UMW Toyota Motor telah memulakan penjualan model Toyota Fortuner 2021 dengan kemaskini terhadap penampilan, prestasi serta keselamatannya, dan dalam masa sama mengekalkan ciri-ciri yang menjadikannya SUV popular di negara ini.
Dua varian ditawarkan dengan harga jualan seperti berikut:
Toyota Fortuner 2.8 VRZ dengan enjin 2.8 liter turbodiesel dan transmisi automatik enam- kelajuan 4×4 — dari RM203,183
Toyota Fortuner 2.7 SRZ dengan enjin 2.7 liter petrol dan transmisi automatik enam- kelajuan 4×4 — dari RM172,244

Fortuner 2.8 VRZ 4×4 A/T ialah varian baru yang menggantikan Fortuner 2.4 VRZ dalam penawaran sebelumnya. Warna badan baru — Bronze Mica Metallic — dengan bumbung hitam juga ditawarkan secara eksklusif bagi varian flagship ini.
Bumbung hitam berkenaan juga ditawarkan dengan warna badan Super White II, juga untuk varian ini sahaja.
Model SUV Toyota ini hadir dengan penampilan wajah depan yang lebih dinamik, dengan Fortuner 2.8 VRZ menerima lampu utama Quad LED dengan gril bercorak mesh di tengah.

Unit lampu yang lain juga diberikan rekaan baru, serta rekaan bampar depan dan belakang yang juga menampilkan sentuhan baru. Bahagian skid plate di depan turut diperkemas, menyuntik imej lasak pada Fortuner.
Untuk membezakan lagi penampilan Fortuner 2.8 VRZ, bahagian bumbungnya, tiang A, perumah cermin sisi dan spoiler pada bumbung semuanya dijadikan warna hitam. Rekaan setiap sudutnya juga diperkemas agar lebih aerodinamik. Walaupun sebuah SUV yang ranggi, Fortuner kekal tampil menawan dalam persekitaran urban.
Kedua-dua varian yang ada ini dilengkapi dengan rim aloi 18-inci yang diberikan rekaan baru.

Sama seperti penampilan modennya di luar, ruang dalaman Fortuner, dengan tiga baris kerusi, juga membawakan rekaan dan suasana premium moden.
Ruang kabin Fortuner 2.8 VRZ diberikan rekaan dan warna baru, termasuklah pada balutan tempat duduknya. Panel instrumen baru menampilkan Multi Information Display (MID) yang diperkemas animasi pemulanya.
Cahaya suasana pula memberikan kelainan ketika waktu malam, sementara perumah kunci juga diberikan rekaan lain.
Bagi keselesaan, Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ telah dipasangkan dengan lampu kabin jenis LED, cermin pandang belakang elektrokromatik (menghindari silau) dan tempat duduk pemandu serta penumpang depan kini boleh dilaras lapan-hala secara elektrik. Beberapa slot pengecas USB juga disediakan untuk kegunaan peranti moden penumpang.

Aturan tempat duduk yang boleh ubah membolehkan kapasiti penuh dimanfaatkan jika perlu. Ketiga-tiga baris yang ada mampu menempatkan penumpang dewasa dengan selesa. Selebihnya, barisan kedua dan ketiga boleh dilipat untuk memberi kelebihan sebagai ruang barangan.
Sistem janaan kuasa yang telah terbukti dikekalkan pada Fortuner, melalui unit diesel 1GD-FTV empat-silinder common rail. Unit ini menampilkan variable nozzle turbocharger (VNT) tahan lasak dengan intercooler. Enjin 2.8 liternya mampu menghasilkan 204 PS pada 3,000-3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm.
Batang imbangan mengurangkan gegaran serta kebisingan, sementara penjimatan dan kecekapan tinggi dicapai melalui sistem suntikan common rail kawalan elektronik yang boleh menyuapkan minyak dalam tekanan tinggi sehingga 250 MPa.

Fortuner juga didatangkan dengan Kawalan Aliran Bolehubah (VFC) pada stereng kuasanya, yang membantu menjimatkan minyak dengan cara pengurangkan beban tork pada pam stereng kuasa.
Jurutera Toyota telah memperbaiki rasa stereng untuk memberikan kendalian natural yang sepadan dengan kelajuan semasa. Bagi Fortuner 2.8 VRZ, turut ada mod Sport yang memperkayakan lagi maklum balas stereng berkenaan.
Sistem pacuan 4×4 pula menyediakan kemampuan maksimum di semua permukaan jalan, baik lebuhraya berturap mahupun laluan berlumpur di belukar. Dengan kemampuan shift on-the-fly, pemandu tidak perlu berhenti untuk kenderaan mengaktifkan pacuan 4×4, yang boleh ditukar pada tombol dengan mudah.
Untuk meningkatkan kestabilan, ia dilengkapi Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC). Baru untuk model tahun 2021 ini bagi kedua-dua varian adalah ciri Auto Limited Slip Differential (LSD).

Ini sangat berguna dalam keadaan sukar dan memanfaatkan sistem kawalan cengkaman untuk mengawal brek ketika satu daripada roda belakang mula gelincir. Ini membolehkan kuasa enjin dikekalkan dan kuasa dialihkan ke roda yang mempunyai cengkaman lebih baik.
Fortuner juga datang dengan kelengkapan keselamatan yang menyeluruh untuk membantu pemandu menghindari kemalangan.
Tidak lupa, rekaan strukturnya juga mampu mengurangkan kecederaan pada penumpang sekiranya terlibat dalam kemalangan.
Kini, selari dengan usaha Toyota untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, model terbaru ini dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS).

Ia merupakan pakej keselamatan aktif bersepadu yang menggunakan kamera dan radar untuk mengesan kenderaan lain, serta akan mengambil tindakan sepatutnya untuk mengelak kemalangan.
Walaupun TSS ditawarkan pada kebanyakan model Toyota ketika ini, Fortuner tetap diberikan elemen berbeza; ia hadir dengan ciri-ciri seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Yaw Assist.
Tidak seperti TSS pada kenderaan penumpang lain, sistem pada Fortuner (dan Hilux) ini memilik fungsi Yaw Assist. Ia akan diaktifkan ketika penukaran lorong dikesan, dan daya brek tambahan akan dikenakan kepada roda di sebelah dalam untuk membawa kenderaan kembali ke dalam posisi sepatutnya. Sistem berkenaan juga akan mengambil kira keadaan penggunaan.

Ketika pembelian, pelanggan boleh juga memasukkan sekali pilihan ciri tambahan lain seperti pengecas tanpa wayar (baru), bukaan pintu belakang dengan gerak kaki (baru), peninjau pada bumbung serta perakam video digital belakang.
Sama seperti kebanyakan model yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor, Fortuner baru ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada syarat yang dinyatakan dalam buku manual pemilik.
Ini akan melegakan pengguna yang akan memanfaatkan perjalanan dalam jarak jauh setiap tahun kerana mereka boleh menikmati Fortuner tanpa risau sepanjang tempoh berkenaan.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati jadual penukaran minyak enjin yang lebih lama bagi enjin dieselnya dengan Revised Service Package.
Jadual penukaran minyak enjinnya dilanjutkan kepada setiap 10,000 km atau enam-bulan (yang mana dahulu), berbanding keperluan sebelum ini iaitu setiap 5,000 km/tiga-bulan. Sokongan lepas jualan juga tersedia di seluruh negara.











































