Digitalisasi telah menjadi suatu kepentingan bagi semua lapisan masyarakat terutamanya ketika kita menuju ke dunia yang lebih digital.

Maxis melancarkan eKelas Usahawan, sebuah program pemasaran digital berstruktur untuk memperkasa usahawan wanita dari masyarakat luar bandar untuk memperluaskan penggunaan digital mereka.

eKelas Usahawan merangkumi bengkel pemasaran digital dengan pendekatan praktikal untuk melengkapkan peserta dengan alat dan kemahiran digital yang mampu mengembangkan perniagaan dan pendapatan mereka.

Program telah dilancarkan oleh Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau disambut di Menara Maxis oleh Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, serta Ketua Pegawai Eksekutif, Gokhan Ogut.

“Kerajaan menyedari bahawa wanita yang diperkasakan secara kewangan adalah amat penting untuk pembangunan negara dan ekonomi. Oleh itu, Kementerian terus memberikan sokongan kepada usahawan wanita, sejajar dengan komitmen kami untuk mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan terutama bagi mereka yang berada di segmen B40.

Era digitalisasi ini membuka peluang untuk kita menjadikan komitmen ini suatu realiti. Saya gembira melihat komitmen tenaga dan sumber daya Maxis untuk menyokong usahawan wanita melalui eKelas Usahawan,” kata Rina.

“Di Maxis, inisiatif komuniti kami didorong oleh semangat untuk menyokong pendidikan dan tujuan kami untuk membawa teknologi terbaik bagi membantu rakyat untuk Terus Merajui dalam dunia yang berubah.

“Kami telah menggunakan apa yang dipelajari dari pengalaman menghadapi pandemik tahun lalu yang mencabar, dan mengembangkan usaha untuk terus menyokong komuniti dan mendorong penggunaan digital terutama di kalangan usahawan dan PKS mikro.

“Kami gembira melihat mereka memanfaatkan keupayaan digitalisasi. Mudah-mudahan, kejayaan mereka akan memberi kesan yang positif dan memberi inspirasi kepada lebih banyak usahawan wanita yang kami percaya mempunyai peranan penting dalam ekonomi
negara,” kata Gokhan Ogut.

Maxis berkolaborasi dengan NGO tempatan di beberapa negeri untuk mengenal pasti dan
mendaftar usahawan untuk bengkel seharian. Modul telah direka khas oleh rakan kerjasama kandungan dan latihan yang merangkumi tip dan kemahiran asas fotografi digital, pemasaran dan pengiklanan melalui platform dalam talian dan media sosial serta pembayaran digital.

Untuk memastikan kelestarian program, peserta berpeluang untuk menerapkan pembelajaran pada perniagaan mereka serta ganjaran melalui pertandingan dan sesi pitching.

Usahawan juga akan disokong oleh sukarelawan Maxis untuk memperluas pendedahan mereka dalam pemasaran dan teknologi.

“Sebagai usahawan luar bandar, kami beterima kasih kepada Maxis atas peluang untuk
menyertai bengkel yang amat bermanfaat ini, kerana apa yang dipelajari amat bermanfaat
untuk mengembangkan perniagaan kami,” kata Juddy Lasius.

“Pendekatan program ini amat berkesan untuk kami terus menggunakan apa yang dipelajari. Kami gembira dapat berinteraksi dengan sukarelawan Maxis yang telah memperluas pandangan kami dalam landskap pengguna dan cara pemasaran produk secara digital,” kata Irene Mositol.

Sebanyak 10 bengkel eKelas Usahawan akan diadakan pada tahun 2021, menjangkau
masyarakat dari pelbagai lokasi di seluruh negara. Bengkel pertama tahun ini diadakan pada 20 Mac 2021 untuk usahawan wanita di Sabah, dengan kerjasama PACOS Trust.