Landasan tepat buat bakal pekerja – majikan untuk penambahbaikan kemahiran dan penempatan kerja

Program Biokerjaya @ My Future Agro yang dilaksanakan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) berupaya menjadi platform tepat buat golongan muda yang masih mencari peluang pekerjaan terutama ketika tempoh pandemik ini.

Antara peserta program, Maithly Selgan yang berkhidmat sebagai Juruteknik Akuakultur di
GK Aqua Sdn Bhd, membuktikan bahawa program berkenaan ternyata membuka peluang
pekerjaan sekali gus mempertingkatkan kemahiran dalam bidang tugasnya.

Beliau mengakui latihan yang dijalani menerusi program berkenaan membantu dirinya untuk menambah baik kemahiran insaniah memandangkan latar belakangnya terarah ke bidang teknikal.

Pada mulanya, beliau memohon pekerjaan terus kepada syarikat bioteknologi akuakultur
terbabit tetapi pihak syarikat menggalakkannya untuk memohon menerusi program Biokerjaya @ My Future Agro.

“Latihan berkaitan memberikan keyakinan untuk mengetengahkan diri saya dan
menzahirkan pandangan di hadapan khalayak. Sepanjang program ini, saya mempelajari
pelbagai perkara dari segi penambahbaikan diri dan kerja berpasukan.

“Malah saya sangat berterima kasih kepada Biokerjaya @ My Future Agro kerana saya
sudah diambil bekerja sebagai kakitangan tetap selepas enam bulan menjalani program
latihan ini,” katanya.

Peserta dan pekerja di GK Aqua melakukan pengekstrakan DNA udang galah untuk analisis penyakit.

Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan Reszon, Nurul Hassanah Mohd Hassan,
mengakui sebagai graduan baharu yang mencari pekerjaan dalam tempoh pandemik
COVID-19 ini, sukar mencari pekerjaan dengan tiada pengalaman kerja justeru tiada
salahnya mencuba platform berbeza untuk meneroka prospek kerjaya.

Menurutnya, Biokerjaya didapati sangat bermanfaat dalam menghubungkan calon dengan
majikan berpotensi. Program berkenaan membolehkan beliau berhubung dengan syarikat
yang bersesuaian dengan latar belakang pendidikannya dan pada masa sama, berpadanan
dengan keperluan syarikat.

“Sebagai graduan baharu, persekitaran kerja mungkin agak menakutkan. Menerusi latihan
pada program ini, saya berpeluang untuk lebih memahami industri ini dan berusaha sebaik
mungkin dalam perkembangan diri dan syarikat,” katanya yang dimaklumkan mengenai
program terbabit oleh salah seorang pensyarahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak menjelaskan, antara matlamat utama program Biokerjaya @ My Future Agro adalah untuk
menyediakan peluang pekerjaan kepada semua peserta supaya mereka mempunyai pekerjaan dalam tempoh yang mencabar ini.

“Di samping itu, kami juga mahu memberikan motivasi kepada peserta untuk sentiasa meningkatkan kemahiran diri dengan pengetahuan dan kemajuan teknologi terkini supaya mereka mampu kekal relevan dan memenuhi permintaan pasaran kerja.

“Biokerjaya @ My Future Agro dan program latihan lain di bawah program BioAcademy membolehkan mereka melaksanakannya kerana latihan berkaitan memberi tumpuan kepada penerimaan dan aplikasi teknologi di tempat kerja.

“Ini sejajar dengan aspirasi dan usaha kerajaan dalam memodenkan industri sedia ada
misalnya penggunaan amalan peladangan moden dalam pertanian terus berkembang untuk
bergelar negara maju yang dipacu oleh industri berasaskan teknologi,” katanya.

Biokerjaya @ My Future Agro dikendalikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri
Makanan (MAFI) mula dilaksanakan pada Oktober 2020, di bawah inisiatif Pelan Jana
Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Salah satu peserta program Biokerjaya @ My Future Agro.

Menurutnya, selain penempatan pekerjaan dan penambahbaikan kemahiran peserta,
program ini menggalakkan peserta untuk bersikap terbuka dalam memperoleh pengetahuan dan pengalaman baharu dalam bidang yang mungkin tidak menjadi kebiasaan sebelum ini seperti bioteknologi, teknologi berasaskan bio atau teknologi pertanian.

“Pemikiran ini sememangnya penting supaya peserta dan negara mampu melangkah ke
hadapan dan berkembang maju dalam dunia yang pantas berubah kini.

“Menerusi program ini, peserta juga akan menyedari bahawa bidang ini tidak sukar untuk
diterokai. Kami mahu menunjukkan tanpa mengira kelayakan atau latar belakang
seseorang, sentiasa ada ruang untuk meningkatkan kemahiran dan pekerjaan dalam bidang ini menerusi program kendalian BioAcademy,” katanya.

Menerusi program Biokerjaya @ My Future Agro sehingga Oktober 2021 lalu, seramai 941
individu berjaya memperoleh pekerjaan di 78 syarikat, dan sejumlah 1,961 kekosongan
ditawarkan menerusi portal Biokerjaya. Maklumat lanjut mengenai program Biokerjaya @
My Future Agro boleh dilayari menerusi laman sesawang https://biokerjaya.my