oleh wartawan Prebiu.com
Janji tetap janji !
Perlu dikotakan !
Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bagi memenuhi janji.
Katanya, sebelum ini beliau sudah berjanji dengan calon PRK Rantau yang juga timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bersama pada hari penamaan calon.
“Saya hadir hari ini bagi menunaikan janji dengan Tok Mat.
“Sebagai penyandang kerusi Rantau yang membawa banyak pembangunan di Rantau, saya yakin tiada sebab pengundi tidak akan mengundi beliau,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK Rantau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini.
PRK Rantau pada 13 April ini secara rasminya akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Ia membabitkan calon BN, Mohamad Hasan; R Malar (Bebas), Mohd Nor Yassin (Bebas) calon PH dari PKR, Dr S Streram.
Mengenai kempen PRK Rantau, beliau berkata jika kehadirannya dapat membantu kemenangan BN, beliau akan berada di kawasan tertentu untuk membantu kempen.
“Jika sebaliknya, saya sokong dari jauh saja,” katanya.
Apabila ditanya sama ada kehadirannya hari ini sebagai isyarat untuk kembali dalam parti, beliau berkata, setakat ini beliau tiada sebarang perancangan.
“Kembali semula? Serah pada Allah,” katanya.









































