Prebiu.com sekali lagi terpilih menjadi antara media pertama oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti model Galaxy A52 ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum.

Mula diperkenalkan secara pertama kali menerusi siaran langsung yang dipancarkan ke seluruh dunia di saluran media sosial facebook, Galaxy Awesome Unpacked pada minggu lalu, namun ketika itu harga untuk pasaran Malaysia belum diumumkan lagi.

Selepas dua hari harga pasaran untuk negara ini diumumkan, maka unit untuk diuji ini terus dihantar secara serahan ‘tangan’ ke rumah penulis dan akhirnya menerima peranti berwarna Awesome Blue.

Apa yang menarik pada peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A ini? Ketika peranti dilancarkan minggu lalu, dua lagi peranti dalam siri A turut diperkenalkan iaitu A72 dan A32 yang memiliki ciri spesifikasi berbeza.

Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasi lebih kepada ciri yang dinaik taraf daripada model A51 yang diperkenalkan dua tahun lalu.

Bagaimanapun, ciri inovasi pada A52 ini benar-benar lebih baik seakan memiliki ciri sebuah peranti premium dalam siri Galaxy S. Cara mudah nak jelaskan ialah sebagai contoh anda membeli sebuah kereta buatan nasional yang dipadankan ciri-ciri sebuah kereta berharga lebih RM100,000.

Rekaan Kamera Unik

Nampak gayanya, Samsung tidak mahu terikat dengan rekaan sebelumnya dan kali ini rekaan paling ketara ialah kedudukan lensa kamera belakang yang lebih menonjol ‘dibaluti’ dengan bingkai yang selari dengan warna badannya sekali gus kelihatan minimalis dan trendy.

Bagaimanapun, bonggol kamera A52 ini tidak kelihatan terlalu besar atau ketara tetapi nampak lebih kemas berbanding model peranti premium dalam siri Galaxy S.

Kedudukan semua lensa kamera disusun rata dalam dua baris menegak dengan lampu LED flash pula diletakkan pada bahagian bawah.

Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya hanya ‘enjin’ dan spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mampu milik A52 ini pada harga bawah RM1,500.

Rekaan Kontur Badan

Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti untuk golongan muda yang aktif.

Walaupun kelihatan ringkas, kemasan pusam yang digunakan nampak premium dan tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.

Peranti ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Violet, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White. Memang Ohsem!

Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian atas.

Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).

Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah bersama-sama dengan bicu audio 3.5mm, lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo dengan sokongan Dolby Atmos.

Spesifikasi 

Samsung Galaxy A52 hadir dengan skrin bersaiz 6.5 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 407 PPI dan kadar segar semula 90 Hz.

Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan turut disediakan kemudahan untuk tambahan slot kad storan sehingga 1TB.

Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A52 menggunakan cip pemproses Octa-Core dan memori 8GB RAM selain kemampuan kalis air IP67 dan bateri sebesar 4500mAh.

Bagi peranti A521 kali ini, Samsung membekalkan kepala pengecas dan kabel bagi setiap pembelian yang menyokong pengecasan pantas 25W.

Ciri kamera dipertingkatkan

Samsung Galaxy A52 dilengkapi ciri kuad-kamera belakang gabungan 12MP + 5MP + 5MP + 64MP, sementara kamera swafoto 32MP. Konfigurasi kamera pada peranti ini ialah 64MP (f/1.8) – (Utama); 12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar); 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) dan 5MP (f/2.4) – (Makro)

Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda.

Harga pasaran

Samsung Galaxy A52 yang baru dilancarkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,499 untuk 8GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Violet, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.

* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy A52