijilan IP68, IP69 dan IP69K, menjadikannya antara telefon yang paling tahan lasak dalam kelasnya. Tambahan pula, sijil SGS 5-Star untuk ketahanan jatuh dan tekanan memberi keyakinan bahawa ia bukan sekadar cantik, tetapi juga tahan digunakan dalam situasi ekstrem.

Skrin 

Daripada segi paparan, HONOR 600 Pro dilengkapi skrin AMOLED 6.57 inci dengan resolusi tinggi 2728 x 1264 dan kadar segar semula 120Hz. Pengalaman visual memang lancar sama ada untuk gaming, melayari laman media sosial atau menonton video.

Apa yang benar-benar menonjol adalah kecerahan puncak HDR mencecah 8000 nits — satu angka yang sangat tinggi untuk telefon pintar. Ini bermaksud penggunaan di bawah cahaya matahari terik bukan lagi isu. Sokongan Netflix dan Amazon HDR turut memastikan pengalaman hiburan lebih imersif.

Rekaan Baharu Kamera 

Tampil dengan rekaan serba baharu yang menampilkan tiga kamera utama seakan kamera sebuah peranti pintar popular menjadikan peranti ini sebagai pilihan pengguna masa kini. Dengan warga Orange mendekatkan lagi persamaan kepada peranti ini dengan pesaingnya yang jauh lebih mahal.

HONOR mempertaruhkan kamera utama 200MP dengan sensor besar 1/1.4 inci dan OIS menawarkan rakaman gambar yang sangat jelasn dan stabil. Lebih menarik, model Pro ini turut dilengkapi kamera telefoto 50MP dengan sokongan zoom sehingga 120 kali. Ini diperkukuh dengan AI Super Zoom 2.0, menjadikan rakaman jarak jauh lebih jelas dan tidak kabur. Kelebihan menggunakan zoom ini, anda hanya perlu menekan butang AI Enhance bagi tujuan memastikan hasil gambar lebih baik.

Ciri ini sebenarnya telah diperkenalkan pada peranti flagship HONOR Magic 8Pro yang memiliki keupayaan zoom sehingga 100 kali.

Untuk kegunaan harian, terdapat juga kamera ultra-wide 12MP serta kamera depan 50MP yang menyasarkan peminat swafoto dan pereka kandungan media sosial. Ciri AI imaging generasi baharu seperti AI Image to Video 2.0, AI Photo Agent, AI Enhanced Night & Night Portrait, AI Outpainting, AI Eraser dan Magic Color.

Gabungan ini menjadikan HONOR 600 Pro bukan sekadar telefon pintar tetapi alat pencipta kandungan berasaskan AI.

Cip Berkuasa

Melihat kepada sudut prestasi, HONOR 600 Pro dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite bersama GPU Adreno 830. Ini meletakkannya dalam kategori flagship sebenar, sesuai untuk peminat tegar gaming, multitasking dan penggunaan jangka panjang.

Dipadankan dengan MagicOS 10 berasaskan Android 16, pengalaman penggunaan dijangka lebih lancar dan pintar, terutamanya dengan integrasi AI yang lebih mendalam.

Bateri 

Satu lagi kekuatan utama ialah bateri 7000mAh berasaskan teknologi silikon-karbon. Ini jauh lebih besar berbanding kebanyakan flagship di pasaran. Ia menyokong pengecasan pantas 80W berwayar dan 50W pengecasan tanpa wayar.

Gabungan kapasiti besar dan pengecasan pantas menjadikan peranti ini cukup ideal untuk pengguna yang bergantung penuh kepada peranti yang tahan lasak, sesuai kepada mereka yang terbabit dalam bidang jualan di media sosial mahupun abang-abang e-hailing.

AI Produktiviti & Integrasi Google Gemini

HONOR turut memperkukuh ekosistem AI melalui integrasi Google Gemini, bersama pelbagai fungsi seperti AI Writing & AI Translate, AI Summary & AI Notes, AI Recorder & AI Minutes, Circle to Search dan Magic Portal.

Menariknya, terdapat juga ciri keselamatan seperti AI Deepfake Detection dan Voice Cloning Detection — satu langkah ke hadapan dalam menangani isu keselamatan digital. Ciri ini akan melindungi anda daripada scammer yang menggunakan kaedah panggilan video.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, HONOR 600 Pro adalah sebuah peranti flagship yang menumpukan kepada tiga aspek utama — AI imaging, bateri besar, dan ketahanan ekstrem. Ia sesuai untuk pereka kandungan yang mahukan kamera AI canggih, pengguna yang memerlukan bateri tahan lama khususnya pemandu e-hailing dan pengguna yang mahukan peranti premium tetapi praktikal.

Pada tanda harga RM3,299, HONOR 600 Pro berpotensi menjadi antara pesaing paling kuat dalam pasaran flagship tahun ini.

Spesifikasi HONOR 600 Pro:

  • Paparan : 6.57” Super AMOLED, 120 Hz
  • Resolusi: 2728×1264, PP1: 458
  • Pemproses: Snapdragon® 8 Elite
  • OS: MagicOS 10 + Android 16
  • Saiz: 156mm (L) x 74.7mm (W) x 7.8mm (D)
  • Memori: 12GB
  • Storan: 512GB
  • Bateri: 7000mAh HONOR SuperCharge 80W
  • CPU:  Qualcomm Adreno 830
  • Kamera belakang: 50MP + 12MP + 200MP
  • Kamera depan: 50MP
  • Ciri Menarik: SGS 5-Stars Premium Performance Certification of Drop & Crush Resistance IP68 & IP69 & IP69K kalis air dan habuk
  • Warna: Orange, Golden White dan Black
  • Harga:  RM3,299

Bagi menguji sepenuhnya peranti ini, Prebiu.com sanggup terbang ke Pulau Langkawi merakam gambar-gambar menarik menggunakan HONOR 600 Pro ini. Paling mengujakan ialah gambar-gambar yang berjaya dirakam dari aras 30,000 kaki di udara masih kelihatan cantik meskipun tidak menggunakan ciri AI yang dipertingkatkan.

Lihat di bawah ini gambar-gambar menarik yang dirakam pada siang dan malam.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini