HONOR, pengeluar telefon pintar terkemuka dari China sekali lagi memperkenalkan peranti terbaharunya HONOR X9e Pro 5G dengan mempertaruhkan ciri-ciri lasak yang luar biasa.
Apa yang menarik peranti ini berjaya merangkul lima gelaran terbaik industri serentak: kapasiti bateri terbesar, ketahanan paling kukuh, ketahanan air terbaik, kecerahan skrin tertinggi dan siri paling laris dalam segmen pertengahan.
Peranti ini bukan sahaja lasak tetapi dipadankan dengan beberapa ciri terbaharu yang belum pernah ada pada mana-mana telefon pintar pada masa kini. Ciri seperti perlindungan daripada impak bertekanan tinggi dan pendedahan kepada haba serta air, hinggalah keadaan berhabuk dan berlumpur menyaksikan peranti ini menerima pengiktirafan IP69K yang pertama dalam industri.
Mengimbas kembali sejarah pengenalan peranti ini pada 2022 menerusi HONOR X9, X9a (2023), X9b (2024) dan HONOR X9c dan HONOR X9d pada tahun lalu, siri peranti X ini terus mengukuhkan reputasinya sebagai telefon pintar paling tahan lasak sehingga hari ini.
Apa yang menarik dengan model terbaharu ini? Paling jelas tahap bateri kapasiti sebesar 1100mAh jenis Li-ion Polimer yang dianggap cukup besar diberikan kepada setiap media yang terpilih menerima peranti ujian ini.
Menurut data rasmi, dalam keadaan ujian makmal, HONOR X9e Pro mampu memainkan video secara berterusan selama 66.8 jam, mendengar muzik selama 164.5 jam, dan melayari video pendek selama 35.6 jam.
Meskipun media belum dibekalkan dengan spesifikasi penuh dalaman dan luaran peranti ini, apa yang dihuraikan dalam reviu pandang pertama ini hanyalah bersandarkan kepada maklumat asas yang diberikan.
SKRIN
Apa yang menarik pada peranti terbaru ini ialah skrinnya kali ini rata, lasak dan bonggol pada kamera belakang juga tidak terlalu ketara menjadikan peranti ini kelihatan benar-benar premium dipandang serta kemas dalam gengaman tangan.
Melihat kepada paparan warna, skrin HONOR X9e cukup cantik dan jelas dengan tahap kecerahan amat memuaskan sekali gus meletakkan peranti ini sebaris dengan peranti kelas pertengahan lain.
Malah ketika menggunakan peranti ini di bawah cahaya matahari terik juga tidak akan menimbulkan masalah dan kawalan manual tahap kecerahan boleh mencapai sehingga 10,000 nits.
REKAAN LUARAN TAHAN LASAK
HONOR X9e Pro hadir dengan rekaan rata yang nipis manakala butang bezel pada sebelah kanan tidak terlalu tebal dan ringkas. Peranti ini ringan dan cukup selesa digenggam serta disimpan kemas dalam kocek seluar atau dompet wanita.
Melihat kepada rekaan belakang pula, ciri rekaan kameranya agak unik dengan bulatan besar jelas kelihatan dan menerima penarafan IP68, IP69 dan IP69K iaitu perlindungan habuk, impak bertekanan tinggi serta air yang paling ekstrem.
Reka bentuk luaran X9e Pro mengambil inspirasi daripada palang perlindungan hentaman sistem keselamatan (Halo) kereta lumba Formula Satu, yang menyalurkan daya hentaman ke rangka badan dengan pantas apabila telefon terjatuh, seterusnya melindungi komponen teras termasuk skrin.
Ciri kamera peranti ini mampu berfungsi dengan baik meskipun ditenggelam sehingga sedalam 10 meter. Turut menarik perhatian ialah kekemasan permukaan badan peranti pada panel belakang itu pula tidak kusam lengkap dengan logo keemasan HONOR sekali gus mengurangkan kesan cap jari dan habuk namun selesa digengam.
Di atas peranti pula terdapat lubang mikrofon, speaker manakala satu lagi lubang sama di bahagian bawah bersama-sama dengan kekisi speaker, slot kad SIM dan port USB-C. Sisi kanan peranti dilengkapi dengan semua butang kuasa dan butang laras suara sementara tiada apa-apa di sisi kiri.
HONOR X9e Pro 5G menawarkan empat pilihan warna premium di Malaysia iaitu Royal Purple, Dawn Gold, Reddish Brown dan Midnight Black menjadikannya peranti Pilihan Utama Rakyat Malaysia.
KAMERA
HONOR X9e Pro dilengkapi dengan tiga-kamera di belakang yang bulat dikelilingi oleh lingkaran keemasan yang mendapat sedikit sentuhan seakan rekaan daripada peranti premium HONOR Magic V6.
Meskipun tiada lagi maklumat rasmi diberikan HONOR Malaysia mengenai spesifikasi lengkap peranti ini, namun berdasarkan kepada pandang pertama, peranti ini memiliki banyak kelebihan berbanding peranti kelas pertengahan lain yang sedia ada di pasaran masa kini.
Ciri kameranya hampir lengkap dengan ciri sedia ada pada model terdahulu seperti potret, mod malam, mod underwater, imbas dokumen dengan ciri zoom 15 kali selain ciri kecerdasan buatan (AI) yang lain. Menggunakan mod malam juga menghasilkan gambar yang cantik dengan tahap kecerahan warna lebih jitu meskipun zum digital digunakan.
BATERI
Peranti ini dibekalkan dengan bateri sebesar 1100mAh jenis Li-ion Polimer yang tahan lama dan sokongan pengecasan pantas 80W HONOR SuperCharge. Dengan sekali cas, peranti ini boleh bertahan selama tiga hari untuk bermain game, melayari media sosial, mendengar muzik atau apa sahaja. Pengecasan adalah melalui kabel USB-A ke USB-C yang mana kedua-dua kabel dan palam pengecas disediakan di dalam kotak.
Bagaimanapun, harga bagi peranti ini masih belum diumumkan, namun penuiis menjangkakan ia bakal ditawarkan pada harga sekitar RM2,000. HONOR X9e Pro 5G akan dilancarkan secara rasminya di Malaysia pada 24 September 2026.
APA ADA DALAM KOTAK?
- 1 unit HONOR X9e Pro
- 1 unit Pengecas 80W HONOR SuperCharge
- 1 unit Kabel USB-A ke USB-C
- 1 unit Pin SIM.
- 1 unit Kerangka silikon.
- 1 Unit adapter
* NANTIKAN ULASAN PENUH HONOR X9e 5G





































