Agrobank mengumumkan tujuh pemenang Pertandingan Fotografi Agrobank x UNISEL yang merupakan kerjasama di antara Agrobank dan Universiti Selangor (UNISEL), dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM10,000.
Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dalam kenyataannya berkata, pertandingan foto yang bertemakan ‘Farm & Food’ ini merupakan satu inisiatif oleh Agrobank untuk mengetengahkan bakat dan memberi peluang kepada pelajar UNISEL meneroka spektrum baharu dalam bidang seni fotografi melalui platform media sosial.
“Sebagai sebuah bank yang mendukung dan memahami bidang pertanian dan penternakan, kami di Agrobank secara berterusan akan terus membuka lebih banyak peluang dengan menganjurkan inisiatif sebegini, yang bukan sahaja bertujuan untuk memupuk kemahiran kreatif, namun turut membuka peluang kepada pelajar-pelajar universiti tempatan untuk memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan oleh Agrobank,” katanya.
Pertandingan Foto Agrobank yang berlangsung sepanjang 17 September 2021 sehingga 16 November 2021 lalu, yang bertemakan ‘Farm & Food’ menerapkan empat elemen utama sebagai sub kategori pertandingan iaitu All About Animal, Farm Scenes, All About Crop dan Farm to Fork.
Hasil karya para pelajar UNISEL ini telah dinilai oleh dua orang juri professional dari industri fotografi iaitu Rahman Roslan dari Austral Media Sdn Bhd dan Azneal Ishak dari MalaysiaKini.
Hasil kesinambungan penjurian, 12 karya terbaik telah dipilih untuk dipamerkan pada satu pameran mini yang telah berlangsung pada 7 sehingga 17 Februari 2022 di Gloria Jean’s Menara Agrobank, Kuala Lumpur.
Tujuh pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai di antara RM500 ke RM2,000 bagi setiap pemenang, manakala 10 penyertaan turut dipilih untuk memenangi hadiah sagu hati berupa baucer bagi setiap pemenang.
Upacara penyampaian hadiah kepada pemenang utama ini telah disempurnakan oleh Ts Dr. Wan Azlan Wan Hassan @Wan Harun, Dekan Fakulti Komunikasi Seni Visual dan Pengkomputeran UNISEL bersama Shahreen Rahim, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Agrobank di satu majlis tertutup di Kuala Lumpur, baru-baru ini.






































