Trend pemakaian jam pintar kini semakin meningkat bukan sahaja disebabkan pelbagai ciri yang ditawarkan tetapi gaya hidup aktif masa kini yang bergantung penuh kepada gajet pintar yang boleh merekod aktiviti seharian daripada mula bangun pagi hingga tidur pada malamnya.
Justeru, tidak hairan kita dapat melihat lambakan jam pintar di pasaran yang ditawarkan pada harga mampu milik sama ada dijual di laman media sosial mahupun oleh pengeluar jenama terkenal khususnya dikaitkan dengan telefon pintar memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
Terbaharu, vivo yang juga pengeluar telefon pintar terkemuka tidak mahu ketinggalan dalam memperkenalkan jam pintar vivo Watch 3 yang diperkenalkan satu saiz iaitu 46mm dengan dua pilihan rekaan bersama tali jenis silikon lembut atau kulit.
Rekaan luaran
vivo Watch 3 dilengkapi skrin 1.43 inci dengan resolusi 466 x 466 dan ciri Always-On-Display. Paparan skrin besar ini memberikan satu kelebihan kepada pemakai yang mahu kelihatan menonjol dan sentiasa bergaya tidak kira untuk kegunaan harian atau bersantai pada hujung minggu.

Paparan AMOLED pada peranti ini sangat cantik, mampu memberikan semua maklumat yang diperlukan tanpa piksel yang terkeluar malah imej dipaparkan amat jelas ketika navigasi antaramuka digunakan.
Pada sisi kanan atas, peranti ini dipadankan dengan tombol berputar bagi tujuan melakukan navigasi aplikasi dan satu butang kecil kedua dibawahnya.
Peranti yang diuji Prebiu.com dilengkapi tali silikon hitam dengan badannya juga berwarna sama nampak awesome apabila memakainya malah tidak terasa beban disebabkan beratnya hanya 36 gram.
Rekaan badan peranti ini juga kukuh dengan kerangka utama diperbuat daripada aloi aluminium sementara paparan skrin dilindungi dengan bahan dari jenis Schott Up.
Malah skrin bulatnya cukup menarik dan jika jam ini terjatuh ke dalam air atau dipakai ketika hujan lebat, anda tidak perlu risau kerana ia boleh bertahan hingga 50 meter (5 ATM) kedalaman air.

Pelbagai Ciri Sensor
Jam ini dilengkapi sensor terbina Star Ring Health Monitoring Sensor dengan gabungan teknologi analisis kadar jantung berasaskan AI untuk kemampuan menjejak dan merekodkan data dengan lebih baik. Peranti ini dipadankan dengan sistem operasi BlueOS yang merupakan sistem operasi tersendiri vivo.
Apa yang menarik ialah ciri sensor ini dipadankan dengan 8 saluran untuk pemantauan denyutan jantung dan 16 saluran untuk oksigen darah, susun atur multi-saluran ini memberikan pemantauan kesihatan yang tepat dan menyeluruh. Ia juga mampu memantau tekanan, tahap ketepuan, pernafasan, tidur, dan banyak lagi.
Isyarat PPG diproses oleh Algoritma Pemantauan Denyut Jantung yang Inovatif, yang mempunyai kebolehan pemantauan yang cemerlang. Peranti ini secara tepat menjejaki data anda, sama ada dalam penggunaan harian atau semasa senaman.

Selain itu, jam ini mempunyai pilihan lebih 100 mod sukan yang berbeza dan tidak terhad kepada aktiviti berjalan, berlari, berbasikal, berenang, badminton dan banyak lagi.
Malah ia juga mampu memaparkan pola tidur lengkap dengan pengesanan dengkur bagi menyukat kualiti tidur anda sama ada tidur yang berkualiti atau tidak.
Bateri
Peranti ini dilengkapi bateri berkapasiti 505 mAh dengan cas penuh hanya kurang dari dua jam dan cukup menarik mampu bertahan sehingga 16 hari untuk kegunaan biasa dan bergantung kepada tahap penggunaan.
Sekiranya peranti ini disambungkan dengan telefon pintar dan digunakan secara aktif menjawab panggilan telefon atau membaca whatsApp mungkin jangka hayat bateri ini akan menurun. Ini adalah situasi biasa bagi mana-mana jam pintar di pasaran mengikut jenis penggunaan pemakainya.

Harga
vivo Watch 3 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu White Leather dan Black Sport dengan harga RM899 (Sport) dan RM999 (Leather).
Apa Ada Dalam Kotak
- vivo Watch 3
- Wayar pengecas
- Buku manual
*Nantikan ulasan penuh vivo Watch 3









































