Sidang kemuncak secara maya yang pertama kali dianjurkan oleh sesebuah negeri, Virtual Selangor International Business Summit (SIBS) 2020, menarik lebih daripada 170,000 peserta digital melalui platform media digitalnya
Versi maya acara perniagaan tahunan paling berprestij, Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020, telah mencapai kejayaan besar dengan menarik
lebih daripada 170,000 peserta digital ketika ia diadakan dari 14 – 20 Oktober 2020.

Pada mulanya dijadualkan selama empat hari, SIBS Virtual 2020 dilanjutkan tiga hari lagi bagi membolehkan orang ramai mempunyai lebih peluang untuk membuat, berhubung dan bekerjasama dengan jenama terkenal dan pemain industri global, secara maya.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, telah melancarkan acara ini yang diadakan dalam format berbeza bagi mematuhi norma baharu kerana faktor pandemik semasa.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Teng Chang Khim berkata, SIBS Virtual 2020 juga mengalu-alukan lebih daripada 2,600 pelawat dari 54 negara yang mengambil bahagian.
“Kejayaan SIBS Virtual 2020 dibangun berdasarkan perkongsian pengetahuan yang mendalam oleh para penceramah yang berkaliber tinggi dan peluang rangkaian rentas sempadan tanpa batas, sehingga memungkinkan perusahaan untuk berkembang ke pasaran antarabangsa dengan norma baharu.
“Sidang kemuncak itu berjaya meletakkan kembali status negeri pintar ini dalam memimpin penerapan teknologi digital dalam menjalankan perniagaan dan pada masa yang sama, membantu para usahawan memulakan semula dan bangkit pada masa krisis ini,” katanya.
Sebanyak 51 penceramah dan 286 peserta pameran mengambil bahagian dalam acara sepanjang satu minggu itu, sementara sebanyak 282 pemadanan perniagaan bernilai RM1,093,457.00 direkodkan oleh pihak penganjur.

SIBS Virtual telah berjaya menyatukan jenama global dan mengumpulkan pemain industri dari seluruh dunia untuk membantu ahli-ahli perniagaan menghidupkan semula perniagaan mereka di samping menyediakan sesi-sesi perkongsian pengetahuan yang bernilai, menjalin rangkaian dan pemadanan perniagaan untuk semua pengunjung.
Dihoskan dalam platform perniagaan rangkaian maya yang dikenali sebagai Hab Perniagaan Selangor (SBH), SIBS Virtual 2020 mempunyai tiga komponen utama, yang pertama adalah Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE), satu ekspo perdagangan F&B yang menampilkan peserta pameran dari negara-negara seperti Indonesia, Filipina, India,
Taiwan, Jepun, Thailand, Vietnam, Sepanyol, Singapura, New Zealand, Itali dan Malaysia.
Komponen kedua, Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), mengumpulkan penceramah terkemuka, pemimpin perniagaan, persatuan yang berkaitan dengan perdagangan dan juga pembuat dasar perdagangan dari pelbagai latar belakang dan sektor ekonomi dari ASEAN dan negara-negara rakannya.
Komponen ketiga, Smart City and Digital Economy Convention (SDEC) menganjurkan Startups Showcase 2020 di mana PKS dan syarikat mengambil kesempatan untuk menggabungkan dan menemui strategi dan penyelesaian baru untuk terus memperolehi dan meningkatkan pertumbuhan pelaburan.
Anugerah Top E-Commerce Merchant Awards juga dianjurkan didalam SDEC secara virtual adalah anugerah berprestij yang bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada e-pedagang tempatan yang paling berjaya, kreatif dan inovatif.

“SIBS adalah usaha berterusan kami untuk mengubah Selangor menjadi hab perdagangan global, dengan memberi penekanan rantau ASEAN sebagai pasaran dengan lebih daripada 640 juta penduduk dan lokasi bagi sekitar 200 syarikat terbesar di dunia dan saya yakin bahawa Selangor akan terus menawarkan nilai terbaik sebagai lokasi yang ideal
untuk syarikat menembusi pasaran Malaysia dan pasaran ASEAN,” kata Dato’ Teng.
SIBS Virtual 2020 akan diteruskan dari tahun 2020 hingga 2021, seterusnya membolehkan para usahawan menggunakan platform ini lebih lama daripada tempoh rasmi tujuh hari acara tersebut.
Kerajaan negeri juga merancang untuk kembali ke acara hibrid dengan lebih pengisian program dari 7 – 10 Oktober 2021, jika keadaan pandemik bertambah baik. Pengunjung boleh melayari laman web, www.selangorsummit.com untuk maklumat lanjut mengenai acara tersebut.




































