Galaxy Z Fold8 bukan sekadar telefon yang boleh dilipat untuk mendapatkan skrin lebih besar. Kalau anda baru memilikinya, mungkin ada beberapa fungsi yang sebenarnya boleh mengubah cara anda menggunakan telefon ini setiap hari.

Samsung menyediakan pelbagai ciri yang agak mudah terlepas pandang, termasuk fungsi untuk menjadikan Cover Screen lebih praktikal, mengawal telefon dengan sebelah tangan, mengecas aksesori secara wireless dan menghasilkan kandungan dengan bantuan Galaxy AI.

Lebih menarik, kebanyakan fungsi ini tidak memerlukan aksesori tambahan. Anda cuma perlu tahu di mana hendak mengaktifkannya.

Berikut sembilan fungsi Galaxy Z Fold8 yang mungkin anda belum cuba.

1. Ubah Galaxy Z Fold8 ikut personaliti anda

Kalau anda rasa susunan ikon dan widget pada Fold8 terlalu biasa, anda boleh ubahnya. Melalui aplikasi Good Lock dan modul Home Up, pengguna boleh menyesuaikan layout, ikon, widget dan sticker pada Cover Screen serta Main Display.

Ini bermakna anda boleh mempunyai satu susunan untuk Cover Screen dan satu lagi untuk skrin utama yang lebih besar. Contohnya, Cover Screen boleh disusun untuk akses pantas kepada aplikasi yang selalu digunakan, manakala Main Display pula boleh dioptimumkan untuk produktiviti.

Samsung sendiri mencadangkan konsep “One Phone. Two Personalities” bagi menunjukkan bagaimana kedua-dua skrin boleh disesuaikan mengikut gaya penggunaan masing-masing.

2. Galaxy Buds habis bateri? Cas terus dengan Fold8

Ini antara fungsi yang berguna ketika berada di luar. Galaxy Z Fold8 menyokong Wireless PowerShare yang membolehkan aksesori serasi Qi seperti Galaxy Buds dicas terus menggunakan telefon.Caranya mudah. Buka Quick Panel, aktifkan Wireless PowerShare dan letakkan aksesori yang serasi pada bahagian belakang Fold8.

Menariknya, Cover Screen masih boleh digunakan ketika aksesori sedang dicas. Jadi anda masih boleh membalas mesej, melihat notifikasi atau menggunakan fungsi lain tanpa perlu menghentikan pengecasan.

3. Guna Fold8 dengan sebelah tangan

Dengan skrin yang luas, penggunaan sebelah tangan mungkin kedengaran agak mencabar.Namun, Samsung menyediakan One-Handed Mode serta modul One Hand Operation+ dalam Good Lock untuk menjadikan navigasi lebih mudah.

Pengguna boleh menetapkan gesture, kawasan swipe dan shortcut mengikut cara penggunaan sendiri. Fungsi ini boleh menjadi sangat berguna ketika anda sedang berjalan, memegang beg atau tangan sebelah lagi sedang digunakan.

4. Kecilkan keyboard untuk dapatkan lebih banyak ruang

Cover Screen pada Galaxy Z Fold8 boleh digunakan dengan lebih selesa jika anda membuat sedikit perubahan pada Samsung Keyboard.Pergi ke Settings ‘General management’; Samsung Keyboard settings, kemudian pilih Size and transparency.

Dari sini, saiz keyboard boleh dilaraskan menggunakan handle yang disediakan. Kedudukannya juga boleh diubah menggunakan anak panah di bahagian tengah. Dengan keyboard yang lebih kecil, lebih banyak kandungan boleh dipaparkan pada skrin. Ia mungkin nampak seperti perubahan kecil, tetapi ketika membaca mesej, e-mel atau melayari laman web, ruang tambahan ini memang boleh membantu.

5. Lipat telefon, sambung sahaja apa yang sedang dibuat

Ini mungkin salah satu fungsi yang paling berguna pada Galaxy Z Fold8. Dengan Continue Apps on Cover Screen, aplikasi yang sedang dibuka pada Main Display boleh diteruskan pada Cover Screen selepas telefon dilipat.

Sebagai contoh, anda sedang membaca artikel pada skrin utama. Apabila perlu mengecilkan telefon, hanya lipat Fold8 dan teruskan membaca pada Cover Screen. Untuk mengaktifkannya, pergi ke Settings “Display” Continue Apps on Cover Screen.

Pengguna boleh memilih Always atau Swipe up to continue. Ringkasnya, anda tidak perlu membuka semula aplikasi hanya kerana telefon dilipat.

6. Tukar Fold8 menjadi “pocket cinema”

Salah satu kelebihan utama telefon boleh lipat ialah skrin besar yang boleh digunakan untuk menikmati kandungan dengan lebih immersive. Galaxy Z Fold8 turut menyokong Dolby Atmos untuk pengalaman audio yang lebih mengasyikkan, bergantung kepada sumber media dan peranti audio yang digunakan.

Anda boleh mengaktifkannya melalui Settings > Sounds and Vibration > Sound Quality and Effects. Selain itu, aktifkan Keep Screen On While Viewing melalui Settings > Advanced Features > Motions and Gestures.

Dengan fungsi ini, skrin boleh kekal menyala ketika anda sedang melihatnya. Gabungkan kedua-dua fungsi ini dengan paparan besar Fold8 dan menonton filem atau video ketika dalam perjalanan boleh menjadi jauh lebih menyeronokkan.

7. Biar orang yang anda rakam semak gambar dahulu

Pernah ambil gambar orang tetapi selepas melihat hasilnya mereka kata, “Eh, ambil lagi sekali”?
Galaxy Z Fold8 mempunyai satu fungsi yang boleh mengurangkan situasi ini. Melalui Dual Screen Preview, pengguna boleh menggunakan kamera belakang sambil memaparkan preview pada Cover Screen.

Apabila Fold8 dibuka dan kamera belakang digunakan, subjek boleh melihat diri mereka secara langsung pada Cover Screen sebelum gambar dirakam. Mereka boleh membetulkan posisi, gaya atau framing terlebih dahulu.Samsung turut mencadangkan penggunaan fungsi ini untuk menjadikan Fold8 sebagai “Photo Booth” mudah alih.

8. Rakam video secara wide, pilih siapa yang hendak difokuskan kemudian

Bagi mereka yang suka merakam video, My FanCam mungkin antara fungsi paling menarik untuk dicuba. Daripada cuba memastikan seseorang sentiasa berada dalam frame ketika merakam, anda boleh merakam keseluruhan suasana terlebih dahulu.

Kemudian, gunakan Galaxy AI untuk memilih individu yang ingin diberi fokus.Caranya adalah dengan membuka Gallery, memilih video dan menekan ikon Galaxy AI. Sistem akan memaparkan individu yang boleh dipilih sebelum anda memilih subjek yang dikehendaki.

Seterusnya, tekan My FanCam untuk menghasilkan versi video yang telah diedit.Sebagai contoh, anda sedang merakam perlawanan sukan. Daripada sibuk mengejar pergerakan seorang pemain, rakam sahaja keseluruhan aksi.

Selepas itu, pilih pemain tersebut dan biarkan My FanCam membantu menghasilkan video yang mengikut subjek berkenaan.

9. Banyak fungsi kecil, tetapi boleh ubah pengalaman menggunakan Fold8

Apa yang menarik mengenai ciri-ciri ini ialah kebanyakannya bukan fungsi yang akan menjadi tajuk utama ketika bercakap tentang telefon boleh lipat. Namun, fungsi kecil seperti Continue Apps on Cover Screen, Wireless PowerShare, Dual Screen Preview dan My FanCam boleh memberikan perbezaan besar dalam penggunaan harian.

Galaxy Z Fold8 sebenarnya direka bukan sekadar untuk memberikan skrin yang lebih besar, tetapi juga menawarkan cara penggunaan yang lebih fleksibel. Daripada bekerja, menonton kandungan, mengecas aksesori, mengambil gambar hinggalah menghasilkan video, beberapa fungsi tersembunyi ini menunjukkan bagaimana kelebihan telefon boleh lipat boleh dimanfaatkan dengan lebih jauh.

Jadi, kalau anda baru mendapatkan Galaxy Z Fold8, mungkin sudah tiba masanya untuk menyelak Settings dan mencuba beberapa fungsi ini.Mana tahu, fungsi yang selama ini anda tidak pernah gunakan sebenarnya boleh menjadi ciri kegemaran anda.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini