Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) akan melancarkan persidangan kepimpinan pemikiran global yang pertama seumpamanya yang menggabungkan antara platform global dan penyepaduan pembangunan mampan serta kewangan Islam dalam ekonomi Halal.
The Global Connect Forum menerusi tema “Memacu Impak Kemampanan Melalui Kewangan
Islam,” adalah dengan kerjasama IslamicMarkets Limited (IslamicMarkets) dan akan diadakan pada 21 hingga 23 Mac 2022 secara atas talian di IslamicMarkets.com, sebuah platform global yang menyediakan peluang kerjasama kepada profesional dan institusi dalam ekonomi Islam.
Forum berkenaan akan menampilkan ucapan khas, sesi bual santai (fireside chat) dan
perbincangan panel yang menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin perniagaan, sarjana dan pemegang kepentingan utama daripada industri kewangan Islam dan ekonomi Halal untuk berkongsi pandangan utama dan amalan terbaik industri.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Islamic, Dato’ Mohamed Rafique Merican berkata “Kami memilih tema Memacu Impak Kemampanan Melalui Kewangan Islam adalah untuk bertindak berdasarkan apa yang berlaku di sekeliling kita sekarang.
Elemen Pembangunan Mampan menjadi lebih penting terutama sejak pandemik Covid-19 melanda dunia. Objektif utama forum ini adalah bagi menyediakan platform global untuk kerjasama, mengenai penyepaduan pembangunan mampan dan kewangan Islam.
Kewangan Islam memerlukan keadilan sosial, keterangkuman kewangan dan amalan etika serta tanggungjawab sosial. Kesemua ini adalah teras kepada usaha dan inisiatif kemampanan.
Dengan penjajaran yang ketara antara kewangan Islam dan prinsip kemampanan, kami percaya bahawa kewangan Islam akan mempunyai daya tarikan yang lebih luas dan lebih universal.”
Ketua Pegawai Eksekutif IslamicMarkets, Shakeeb Saqlain berkata “Peristiwa baru-baru ini telah menunjukkan kepada kami bahawa terdapat hujah yang kukuh untuk kedua-dua kewangan Islam dan agenda kemampanan untuk melengkapkan pembangunan ekonomi Halal global.
Global Connect Forum diadakan tepat pada masanya apabila terdapat keperluan untuk dialog yang bermakna untuk mengukuhkan lagi penumpuan pembangunan mampan, kewangan Islam dan Rakan Strategik ekonomi Halal.