Bersempena dengan sambutan kemerdekaan yang ke-62 tahun ini, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menganjurkan Karnival Merdeka Muhibbah bermula dari 28 Ogos sehingga 31 Ogos di SACC Walk dan SACC Mall.

PELBAGAI aktiviti menarik seperti Beyblade Merdeka Battle, Upin Ipin Store, Pertandingan Mewarna Upin Ipin Kemerdekaan 2019, persembahan artis terkemuka, permainan kanak-kanak, jualan produk IKS dan yang paling menarik adalah ketibaan pelari duo veteran yang bakal mencipta sejarah di dalam Malaysia Book of Record.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Sr. Fakru Radzi Ab Ghani menyeru semua anak-anak Malaysia di sekitar Shah Alam dan sekitarnya untuk bersama-sama menyambut kemerdekaan di SACC Walk dan SACC Mall selain dapat bersama-sama menyemai semangat cinta dan bangga akan negara tercinta.

“Kami membawakan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa seperti ‘Beyblade Medeka Battle’ yang menawarkan hadiah berjumlah RM1300 dengan pendaftaran sebanyak RM10 sahaja untuk kategori kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah dan terbuka bermula dari 31 Ogos hingga 1 September yang akan berlangsung di lot Gedung Harian Kompleks PKNS Shah Alam dari 10 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Sementara itu, orang dewasa dapat berhibur dengan persembahan artis tanah air dan buskers dari 6ixth Sense, Dinamik, Jinbara, Assalambuskers, Klangit, Zamarul Hamzah, Zara Ali dan ramai lagi.

Kanak-kanak juga berpeluang memenangi hadiah dari Upin Ipin dengan menyertai Pertandingan Mewarna Upin Ipin Kemerdekaan yang akan berlangsung di Black Box, tingkat 2 SACC Mall pada 31 Ogos bermula dari 11 pagi hingga 3 petang.

Pengunjung tidak perlu risau untuk memikirkan lokasi tempat makan yang menarik kerana Karnival Merdeka Muhabbah ini turut menyediakan ruang jualan makanan dan jualan produk IKS di lot parkir Kompleks PKNS Shah Alam.

Peserta veteran yang menyertai larian kemerdekaan Merdeka Muhibbah dijangka tiba pada malam merdeka tersebut adalah Nasir Abas, 64 dan Krishnan A/L Andy, 61 dan bakal menempa nama dalam Malaysia Book of Record (MBOR) melalui larian mereka sejauh 500km yang telah bermula sejak 19 Ogos yang lalu dari Medan Bandar Alor Setar.

KOMEN ANDA

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini