Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Golf GTI serba baharu di Litar Antarabangsa Sepang.

Dikenali sebagai raja hatchback, GTI menawarkan keseronokan pemanduan sporty sejak ia dilancarkan dalam acara Frankfurt Motor Show pada tahun 1975. Jentera ini terus mendefinisikan bagaimana sebuah kenderaan sports kompak patut dihasilkan.

Kini, GTI serba baharu menawarkan prestasi lebih berkuasa yang membawakan pengalaman pemanduan ke satu tahap baru dengan menjadikannya kereta sports harian yang diidamkan.

Ia dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan transmisi klac basah DSG 7-kelajuan berkuasa 245PS dan tork 370Nm – menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan kepada pemandunya.

Keunikan GTI ialah sistem Vehicle Dynamics Manager yang membolehkan personalisasi pemanduan dibuat. Selain daripada beberapa mod pratetap, ia juga mempunyai mod individu. Penggunaan bahan api adalah sekitar 7l/100km.

Ruang dalaman GTI nyata progresif, inovatif dan intuitif. Tempat sports duduk hadapan hadir dengan kemasan berwarna merah dan ciri suhu aktif yang boleh disesuaikan dengan cuaca panas atau sejuk.

Tempat duduk pemandu didatangkan dengan ciri memori dan sokongan lumbar yang boleh dilaras secara elektrik. Semua tempat duduk dibalut kulit Vienna untuk memberi lebih keselesaan.

Dipasang di Pekan, ini merupakan satu pencapaian bersejarah kerana ini merupakan kali pertama GTI dihasilkan di luar Jerman dan China.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter menyatakan keterujaan dengan pelancaran GTI generasi kelapan ini. “GTI pastinya tiga huruf paling ikonik dalam industri automotif. Ia mempunyai peminat setia dari seluruh dunia dan ini termasuk peminat tegar di Malaysia.

Kami berbangga kerana mampu menghasilkannya di Pekan sebab ini satu pencapaian yang cukup bersejarah. GTI ini penuh dengan inovasi dan kami yakin ia akan menetapkan standard baharu dan memberi keterujaan kepada para pelanggan.”

VPCM menyokong aspek selepas jualan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.