Memiliki jam tangan pintar semakin menjadi trend masa kini apatah lagi peranti ini ditawarkan kebanyakan pengeluar telefon pintar popular dan tidak ketinggalan jenama terkemuka dari Oppo.

Setiap jam ini pula memiliki ciri pintar tersendiri yang menjadi mercu tanda dalam membezakannya dengan pesaingnya dan tidak hanya mempertaruhkan sekadar jenama semata-mata.

Terkini, Oppo Watch Free, jam pintar ini terbaharu ini didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam dan vanilla, dilengkapi rekaan jam tangan bermuka segi empat tanpa sebarang butang fizikal padanya.

Prebiu.com yang diberi peluang menguji jam pintar ini cukup teruja melihat kekemasan kotak jam serba putih yang lengkap dengan wayar pengecas dan dua buku panduan dalam pelbagai bahasa.

Rekabentuk

Oppo Watch Free menampilkan panel kaca 2.5D melengkung yang kalis calar dan tali jam yang diperbuat daripada silikon yang tahan lasak.

Sekali pandang, rekaan jam pintar ini kelihatan mewah dan premium apabila dihiasi saduran emas pada bingkainya dan sesuai digayakan sesiapa sahaja apatah lagi warna Vanilla ini amat padan dengan pemakainya seorang wanita.

Meskipun jam ini hanya seberat 20 gram dengan berat keseluruhan bersama tali jam ialah 32 gram, tidak terasa beratnya dan amat selesa memakainya disebabkan rekaan tali silikonnya tidak melekat pada kulit.

Dengan ciri jam yang ringan dan selesa, anda boleh ‘tidur’ bersama dengan jam ini setiap hari kerana dilengkapi ciri peringatan untuk tidur atau bangun apabila tiba masa untuk tidur atau berjaga.

Ciri Pintar

Oppo Watch Free mempunyai paparan skrin bersaiz 1.64-inci AMOLED dengan resolusi 280 x 456 piksel.

Menurut Oppo, ia juga menyokong sehingga 40 pilihan muka jam bercirikan kecerdasan pintar (AI) yang boleh diubah mengikut kesesuaian dan gaya pemakai, malah salah satu ciri muka jam membolehkan anda meletakkan gambar sendiri atau sesiapa sahaja. Canggih bukan!

Spesifikasi lain termasuk bateri 230mAh dengan ketahanan maksimum 14 hari, kemampuan kalis air 5ATM (50 meter), bluetooth 5.0 dan sebagainya.

Anda hanya perlukan masa mengecas 5 minit untuk penggunaan seharian manakala 20 minit diperlukan untuk pengecasan seminggu dan 75 minit untuk penggunaan selama 14 hari.

Pelbagai fungsi

Jam pintar ini dilengkapi pelbagai ciri terkini antaranya, notifikasi mesej, panggilan masuk, menolak panggilan, penggera jam, kawalan muzik dan ciri mencari telefon.

Oppo Watch Free ini juga akan merekod secara automatik apabila mengesan sebarang pergerakan oleh pengguna apabila melakukan senaman dikenali sebagai ciri Smart Recognition Modes dengan lebih 100 mod senaman disediakan.

Ciri paling menarik perhatian ialah menerusi jam pintar Oppo terbaharu ini, Oppo Watch Free mampu merakam paten tidur dan dengkuran menerusi pemantauan seharian dengan menyediakan analisis dengkuran dan panduan bagaimana mengelakkan komplikasi tidur apnea.

Kesemua rekod itu disalurkan menerusi aplikasi HeyTap Health di telefon pintar yang turut mempunyai ciri memantau tahap darah dalam oksigen dan kadar denyutan jantung.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 27 peratus populasi dunia mempunyai masalah tidur dan kira-kira 3,000 orang mati setiap hari di seluruh dunia disebabkan oleh komplikasi apnea tidur obstruktif.

Melihat kepada fungsi ditawarkan, ia hadir dengan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan kesihatan termasuk sensor gerakan enam paksi, kadar denyutan jantung sepanjang hari, pemantauan dengkur, sensor cahaya ambien dan banyak lagi.

Bagaimanapun, kehadiran Oppo Watch Free lebih memfokuskan pada pemantauan tidur lebih baik di mana, ia mempunyai kebolehan pemantauan tidur dengan tiga ciri utama iaitu sebelum, semasa dan selepas pengguna tidur.

Apabila anda memakai jam pintar ini, ia mampu membantu memperbaiki masalah tidur dengan lebih saintifik. Ia tidak hanya memantau pola tidur sahaja, sebaliknya turut sama mengambil kira beberapa aspek lain. Misalnya, pemantauan oksigen dalam darah, kebolehupayaan denyutan jantung dan memantau dengkur sewaktu tidur.

Kesimpulan

Prebiu.com yang diberi peluang menguji jam pintar ini mendapati, rekaan tali jam silikonnya cukup selesa dipakai dan berasa ringan meskipun ketika sedang bersukan atau berjoging di taman.

Jam pintar ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi dan harganya RM449 sahaja.

Untuk mencari fungsinya, anda hanya perlu menatal dari kiri ke kanan atau dari atas ke bawah tanpa sebarang butang fizikal. Untuk menukar muka jam, anda hanya perlu menekan skrin jam dan boleh membuat pllihan sehingga 7 muka jam.

Jika bosan dengan muka jam sama boleh sahaja pilih menerusi aplikasi pada telefon pintar anda.